Isnin, 29 Oktober 2012

AHLI CEDERA DITIMPA KECELAKAAN


RABAAH EL-ADAWIYAH, 26 OKT 2012 – Salah seorang ahli BKPJM dikejarkan ke hospital akibat berlaku kemalangan semasa proses menyembelih dan melapah binatang korban di perkarangan Asrama Pelajar Johor Rabaah. Mangsa, Muhd Syaffarin Bin Zainal cedera di kepala akibat terhempap dengan besi yang digunakan untuk menggantung binatang korban. Ahli-ahli yang berada hampir di tempat kemalangan bergegas mengusung mangsa ke bilik untuk membuat sedikit rawatan kecemasan.

Mangsa dihantar ke hospital Raba’ah El-Adawiyah dan diiringi oleh Mantan Yang Di-Pertua BKPJM 11/12 saudara Muhd Yazid Bin Hanzir, Ketua Unit Kebajikan Dan Tabung Derma BKPJM saudara Muhd Nazeem Bin Zainoddin dan saudara Muhd Syafiq Bin Abd Rashid. Mangsa menerima 5 jahitan di kepala dan kini dalam keadaan stabil.

Unit Kebajikan dan Tabung Derma BKPJM telah mengadakan kutipan derma kilat untuk membantu meringankan kos rawatan mangsa semasa program Sambutan Hari Raya Aidil Adha di dewan Masjid Salam, di Hayyu ‘Asyir baru-baru ini. Segala bantuan yang dihulurkan membuktikan keprihatinan kita dalam membantu sahabat-sahabat yang ditimpa musibah.


MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL ADHA (KORBAN'12) BERLANGSUNG MERIAH




KAHERAH , 27 OKT 2012- Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Adha  (KORBAN’12) telah selamat berjalan dengan lancar. Program yang diadakan di dewan Masjid Salam, Hayyu ‘Asyir ini merupakan program ke-2 pada sesi ini yang diadakan di luar premis Asrama Pelajar Johor baik di Rabaah mahupun di Hayyu Thamin selepas Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM.

          Program KORBAN’12 dihadiri oleh ahli-ahli yang pelbagai bidang sama ada dari pengajian Islam mahupun pelajar-pelajar sains kesihatan. Kehadiran dan komitmen yang diberikan ahli melambangkan kesatuan dan perpaduan yang jitu dan seterusnya menjayakan slogan “BKPJM KELUARGA KITA”.


         
          Majlis dipengerusikan oleh saudara Mohammad Ayub bin Azizul. Majlis dimulai dengan ucapan pengarah program, saudara Mohd Affeni bin Madrom. Kemudian disusuli dengan ucapan Yang DiPertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM), saudara Mohamad Syakirin bin Mohd Khalid. Seterusnya ucapan daripada perasmi program, saudara Zulhafeez bin Ahmad Zahidi yang merupakan Badan Pengurus Angkat BKPM seterusnya menyempurnakan gimik perasmian yang bersimbolikkan “BKPJM Keluarga Kita”.


          Majlis diteruskan dengan ceramah Aidul Adha yang disampaikan oleh saudara Norsalam Bin Abu Bakar dan slot pengenalan barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) dan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKPJM bagi sesi 2012/2013. Kemudian persembahan Qasidah yang didendangkan oleh barisan qasidah adik-beradik BKPJM. Majlis berakhir jam 11 malam dan hadirin dihidangkan dengan sedikit jamuan.



          BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Pelaksana KORBAN’12 yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini. Tidak dilupakan juga kepada adik-beradik BKPJM atas kehadiran dan komitmen yang diberikan secara langsung ataupun tidak. Hanya Allah SWT yang layak membalasnya.

         “Ana menyangkakan bahawa persatuan anak-anak Johor akan bertukar nama tahun ini, akan tetapi sangkaan ana amatlah salah dengan melihat sokongan dan dokongan ahli malam ini yang hadir dalam program yang dianjurkan BKPJM walaupun bukan diadakan di tempat sendiri.” – Ujar perasmi program, saudara Zulhafeez Bin Ahmad Zahidi.


Jumaat, 26 Oktober 2012

Majlis Sanad Hadith Musalsal EIdul Adha



KAHERAH, 26 OKT 2012 – Selepas menunaikan solat Hari Raya Aidil Adha di Masjid Musa Haiyyu Sabi’, pelajar-pelajar Johor bertungkus-lumus bergotong-royong dalam penyembelihan, melapah , dan mengagihkan binatang korban sebanyak 28 ekor kambing kacang, 4 ekor kambing biri-biri dan seekor unta. Manakala di sebelah akhawat, membantu menyiapkan makanan untuk dimasak.

Pada sebelah petangnya, seramai 29 orang akhawat telah menghadiri kelas “Sanad Hadith Musalsal Yaumul Eidul Adha” dengan menaiki coaster anjuran Unit Dakwah dan Tarbiah dengan kerjasama Unit Sambutan dan Rehlah BKPJM. Mereka bertolak pada pukul 3.15 petang bersama dua orang musyrif yang telah disediakan. Sanad ini disampaikan oleh al-‘Allamah Muhaddith Syeikh Mahmud Sa’ed Mamduh . di maktabah beliau sendiri di Tabbah. Beliau merupakan kenalan Habib Tohir Alawi Al-Haddad  mantan Mufti Johor.

Pesanan Syeikh Mahmud Sa’ed Mamduh, “Antara amalan yang perlu ada pada diri seorang Azhari dan Azhariah ialah menuntut ilmu, menghafaz al-Quran,  menziarahi ulama’, menziarahi makam, sentiasa mulazamah dengan wirid, dan berpegang dengan syariah serta tasawwur.“ Pesanannya lagi, “ tidak boleh tidak, kalian sebagai penuntut ilmu, perlu menyampaikan ilmu yang dipelajari kepada orang lain.”

Kelas diakhiri dengan bacaan doa dari syeikh dan sedikit jamuan yang disediakan. Pelajar akhawat selamat sampai di Asrama Pelajar Johor Rabaah pada pukul 4.15 petang. Sebagai Azhari dan Azhariah, perlulah sentiasa menuntut ilmu dari segenap sudut dan tidak hanya tertumpu pada sistem perkuliahan. Bak kata pepatah, “ tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”

Rabu, 24 Oktober 2012

Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke-30 berlangsung dengan jayanya



KAHERAH, 21 OKT 2012 – Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) BKPJM kali ke-30 telah berlangsung di dewan Wisma Darul Ridzuan (A), Hayyu Sabie’ pada 20 Oktober 2012. MAT kali ini merupakan program yang  julung-julung kalinya diadakan di luar premis Asrama Pelajar Johor.

Pada pukul 8.30 pagi, majlis perasmian dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran Al-Karim oleh adik Muhammad Hazim Hanis Bin Hanim. Seterusnya, ucapan pendahuluan oleh Pengarah Lajnah Khas Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke-30, saudara Muhammad Arif Bin Hamzah. Kemudian, disusuli ucapan Yang DiPertua BKPJM, saudara Muhammad Yazid Bin Hanzir. Seterusnya, ucapan keramat dari Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2012, saudara Abdul Aziz Bin Ali.

Agenda mesyuarat diteruskan dengan sesi pengesahan minit mesyuarat lalu, pembentangan laporan gerak kerja dan aktiviti BKPJM sepanjang sesi 2011/2012 bagi setiap unit, pembentangan laporan  kewangan, cadangan dan muhasabah serta sesi perbahasan usul. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang DiPertua BKPJM saudara Muhammad Yazid bin Hanzir.

MAT kali ini, BKPJM menerima 2 usul yang telah dicadang dan dibahaskan bersama dan telah disepakati dan dipersetujui oleh ahli BKPJM. Usul yang pertama ialah “ Menyatupadukan anak-anak Johor di bawah wadah BKPJM dan menentang sebarang unsur perpecahan”. Manakala, usul yang kedua adalah “Mempertahankan hak-hak anak-anak Johor di Mesir”.

Usai pembubaran kepimpinan BKPJM sesi 2011/2012, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya saudara Ahmad Danial bin Hassan  mengumumkan barisan calon Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) dan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) yang menang tanpa bertanding dan calon AJKT dan HEWI kekal bagi sesi 2012/2013 .Mesyurat Agung Tahunan berakhir dengan acara cabutan bertuah, cenderahati kepada barisan kepimpinan 2011/2012 dan tayangan video program tahunan BKPJM sepanjang sesi 2011/2012.

Pihak Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) mengucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen ahli dalam Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-30 ini. Tidak lupa juga kepada barisan AJK Pelaksana Lajnah Khas Mesyuarat Agung Tahunan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini samada secara langsung ataupun tidak. Setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan kepada Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) kerana sudi menyediakan tempat kepada kami untuk bersidang dan bermesyuarat. 

Khamis, 18 Oktober 2012

IKHTITAM HEWI BKPJM 11/12 MENDAPAT SAMBUTAN BAIK




KAHERAH, 15 OKTOBER : Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKPJM 11/12 telah berjaya melaksanakan program Ikhtitam HEWI di Musolla Wisma Kelantan Hayyu Sabiek. Antara pengisian menarik yang telah diadakan adalah talkshow tarbiatul aulad, ‘’Dari Hati ke Hati’’ (slot muhasabah dan cadangan ahli kepada pimpinan), ‘’SAHARA’’ (sambutan hari lahir) serta tayangan video mengenai isu-isu semasa di negara-negara Islam.

Program ini mendapat sambutan yang amat baik dari ahli dan disertai oleh 50 orang akhawat yang terdiri daripada pelajar-pelajar pengajian Islam dan sains kesihatan. Para mutazawwijin juga tidak ketinggalan menyertai program ini sehingga ke akhirnya. Di samping pelajar-pelajar Kaherah, ahli-ahli dari Iskandariah, Zaqaziq dan Mansurah juga turut hadir. Kehadiran 15 orang ikhwah memeriahkan lagi talkshow tarbiatul aulad yang disampaikan oleh 3 orang panel terkemuka di bumi Mesir  iaitu Ustaz Zamzami Bin Che Daud, Ustazah Ummi Kalsom Bt Uyod dan Ustazah Dayang Noraini Bt Awang Damit Yahya.

Melalui slot ‘’Dari Hati ke Hati’’, ahli-ahli telah mengutarakan pelbagai cadangan dan muhasabah yang  membina terhadap gerak kerja pimpinan HEWI BKPJM sesi 2011/2012.
Program diteruskan lagi dengan sambutan hari ulang tahun ahli-ahli akhawat yang lahir pada bulan Mac hingga bulan Ogos (SAHARA). Sesi memotong kek dan mengambil gambar juga disambut meriah. Majlis diakhiri dengan bacaan doa wehdah beramai-ramai dan sedikit jamuan.

“Dengan terlaksananya program Ikhtitam ini dapat mencapai objektif utamanya iaitu mempertingkatkan mutu kerja pimpinan HEWI  secara khususnya dan menentukan hala tuju BKPJM pada masa hadapan sekaligus menjayakan usul HEWI PMRAM memperanankan mahasiswi berkredibiliti” ujar pengarah program Saudari Amira Afina Bt  Jamaludin.

Kami berharap agar aktiviti-aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi bagi memastikan perpaduan dan kebajikan ahli-ahli BKPJM terus dipelihara.

Rabu, 3 Oktober 2012

PELAJAR DIARAH KELUAR DARI ASRAMA


Rabaah el-Adawiyah, 2 Okt 2012 – Tanggal 30 September, penghuni Asrama Pelajar Johor telah digemparkan dengan notis pemberitahuan daripada pihak pengurusan Rumah Johor di mana sebahagian pelajar yang tinggal di Asrama Pelajar Johor Rabaah diarahkan untuk mengosongkan bilik masing-masing.

Notis tersebut mengejutkan para penghuni kerana mereka diarahkan untuk berpindah dalam jangka masa yang amat singkat. Notis ditampal oleh pihak pengurusan Rumah Johor pada petang 30 September disusuli arahan keluar dari asrama pada 1 Oktober tanpa menyediakan kediaman sementara kepada pelajar-pelajar.

Rentetan masalah yang berlaku, Yang DiPertua BKPJM, saudara Muhammad Yazid Bin Hanzir telah menghubungi Pengurus Rumah Johor, Haji Maulan bin Asmoni demi mendapatkan penjelasan dan meminta beliau melanjutkan tempoh bagi para penghuni yang berkenaan. Walaubagaimanapun usaha tersebut tidak mendapat kerjasama yang baik daripada pihak berwajib.

BKPJM mengharapkan agar pihak pengurusan Rumah Johor dapat bertindak dalam menangani masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar tersebut serta dapat menemukan solusi secepat mungkin.