Rabu, 30 Mei 2007

Keputusan majoriti hakim 2:1 tolak permohonan Lina Joy

PUTRAJAYA, 30 Mei - Akhirnya, keputusan yang dinanti-nanti umat Islam tercapai apabila majoriti hakim 2:1 menolak permohonan Azlina Jailani, 42, untuk membuang status agamanya daripada kad pengenalan beliau.

ImageKetua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bersama seorang lagi hakim Dato' Alauddin Dato' Mohd Sheriff mengetepikan permohonan Azlina, yang lebih popular dengan nama Lina Joy, manakala seorang lagi hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Dato' Richard Malanjun membenarkan permohonan tersebut.

Keputusan yang ditunggu-tunggu itu disambut dengan gemuruh takbir oleh lebih 500 umat Islam yang hadir sejak awal pagi di perkarangan Mahkamah Persekutuan, dekat sini.

Walaupun permohonan Lina Joy seolah-olah tiada kaitan dengan isu menukar agama tetapi implikasi sebenarnya adalah berkaitan hal murtad, yang begitu sensitif kepada umat Islam.

Menurut keputusan mahkamah, Lina Joy, yang telahpun menukarkan agamanya kepada Kristian, perlu mendapatkan sijil pengisytiharan daripada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dia tidak lagi menganut agama Islam sebelum Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh menggugurkan perkataan "Islam" dalam kad pengenalannya.

Ahmad Fairuz berkata JPN berhak untuk mengenakan syarat kepada Lina Joy memintanya mengemukakan sijil atau deklarasi atau satu perintah daripada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dia keluar daripada Islam sebelum bertindak menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya.

ImageMenurut laporan Bernama, Lina mengemukakan rayuan itu kepada Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan membuat keputusan pada 19 Sept 2005 menghalangnya daripada menggugurkan perkataan "Islam" daripada kad pengenalannya dengan alasan bahawa tindakannya keluar daripada Islam tidak mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa Islam yang lain.

Permohonan kepada Mahkamah Rayuan itu dilakukan setelah Mahkamah Tinggi, pada April 2001, menetapkan bahawa sebagai seorang Muslim, dia tidak boleh keluar daripada Islam, dan soal keluar daripada Islam, perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Lina menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad, sebagai responden.

Pada 2 Feb 1997, dia memohon kepada JPN untuk menukar namanya kepada Lina Joy dengan alasan dia telah menganut agama Kristian tetapi permohonan itu ditolak pada 11 Ogos 1997.

Selasa, 29 Mei 2007

Solat Hajat Agar Lina Joy Kalah!


KUALA LUMPUR, 29 Mei- Terkini! Satu solat hajat akan diadakan di Masjid Kampung Baru, malam ini selepas solat Isyak bagi tujuan bermunajat sebagai ikhtiar terakhir menjelang keputusan kes Azlina Jailani yang akan diputuskan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya esok.

Pengerusi Mesyuarat Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Yusri Mohammad, berkata kes ini sangat menarik perhatian dan tumpuan pelbagai pihak dan umat Islam khasnya kerana ia berkemungkinan memberi kesan yang besar kepada kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan undang-undang Malaysia.

Yusri berkata, pihak pimpinan Pembela akan turut hadir ke mahkamah pada keesokan hari bersama para peguam untuk mendengar keputusan mahkamah.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang hadir mendengar keputusan penting ini, agar dapat memelihara suasana aman dan menjauhi apa-apa tindakan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat.

"Pembela berharap semua pihak dapat mengawal diri dan suasana dalam mengadapi perkembangan ini demi memelihara nama baik umat Islam dan negara. Kami ingin memberi jaminan kepada semua umat Islam yang prihatin yang Pembela akan terus berusaha untuk memelihara kedudukan Islam dan umatnya di Malaysia dengan izin Allah," tegas beliau.

Pembela juga ingin menasihatkan agar masyarakat amnya menjauhi mana-mana tindakan atau mesej liar dan provokatif yang mungkin dicetuskan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab berkaitan dengan pengumuman keputusan kes Azlina Jailani ini.

Ahad, 6 Mei 2007

MAKLUMAN TERBARU PENGAMBILAN CEK ZAKAT MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR

Berikut dinyatakan tempat pengambilan cek zakat Majlis Agama Islam Negeri Johor bagi sesi 2006-2007.Harap mendapat perhatian dan minta disebarkan kepada sahabat-sahabat yang lain.

ZON A: (BELUM DITENTUKAN)
Khusus untuk penerima zakat bagi muhafazah Tanta - Mansurah - Zaqaziq

ZON B:
Tarikh :7 Mei 2007
Tempat :Asrama Pelajar Johor Iskandariah
Masa :4.30 Ptg - 7.00 ptg
Khusus untuk penerima zakat bagi muhafazah Iskandariah - Damanhur - Dumyat

ZON C:
Tarikh :9 Mei 2007
Tempat :Asrama Pelajar Johor Kaherah Haiyu Thamin
Masa :4.30 Ptg - 11.00 mlm
Khusus untuk penerima zakat bagi muhafazah Kaherah - Shoubro serta mereka yang bermasalah untuk mengambil cek zakat bagi ZON A dan ZON B.

BAGI MEREKA YANG BERMASALAH UNTUK MENGAMBIL CEK PADA HARI DINYATAKAN, HARAP DAPAT MAKLUMKAN KEPADA YDP DI TALIAN 010-6109675 UNTUK TINDAKAN SELANJUTNYA.

Pihak kami memohon kemaafan atas kesulitan yg dialami.

SEGALANYA TERTAKLUK PADA PINDAAN!!!