Jumaat, 25 Disember 2009

Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin dimasuki pencuri

JUMAAT, 25 DISEMBER 2009: Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin, salah sebuah rumah penuntut-penuntut Johor yang sangat bersejarah, sekali lagi dimasuki pencuri. Kejadian berlaku ketika kaum Muslimin sedang menunaikan solat Jumaat. Pada waktu yang sama, hampir semua ahli asrama tiada di rumah kerana mengikuti Jaulah Maqam anjuran bersama USR dan Jabatan Nuqaba'.

Pencuri tersebut dipercayai memecah masuk melalui tingkap Syaqah 2. Kejadian disedari selepas solat Jumaat apabila salah seorang mangsa menyedari kehilangan komputer riba miliknya yang ditinggalkan di dalam bilik. Selepas pemeriksaan, didapati beberapa benda berharga lain juga hilang. Antara barang berharga yang hilang ialah 5 biji komputer riba, 3 biji telefon bimbit, sebuah external hard disk, sebuah pemain mp3, dan lain-lain. Kerugian dianggarkan berjumlah lebih daripada LE 15 000.

Sejurus dihubungi, Yang DiPertua BKPJM 09/10, Ustaz Basir Bin Mohamed bergegas untuk meninjau keadaan dan melaporkan kes ini kepada pihak berkuasa. Beliau melaporkan kes ini kepada pihak polis dengan ditemani salah seorang mangsa. Pihak polis memberi jaminan untuk menghubungi YDP jika ada apa-apa perkembangan terbaru.

Selain itu, lawatan yang diadakan oleh semua ahli Badan Pengurus PMRAM diketuai Ustaz Abdul Muizz Bin Muhammad, Presiden PMRAM, sedikit sebanyak membantu meringankan kesedihan hati mangsa-mangsa kes tersebut. Menurut salah seorang mangsa, kalam motivasi yang diberikan oleh Tuan Presiden banyak memberi perangsang untuknya bersabar. Di samping menenangkan mangsa, Tuan Presiden juga sempat menyampaikan sumbangan daripada Badan Pengurus PMRAM kepada mangsa-mangsa kes kecurian ini.

Tuan Presiden PMRAM, Anggota Badan Pengurus PMRAM, HEWI PMRAM, dan AJKT dan HEWI BKPJM 09/10 mengucapkan takziah kepada mangsa-mangsa kecurian ini. Diharapkan kepada semua mangsa agar terus bersabar dan mengambil iktibar daripada kejadian ini.

Kejadian ini juga memberi peringatan kepada kita semua warga Malaysia untuk lebih berhati-hati sepanjang tinggal di bumi Mesir ini, terutama ketika waktu-waktu yang dikenalpasti banyak berlaku kes kecurian seperti waktu solat Jumaat dan waktu malam.

Jumaat, 18 Disember 2009

Majlis Sambutan Maal Hijrah 1431

RUMAH JOHOR RAB'AH, 17 Disember 2009-Bersempena Sambutan Tahun Baru Hijrah 1431 H, Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir mengambil kesempatan ini dengan menganjurkan majlis ringkas. Majlis yang dimulakan sekitar jam 3.30 petang dengan alunan qasidah-qasidah terpilih dan bacaan doa akhir tahun hijrah 1430. Majlis disambung semula selepas menunaikan solat fardhu Maghrib dengan bacaan doa awal tahun hijrah 1431 seterusnya, tazkirah yanng disampaikan oleh Pegawai HEP Johor, Tuan Hj Ahmad Hanif Hj Ahmad.

Timbalan YDP merangkap Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM berkata, program ini amat penting untuk mengembalikan semula semangat Hijratur Rasul dan para sahabat di dalam proses perkembangan Islam untuk umat sejagat. Majlis yang dihadiri hampir 200 orang ahli BKPJM seterusnya mengadakan program solat sunat hifzi yang diimamkan oleh Ustaz Syuaib Sangkrah Al-Hafiz.

"Solat hifzi merupakan solat sunat empat rakaat yang bertujuan untuk memohon perlindungan dan pertolongan daripada Allah swt agar dipermudahkan kepada kita segala kefahaman dan ilmu yang didamba, akan kekal di hati. Insyaallah, program solat sunat hifzi ini akan diadakan pada hari Khamis malam Jumaat, selepas solat fardhu Isyak setiap minggu sehingga tiba peperiksaan. Mahasiswa/siswi Johor khasnya dan seluruh mahasiswa/siswi Malaysia di Mesir amnya, dijemput hadir untuk bersama-sama berjamaah menunaikan solat sunat hifzi" katanya lagi. -aljauhar

Isnin, 30 November 2009

Sekitar sambutan Aidiladha BKPJM 2009/1430

Malam Penuh Keberkatan.


RABAAH, 26 November 2009 – Malam jumaat kali ini terasa begitu bermakna di hati seluruh Ahli BKPJM kerana masuknya waktu Hari Raya umat Islam kedua selepas hari raya Aidilfitri iaitu Hari Raya Aidiladha. Takbir bergema selepas sembahyang maghrib berjemaah. Ustaz Zuhaili bin Saiman selaku BP PMRAM angkat negeri Johor membacakan perutusan dari Presiden PMRAM, Ustaz Muiz bin dan Ustazah Fauziah selaku HEWI angkat negeri Johor membaca perutusan dari Ketua HEWI PMRAM setelah selesai bersembahyang isyak berjemaah. Program berakhir dengan sedikit pemberitahuan mengenai tentatif majlis sambutan Hari Raya Aidiladha dan bersurai.

Aidiladha Menjelma.

HAYYU THAMIN, 27 November 2009 – Sebanyak 19 ekor binatang terdiri dari 2 ekor unta, 1 ekor lembu dan 16 ekor kambing telah selamat dikorbankan secara gotong-royong sebaik sahaja balik dari menunaikan solat sunat hari raya berjemaah bersama ahli dan saff kepimpinan PMRAM di Masjid Musa An-Nusair, Hayyu Sabik. Kemeriahan terasa apabila mendengar laungan syahdu takbir raya dari semua masjid. Ramai ahli BKPJM dari muhafazah dan Kaherah sendiri turun memberikan bantuan dan sokongan dari segala segi. Sedikit jamuan ringan disediakan oleh adhoc makanan lajnah khusus sambutan Hari Raya Aidiladha BKPJM. Semoga kehadiran Hari Raya Aidiladha memberikan seribu makna bagi semua dalam menghayati kisah pengorbanan nabi Ibrahim a.s dan nabi Ismail a.s. dalam mentaati perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha.

RABAAH, 28 November 2009 – Sambutan Hari Raya Aidiladha BKPJM tidak berakhir begitu sahaja di Hayyu Thamin malah bersambung pada keesokan harinya di Rumah Rabaah selepas asar. Majlis bermula dengan bacaan qasidah dan burdah, sembahyang maghrib berjemaah, bacaan takbir raya dan zikir munajat. Selepas itu, ucapan perasmian majlis oleh Presiden PMRAM, Ustaz Muiz bin dan peqawai rumah Johor, Ustaz Ahmad Hanif bin Naim. Kemudian, perasmian majlis pengnalan muzakarah berkelompok BKPJM 09/10 dengan menandatangani plak dan perasmian biah solehah oleh Ustaz Ahamd Hanif bin Naim. Beberapa wakil dari saff kepimpinan PMRAM turut menghadiri majlis. Sebuah tayangan tanda perasmian majlis ditayangkan dan jamuan aidilfitri bagi semua yang hadir. Majlis berhenti buat seketika dan bersambung semula dengan program khusus buat ahli BKPJM iaitu Dari BKPJM ke BKPJM(DBUB) yang bertemakan “Dari Hati ke Hati”. Semoga majlis dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di antara sesama ahli. - aljauhar


Isnin, 23 November 2009

Selamat Menunaikan Haji

Kaherah 23 November 2009: Jemaah Haji PMRAM telah berangkat ke tanah suci pada jam 10.45 malam tadi. Jemaah haji yang berkumpul di Rumah Perlis bertolak ke tanah suci dengan pengangkutan udara tidak seperti sebelum ini menggunakan pengangkutan air. Alhamdulillah, kesemua jemaah haji merasakan amat bersyukur yang mereka diterima Allah sebagai tetamu haji pada tahun ini.

Ahli BKPJM yang turut serta dalam rombongan haji PMRAM ini ialah saudara Ishaq Hanis bin Ismail, saudara Asyraf bin Johari. Manakala saudara Fahrul Naim bin Mohd Noor bersama jemaah haji pelajar-pelajar Indonesia.

Di kesempatan ini warga Al Jauhar mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Haji dan semoga mendapat haji yang mabrur. -aljauhar


Khamis, 12 November 2009

Kem Latihan Pengucapan Umum Kali Pertama Berjaya Mencapai Objektif

KAHERAH, 12 November 2009: Lajnah Dakwah Dan Tarbiah BKPJM 09/10 telah mengadakan Kem Latihan Pengucapan Umum. Kem diadakan bertujuan untuk memupuk kemahiran ahli dalam pengucapan umum. Program kali ini dihadiri oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Ahmad Hanif Bin Haji Naim, Pegawai Kebajikan Pelajar Johor Mesir, Ustaz Basir Bin Mohamed, YDP BKPJM 09/10, Ustazah Khairunnisa Bte Zulkarnain, Ketua HEWI BKPJM 09/10, beberapa AJKT dan AJK HEWI BKPJM 09/10, serta puluhan ahli BKPJM yang terdiri daripada pelajar baru dan lama.

Program dimulakan selepas solat Maghrib dengan bacaan Ratib Al-Haddad yang diketuai dan dipengerusikan oleh Ustaz Khairul Anwar Tajudin, Ketua Lajnah Dakwah Dan Tarbiah BKPJM 09/10. Selesai bacaan ratib, pengerusi majlis menjemput Al-Fadhil Ustaz Hanif untuk memberikan sedikit nasihat berkaitan pengucapan umum.

Seterusnya, pengerusi majlis menjemput penceramah, Ustaz Mohd Nur Bin Ahmad untuk memberikan ceramah dengan tajuk Al-Quran. Ceramah yang diberikan selama lebih kurang 30 minit berkisar tentang isi kandungan Al-Quran, tafsir sebahagian Al-Quran, dan kelebihan membaca Al-Quran. Ceramah yang diberikan sangat menarik. Selesai ceramah, pengerusi menjemput ustaz Ahmad Daniel Bin Hassan dan Ustaz Muhammad Shafie Bin Musni untuk memberikan sedikit komentar berkaitan ceramah.

Seterusnya, pengerusi menjemput Al-fadhil Ustaz Hanif untuk memberikan sedikit komentar dan seterusnya kalam taujihat kepada penceramah dan pengkritik. Majlis seterusnya ditangguhkan bagi memberi laluan Solat Isya’ dan Kelas Mukjam Asasi yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zaki Md Noor.

Program ini yang diadakan buat julung-julung kalinya oleh LDT BKPJM 09/10 memberi impak yang besar, baik kepada pendengar mahupun penceramah sendiri. Input yang diberi tidak terhad kepada ilmu agama sahaja tetapi juga ilmu praktikal pengucapan umum. Program seperti ini sangat bermanfaat dan InsyaAllah akan diteruskan dalam minggu-minggu akan datang. - aljauhar

Isnin, 9 November 2009

HARI BERSAMA BKAN PERUBATAN CAWANGAN MANSURA 2009



Pada 6 Oktober 2009, 3 orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir 09/10 (BKPJM 09/10), 3 orang Ahli Jawatankuasa HEWI BKPJM 09/10 telah menyertai Program Hari Bersama BKAN anjuran PERUBATAN Cawangan Mansura. Ketua Rombongan BKPJM dalam program tersebut ialah Pegawai Kebajikan Pelajar Johor Mesir, Al-Fadhil Ustaz Haji Ahmad Hanif Bin Haji Naim dan pengiring. AJKT BKPJM 09/10 yang menyertai program tersebut ialah Ustaz Basir Bin Mohamed, Yang Dipertua BKPJM 09/10, Ustaz Zulfekri Bin Abdullah, Setiausaha Agung BKPJM 09/10, dan Dr. Muhammad Yazid Bin Hanzir, Ketua Unit Penerangan Dan Penerbitan BKPJM 09/10. Manakala AJK HEWI yang terlibat ialah Ustazah Khairunnisaa Zulkarnain, Ketua HEWI BKPJM 09/10, Ustazah Nur Aliaa Ahmad, Ketua Unit Penerangan Dan Penerbitan HEWI BKPJM 09/10, dan Ustazah Nur Atiqah Najihah Ibrahim, Ketua Unit Perumahan HEWI BKPJM 09/10. Menyerikan lagi program tersebut, kehadiran Bendahari PERUBATAN Cawangan Mansura, Dr. Mohd Zaim Bin Abdul Aziz, yang seterusnya menyampaikan cenderahati kepada Ketua rombongan BKPJM, Al-Fadhil Ustaz Haji Ahmad Hanif Bin Haji Naim.

Rombongan wakil dari BKPJM bertolak dari Kaherah seawal jam 9 pagi dengan kenderaan peribadi Pegawai. Selepas solat Jumaat, kami dibawa ke tempat program di sebuah rumah pelajar berhampiran Universiti Mansura. Kehadiran pelajar-pelajar Johor sangat menggalakkan, dengan lebih 30 orang pelajar Johor, kebanyakannya pelajar tahun 1 dan 2, dari Fakulti Perubatan dan Pergigian Universiti Mansura. Program dimulakan dengan taaruf rombongan BKPJM. Program diteruskan dengan sedikit ucapan dari YDP BKPJM 09/10 dan Pegawai Kebajikan Pelajar Johor Mesir. Seterusnya sesi soal jawab yang menampakkan kesungguhan dan minat para pelajar perubatan untuk lebih mendekati dan mengenali BKPJM dan Pegawai. Soalan yang diajukan berkisar tentang pinjaman, program-program BKPJM, dan lain-lain. Selesai soal jawab, YDP dan Pegawai Johor memberikan sedikit kata-kata semangat kepada pelajar-pelajar Johor yang hadir.

Semasa program berlangsung, rombongan BKPJM sempat melantik Dr. Nur Ilahi, pelajar perubatan tahun 3, dan Dr. Nadia Hanisah, pelajar perubatan tahun 5, sebagai Mandub dan Mandubah BKPJM 09/10 bagi pelajar-pelajar perubatan Universiti Mansura. Program yang berlangsung dengan lancar telah memberi satu ruang bagi BKPJM untuk menyatukan pelajar-pelajar Johor yang berada di Mesir, tidak kira perubatan mahupun pengajian agama. Moga-moga ukhuwwah yang telah bermula tidak terkubur begitu sahaja dan berterusan sehingga ke akhir usia.

Salam Ukhuwwah dari kami BKPJM 09/10 kepada semua.

Sabtu, 7 November 2009

Munajat Perdana dan Motivasi Kecemerlangan

Pihak Badan dan Unit Pendidikan dan Komunikasi Bahasa PMRAM 09 akan mengadakan Program Munajat Perdana dan Motivasi Kecemerlangan. Program tersebut akan diadakan seperti mana berikut:

Hari: AHAD
Tarikh: 8 NOVEMBER 2009
Tempat: RUMAH JOHOR RAB'AH.
Masa: 5 PETANG.

Profesor Dr Hasan Basri akan menyampaikan ceramah motivasi.

Semua mahasiswa di Mesir dijemput hadir.

Sabtu, 17 Oktober 2009

Ketetapan Majlis Tertinggi Al-Azhar

Majlis Tertinggi Al-Azhar telah mengadakan mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi pada Khamis lalu bersamaan 8/10/2009 untuk membincangkan isu niqab ini. Majlis telah memutuskan bahawa:
  • Para pelajar perempuan dibenarkan untuk memasuki premis al-Azhar al-Syarif secara berniqab. Wanita yang berniqab tidak boleh dihalang daripada memasuki perkarangan al-Azhar al-Syarif.
  • Para pelajar perempuan dibenarkan memakai niqab apabila ada orang lelaki bersama mereka di dalam premis al-Azhar
  • Para pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai niqab di dalam bilik-bilik kelas kerana semua pelajar adalah perempuan. Larangan ini berkuatkuasa apabila guru yang mengajar juga adalah perempuan
  • Para pelajar perempuan tidak dibenarkan untuk memakai niqab sewaktu peperiksaan berlangsung. Maka para pengawal semasa peperiksaan berlangsung hendaklah di kalangan wanita.
  • Majlis Tertinggi al-Azhar bukanlah menghalang wanita daripada memakai niqab dalam kehidupan seharian mereka sebaliknya Majlis tidak bersetuju niqab dipakai pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya yang akan memberikan kesan yang negatif pada pemikiran kanak-kanak lebih-lebih lagi pandangan yang mengatakan bahawa wajah wanita wajib untuk ditutup adalah pandangan minoriti fuqaha Islam.

Rabu, 14 Oktober 2009

Selasa, 13 Oktober 2009

Pemakluman terkini Kutub 6

Bismillahirrahmanirrahim,


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Segala puji bagi Allah tuhan sekelian alam, Selawat dan salam buat junjungan Nabi SAW dan ahli keluarga Baginda yang tercinta, serta seluruh sahabat Ridhuwanullah alaihim Ajma`in.

Dukacita dimaklumkan kepada semua ahli yang telah mendaftarkan diri untuk menyertai Majlis Pembacaan Kutub Sittah (siri pertama) yang akan diadakan pada 17 -20 Oktober 2009 ini telah cuba digagalkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).

Namun begitu PMRAM selaku penganjur program akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan program ini akan dapat dilangsungkan seperti yang dirancang.

Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berkaitan program tersebut, sila dapatkan maklumat terkini di laman web rasmi PMRAM, www.pmram.org ataupun di portal rasmi kutub sittah, www.kutubsittah-pmram.blogspot.com . Segala penjelasan dan maklumat terkini berkaitan permasalahan tersebut akan dijelaskan pada hari Khamis ini bersamaan 15 Oktober 2009.

PMRAM memohon segala kerjasama daripada seluruh ahli PMRAM agar bersama-sama berdoa dan bersolat hajat supaya majlis tersebut berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang.


Sekian,

Mohd Adlan bin Mokhtaruddin
Pengarah Majlis Pembacaan Kutub Sittah PMRAM 2009.

Ahad, 4 Oktober 2009

28 mahasiswa baru selamat tiba

KAHERAH, 4 September 2009: Seramai 28 mahasiswa mahasiswi baru pengajian Islam selamat sampat tepat jam 3.45 pagi (waktu Mesir) di terminal dua Lapangan Terbang Antarabangsa di Kaherah. Seramai 13 mahasiswi dan 15 mahasiswa disambut oleh Lajnah Khas Sambutan Mahasiswa Baru Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (LKSMB BKPJM) 2009. Sambutan mereka dilapangan terbang diketuai oleh Ketua Unit Sambutan, Ustaz Sufiyan Saufi Nawawi dan beberapa ahlijawatankuasanya.

Turut menyertai sambutan tersebut ialah Pegawai Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir, Tuan Haji Ahmad Hanif bin Hj Naim, Yang Dipertua BKPJM saudara Basir Mohamed, Ketua HEWI BKPJM saudari Khairunnisaa Zulkarnain, Wakil Badan Pengurus PMRAM saudara Ahmad Taufiq bin Mohd Dahlan, Penasihat BKPJM saudara Amaluddin bin Arshad serta dua orang wakil HEWI PMRAM.

Mahasiswa baru kesemuanya ditempatkan di Asrama Pelajar Johor di Raba'ah Al Adawiyah, Kaherah. Pihak LKSMB BKPJM telah menyusun program selama 3 hari bagi mereka iaitu Hari Pengetahuan dan Silaturrahmi (HPS). Program tersebut bagi mendedahkan kepada mereka beberapa pengetahuan penting apabila mereka berada di sini. Antaranya berkenaan dengan Universiti Al Azhar sendiri, keselamatan, kesihatan dan sebagainya. - aljauhar

Khamis, 1 Oktober 2009

3 Oktober 2009 tarikh permulaan sesi kuliah bagi Universiti Al - Azhar dan universiti - universiti di sekitar Mesir

Setelah sekian lama bercuti, kini sesi perkuliahan di Universiti Al Azhar akan membuka tirainya tidak berapa lama lagi. Tarikh 3 Oktober 2009 merupakan tarikh rasmi permulaan sesi perkuliahan Universiti Al Azhar serta universiti-universiti yang berada di sekitar negara Mesir. Kenyataan ini telah dibuat di beberapa akhbar terkemuka di Negara ini.

Justeru, pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir mengucapkan selamat menjalani sesi baru perkuliahan untuk sesi 2009/2010. Pihak PMRAM juga mengharapkan agar semua mahasiswa/wi Malaysia memanfaatkan waktu yang sebaiknya untuk menimba sebanyak mungkin ilmu yang disampaikan oleh para pensyarah.

Selain itu, pihak PMRAM amat mengharapkan agar mahasiswa/wi tidak leka dan culas terhadap apa jua urusan pendaftaran sesi baru dan diharapkan agar dapat membuat urusan seawal mungkin bagi mengelakkan mengganggu waktu perkuliahan yang berjalan. Semoga dengan kehadiran sesi perkuliahan yang bakal menjelang ini dapat memberikan momentum terbaik untuk kita berjaya dunia dan akhirat. -www.pmram.org

Sabtu, 26 September 2009

3 Program Raya berjalan lancar

KAHERAH, 26 September 2009: Tiga program Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran BKPJM berjaya dilaksanakan. Rumah Terbuka Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin anjuran Unit Perumahan dan penghuni asrama tersebut berjalan dengan baik.

Sebaik sahaja selesai solat sunat Aidilfitri di Masjid Musa An Nusair di Hayyu Sabik, rumah terbuka tersebut dihadiri oleh ramai mahasiswa dan mahasiswi dari sekitar Kaherah. Kehadiran siswa-siswi baru kuliah perubatan juga sedikit sebanyak mengejutkan tuan rumah. Ini kerana kehadiran yang ramai diluar jangkaan mereka. Sehinggakan ada yang tak sempat menjamah jamuan hari raya.

Di hari raya ketiga, Gema Nostalgia Aidilfitri BKPJM berjalan dengan baik di Asrama Pelajar Johor di Rab'ah Al Adawiyah. Program anjuran bersama Pejabat Pegawai Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor ini dihadiri oleh sebahagian besar siswa-siswi dari kaherah dan juga muhafazah.

Program bermula dengan bacaan ayat suci Al Quran. Seterusnya ucapan dari Yang DiPertua BKPJM, saudara Basir Mohamed. Kemudia diselangi ucapan yang bersemangat oleh pemangku Naib Presiden III, Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan saudara Mohamad Azlan Hj Alias. Perasmian dilancarkan oleh Pegawai Kebajikan sendiri Al Fadhil Tuan Haji Ahmad Hanif Hj Naim.

Program tersebut tidak sunyi dengan celoteh dari saudara Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa Kamal yang bergandingan pula dengan saudara Al Hidayat Khalid. Para ahli BKPJM yang hadir juga dihidangkan dengan tayangan istimewa hari raya.

Pada program tersebut juga, slot salam perpisahan dan pengiktirafan kepada siswa dan siswi yang tamat pengajian mereka. Saudara Muhd Hairi bin Hamzah diiktiraf sebagai Tokoh Pelajar BKPJM. Anugerah khas tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua sendiri dan diakhiri dengan upacara memotong kek gergasi.

Hari raya kelima pula, pihak Rumah Johor Abideen dengan kerjasama BKPJM menganjurkan Rumah Terbuka Abideen. Saban tahun ianya diadakan, namun kali ini mendapat kerjasama rasmi dari BKPJM dan orang perseorangan. Rumah terbuka ini, memberi ruang kepada siswa dan siswi melihat sendiri, bangunan pertama bagi anak-anak negeri Johor di Mesir. - aljauhar

Sabtu, 19 September 2009

Gema Nostalgia Aidilfitri 1430 H

KAHERAH, 19 September 2009: Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir dengan kerjasama Pejabat Pegawai Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir akan mengadakan majlis Hari Raya Aidilfitri untuk pelajar-pelajar Johor di sini. Berikut adalah maklumat bagi majlis-majlis tersebut:

Rumah Terbuka Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin

Tarikh: 20 September 2009 / 1 Syawal 1430 (Ahad)
Masa: 11 pagi hingga 3 petang

Rumah Terbuka Asrama Pelajar Johor Rab'ah

Tarikh: 22 September 2009 / 3 Syawal 1430 (Selasa)
Masa: 6.30 petang

Pakaian rasmi bagi siswa adalah pakaian melayu kebangsaan.


Dengan ini pihak Krew Al Jauhar mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. - aljauhar

Ahad, 13 September 2009

Makluman Zakat


KAHERAH, 13 Septermber 2009: Dimaklumkan penerimaan zakat bagi calon-calon penerima zakat telah diterima. Calon-calon boleh membuat urusan penerimaan zakat mulai hari Rabu bersamaan 16 September 2009 di Kedutaan Besar Malaysia Mohandiseen.

Nama-nama penerima zakat akan dimaklumkan esok. Segala maklumat lanjut boleh hubungi Yang DiPertua BKPJM. - aljauhar

Makluman Penting
  • Pengambilan zakat boleh dibuat di JPMK melalui Puan Latifah (akautan JPMK) bermula pada 16 dan 17 September 2009(Rabu dan Khamis) dan di sambung kembali selepas cuti Aidilfitri pada 23 September 2009 (Rabu) dan seterusnya.
  • Pastikan semua pelajar membawa PASPORT semasa pengambilan zakat.
  • Mewakilkan untuk mengambil zakat adalah TIDAK DIBENARKAN.
  • Bagi pelajar yang pulang bercuti,boleh membuat tuntutan di JPMK selepas pulang ke Mesir.
  • Segala pertanyaan atau makluman lanjut boleh hubungi YDP BKPJM Ust Basir Bin Mohamed di talian +2 014 335 9855.

SENARAI PENERIMA ZAKAT [KLIK SINI]

Khamis, 3 September 2009

Pungutan Zakat

Makluman kepada semua mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang berada di Mesir, zakat fitrah pada tahun 1430H bernilai LE 10. Nilai tersebut merujuk kepada ketetapan yang telah dikeluarkan oleh Darul Ifta' Mesir.

Oleh yang demikian, bagi sesiapa yang ingin membuat pembayaran, boleh dilakukan melalui Bendahari BKAN dan DPM masing-masing ataupun terus membuat bayaran kepada Bendahari Kehormat PMRAM.

Pungutan bayaran zakat akan dilakukan pada 16 September 2009 dan akan diagihkan dalam tempoh seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Sebarang maklumat lanjut, bolehlah terus menghubungi Bendahari Kehormat PMRAM di talian +20112600698 ataupun +20167825835. -pmram.org


Sabtu, 22 Ogos 2009

Sumbangan kurma, aktiviti pertama AJKT


KAHERAH, 21 Ogos 2009: Sebungkus buah kurma bagi setiap rumah ahli BKPJM di Kaherah merupakan sumbangan pertama bagi AJKT yang baharu dilantik. Sumbangan tersebut sangat-sangat dihargai. Sumbangan tersebut disampaikan oleh beberapa AJKT. Ianya disampaikan dengan kunjungan ke rumah-rumah ahli sekitar Kaherah.

Seorang ahli yang ditemui berkata,"Alhamdulillah, terima kasih banyak kepada AJKT yang sanggup turun padang rumah ke rumah menghantar kurma, kalau saya yang jadi AJKT, malas juga" sambil ketawa kecil.

Salah seorang AJKT yang baharu, saudara Ahmad Daniel Mohmad Hassan berkata "Susah juga nak hantar dari rumah ke rumah, memandangkan ana (saya) masih baru lagi, tak kenal abang-abang lama. Tapi ana dapat bantuan dari ahli yang sanggup menunjukan jalan" ujar beliau. "Tetapi susah-susah pun, bagus juga. Sekurang-kurangnya dapat tahu rumah ahli. Sedih juga, ada sebahagian rumah-rumah ahli yang lain masih belum terima" tambah beliau.

Malam pertama Ramadhan juga ahli-ahli BKPJM menyambutnya di Asrama Pelajar Johor Rab'ah. Dimulakan dengan tazkirah selepas maghrib, kemudian bacaan qasidah burdah yang diketuai oleh saudara Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa Kamal selaku ketua UnitKebajikan dan Tabung Derma yang memangku Lajnah Dakwah dan Tarbiah. Solat tarawih diimamkan oleh Yang DiPertua BKPJM sendiri saudara Basir Mohamed dan tazkirah di pertengahan tarawih disampaikan oleh Pegawai Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir, Tuan Haji Ahmad Hanif Hj Naim.

Khamis, 20 Ogos 2009

Warga Al Jauhar mengalu-alukan perlantikan Dr Yazid

KAHERAH, 20 Ogos 2009: Seluruh tenaga kerja Unit Penerangan dan Pernerbitan yang terdiri dari Krew Buletin Al Jauhar, Al Jauhar blog, Krew Sukej, Krew Al Isytaq dan Krew BCC mengalu-alukan perlantikan Dr Muhammad Yazid Hanzir sebagai Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan (UPP) BKPJM sesi 2009-2010.

Perlantikan beliau dikatakan tepat dengan latar belakang serta kemahiran beliau. Seluruh warga UPP mengharapkan perlantikan beliau bagi meneruskan kesinambungan yang cemerlang dari saudara Syafiq Safwan Harith mantan Ketua UPP BKPJM sesi 2008-2009. Dengan perlantikan beliau sebagai ketua Unit Penerangan dan Penerbitan dilihat bakal mencetuskan momentum baharu dalam pentadbiran UPP.

Mesyuarat AJKT kali pertama bagi sesi 2009-2010 telah diadakan di Maktabah Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin dan dihadiri oleh kesemua AJKT dan dua wakil HEWI kecuali saudara Mohd Khairul Anwar Tajuddin, Zulfekri Abdullah dan Mohd Farhan Tamin yang masih berada di Malaysia.

Berikut adalah barisan Ahli Jawatankuasa Tadbir yang lain bagi sesi 2009-2010:
Basir Mohamed
Yang DiPertua
(Lajnah Perancang)

Mohd Khairul Anwar Tajuddin

Timbalan Yang DiPertua
(Lajnah Dakwah dan Tarbiah)

Zulfekri Abdullah
Setiausaha Agung
(Lajnah Pendaftaran)

Mohd Nur Ahmad
Timbalan Setiausaha Agung
(Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan)

Mohd Farhan Tamin
Bendahari
(Lajnah Ekonomi)

Ahmad Daniel Mohmad Hassan
Ketua Unit Pengetahuan dan Bimbingan

Muhammad Yazid Hanzir
Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan

Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa Kamal
Ketua Unit Kebajikan dan Tabung Derma

Muhammad Khaidir Hanizan

Ketua Unit Sambutan dan Rehlah

Mohd Amin Sailan
Ketua Unit Perumahan
Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa Kamal ditugaskan untuk memangku jawatan Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah. Jawatan Setiausaha Agung pula dipangku oleh saudara Mohd Nur Ahmad manakala jawatan Bendahari dipangku oleh saudara Muhammad Yazid Hanzir. - aljauhar

Selasa, 18 Ogos 2009

Basir Mohamed disahkan YDP BKPJM 2009-2010

Klik pada gambar untuk lebih jelas

KAHERAH, 18 Ogos 2009: Seramai 119 ahli Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih. Suasana yang agak meriah kelihatan di perkarangan Asrama Pelajar Johor Seksyen 8 dengan poster-poster calon yang bertanding. Bagaimanapun tidak semua calon meletakkan poster-poster mereka. Suasana ini tidak pernah ada sejak sekian lama sehingga tercipta sejarah pada hari ini kerusi Yang DiPertua dipertandingkan.

Pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah melanjutkan waktu pengundian bagi pemilih-pemilih Kaherah, kerana pusat pengundian yang diberitakan akan dibuka seawal 7 pagi tetapi dibuka pada jam 8 pagi dan ianya dilanjutkan sehingga 9.30 pagi. Bagi pengundi-pengundi muhafazah pula dibuka pada jam 9 pagi sehingga 12 tengahari. Pilihanraya berjalan dengan lancar dan baik dan tiada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke 27, bermula pada jam 9.30 pagi dan ia diserikan dengan ucapan pengarah Lajnah Khas Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM 2009 saudara Mohd Rasul bin Amat, wakil Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir saudara Mohd Zuhaili bin Saiman dan dirasmikan oleh Pegawai Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir Tuan Haji Ahmad Hanif bin Hj Naim.

Kehadiran agak memberangsangkan setelah jam menunjukan hampir kepada 12 tengahari. Mahasiswa dan mahasiswi Johor sekitar Kaherah dan Muhafazah tidak ketinggalan mengisi ruang-ruang perbahasan, muhasabah, cadangan dan kadang-kadang diserikan dengan hilai tawa dari para perwakilan yang kadang-kadang agak melucukan.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ini juga dua usul tergempar telah diterima sebulat suara. Usul pertama datang dari salah seorang anggota lembaga penasihat BKPJM sendiri iaitu saudara Muhd Hairi Hamzah. Usul tersebut berbunyi "Panggilan mesyuarat agung hendaklah dibuat oleh Setiausaha Agung melalui surat pekeliling sahaja". Usul ini terdapat dalam Bab Keenam, Fasal 24, nombor 4. Usul kedua dibawa oleh mahasiswi dari perwakilan Mansurah iaitu saudari Noreha binti Mahat yang berbunyi "BKPJM Menggemleng Kekuatan, Meneguh Kesatuan".

Apa yang ditunggu-tunggu oleh para perwakilan ialah keputusan bagi pemilihan pimpinan bagi sesi 2009-2010. Pihak SPR mengumumkannya sekitar jam 8 malam (waktu Mesir). Bagi calon Ahli Jawatankuasa Unit HEWI BKPJM kesemua calon-calon menang tanpa bertanding. Mereka adalah Khairunnisaa binti Zulkarnain bagi jawatan Ketua HEWI BKPJM, dan 6 kerusi AJKU HEWI BKPJM disandang oleh Syarifah Masykurah binti Syed Mustafa Kamal, Nurul Ainn binti Mistham, Nur Atiqah Najihah binti Ibrahim, Umi Kalsom binti Mohamed Uyob, Nur Atikah binti Roslin, Maryana binti Din. Manakala AJKU yang kekal ialah Nur Aliaa binti Ahmad dan Masyitah binti Razali.

Bagi calon-calon Yang DiPertua dan Ahli Jawatankuasa tadbir BKPJM bagi sesi 2009-2010 ialah seperti berikut:

Calon Yang Dipertua:

1. Basir bin Mohamed: 95 undi
2. Mohd Zaki M.Noor: 23 undi
Mejoriti: 72 undi
Undi rosak: 1

Calon AJKT:

1. Mohd Khairul Anwar Tajuddin: 110 undi
2. Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa Kamal: 110 undi
3. Muhammad Yazid Hanzir: 109 undi
4. Mohd Nur Ahmad: 99 undi
5. Ahmad Daniel Mohmad Hassan: 96 undi
6. Muhhamad Amin Sailan: 95 undi
7. Muhammad Khaidir Hanizan: 92 undi
8. Mohd Faiz Esa: 44 undi
9. Kamal Ariff Mohd Bakri: 41 undi
10. Mohd Huefiros Efizi Husain: 31 undi


Manakala AJKT kekal ialah saudara Zulfekri bin Abdullah dan Mohd Farhan bin Tamin. - aljauhar

Mesyuarat Agung BKPJM Kali ke 27 hari ini


KAHERAH, 18 Ogos 2009: Hari ini Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke 27. Pada hari ini juga sesi pemilihan berlangsung bagi memilih kepimpinan untuk sesi 2009/2010 akan datang. Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke 27 ini dilaksanakan di Dewan Ibnu Sina, Asrama Pelajar Johor di Hayyu Thamin, Madinah Nasr, Keherah dan akan dirasmikan oleh Pegawai Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir, Tuan Haji Ahmad Hanif bin Hj Naim.

Seramai 10 calon menawarkan diri untuk merebut kerusi Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) BKPJM bagi sesi 2009/2010. Tiga calon bakal tersingkir kerana hanya 7 orang sahaja yang mendapat undian tertinggi akan menduduki kerusi tersebut.

Salah seorang pegawai Suruhanjaya Pilihanraya yang ditemui berkata, "kesemua persiapan pusat mengundi telah selesai. Diharap kepada ahli-ahli BKPJM yang layak mengundi turun awal pada waktu yang ditetapkan, bagi melicinkan proses pengundian."

Beliau menambah lagi, "Pusat pengundian bagi mahasiswa adalah di bilik 7, dan bagi mahasiswi di bilik 5".

Pada pemilihan kali ini kerusi Yang DiPertua kali pertama dipertandingkan sejak penubuhan Badan Kebajikan Pelaja-Pelajr Johor Di Mesir. Saudara Basir bin Mohamed salah seorang calon merupakan mahasiswa tahun akhir Kuliah Usuluddin, Universiti Al Azhar Kaherah yang juga Timbalan Yang DiPertua BKPJM sesi 2008/2009 bakal ditentang oleh saudaraMohd Zaki bin M. Noor juga dari universiti yang sama merupakan siswa tahun akhir Kuliah Bahasa Arab.

Muhammad Yazid bin Hanzir dari Kuliah Perubatan dari Universiti Al Azhar, memecahkan tradisi kepimpinan BKPJM yang telah didominasi sejak sekian lama oleh pelajar-pelajar pengajian Islam telah menawarkan diri sebagai calon bagi kerusi AJKT.

Bagaimanapun, calon-calon dari kepimpinan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKPJM kesemuanya menang tanpa bertangding. Kerusi Ketua HEWI dimenangi oleh saudari Khairunnisaa binti Zulkarnain, pelajar tahun dua, Kuliah Syariah, Universiti Al Azhar, Kaherah. - aljauhar

Ahad, 16 Ogos 2009

EGP '09 Meriah!

KAHERAH,Hayyul Asyir:Ekspo Gempak PMRAM 2009 bersempena Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Kali ke-52 kembali lagi dengan pengisian aktiviti dan program yang menghiburkan. Aktiviti dan program yang berbentuk pertandingan yang merangkumi outdoor dan indoor melibatkan penyertaan yang menggalakkan dari seluruh ahli di peringkat Badan Kebajikan Anak Negeri dan Dewan Perwakilan Mahasiswa dan Mahasiswi.

Badan Kebajikan Pelajar Johor Di Mesir tidak terkecuali menghantar kontijen-kontijen yang cukup ramai bagi memeriahkan lagi EGP 09 yang gilang gemilang. Antara acara yang disertai oleh para atlet BKPJM adalah bola tampar, sepak takraw, pahlawan kemerdekaan dan perbarisan bagi acara outdoor. Manakala pertandingan indoor adalah seperti mencipta logo, sajak, who wants to be a daie, win, lose and draw, nasyid dan pantun.

Berikut adalah senarai kejayaan para peserta dan atlet yang mewakili Badan Kebajikan Pelajar Johor Di Mesir dalam Ekspo Gempak PMRAM 09 yang lepas :

Indoor :
1) Sajak - Johan [saudara Aslizan, Tanta]
2) Pantun - Naib Johan [saudara Mohd Rasul Amat, Mohd Faiz Esa dan Syafiee Musni]

3) Mencipta Logo EGP 09 - Naib Johan [saudara Mohd Akhmal Mohd Ali @ Atan]


Outdoor :

1)Perbarisan - Johan


Moga para peserta dan atlet Johor akan lebih berjaya dan membuat persiapan yang sebaiknya untuk menempa kejayaan yang lebih gemilang demi memartabatkan ISLAM seterusnya menaikkan kembali nama baik Johor yang masyhur kaya dengan khazanah Melayu Klasik yang masih terpelihara zaman berzaman. Warisan Melayu dijunjung, Akidah ISLAM disanjung. - aljauhar

Gambar: Peserta Pantun BKPJM dan DPMT bergambar bersama barisan pengadil


Maklumat lanjut sila layari blog EGP '09

Selasa, 28 Julai 2009

Tahniah Johor FC


Sebahagian pemain yang mewakili BKPJM di Kejohan Piala Malaysia (PMRAM) '09

ZAQAZIQ, 28 Julai 2009 - Pasukan Johor FC yang mewakili Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir sekian kalinya telah menyertai Kejohanan Piala Malaysia anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Pasukan Johor FC ditelah diundi dalam kumpulan C bersama Kelantan, Sabah, Perak dan Mansurah. Satu-satunya kumpulan yang mempunyai lima pasukan.

Bagaimanapun, setelah melalui 4 perlawanan di peringkat kumpulan, Johor FC gagal untuk melepasi ke peringkat seterusnya. Bagaimanapun semangat kesukanan yang ditunjukan oleh pasukan ini sangat membanggakan. Setelah beberapa ahli BKPJM yang menarik diri dari mewakili pasukan, Johor FC tetap menghantar penyertaan pada kejohanan kali ini. Seramai 15 orang yang dipilih telah melaksanakan tanggungjawab mereka. Ternyata keputusan yang diterima tidak melemahkan semangat pasukan Johor FC bahkan terus bersemangat untuk melakukan yang terbaik pada kejohanan akan datang.

Krew Al Jauhar yang berada di kejohanan tersebut sempat meninjau perkembangan pasukan Johor FC. Pengurus pasukan Johor FC Muhammad Yahya Samsul yang ditemui mengatakan "pasukan nampaknya tetap melakukan aksi yang terbaik, tetapi sayang nasihb tidak menyebelahi mereka, walaupun kita tewas kesemua perlawanan peringkat kumpulan, tetapi kesemuanya kalah tipis, menunjukkan kita sebagai lawan yang baik" jelas beliau.

Secara keseluruhannya, Johor FC telah menunjukan aksi yang bertenaga dan melawan. Bagaimanapun tahniah buat Johor FC dan cuba lagi pada tahun hadapan. ~ aljauhar

Keputusan perlawanan:

1. Johor FC 0 mlwn Mansurah 2
2. Johor FC 0 mlwn Perak 1
3. Johor FC 0 mlwn Kelantan 1
4. Johor FC 0 mlwn Sabah 2

Berita lanjut sila layari Bola PMRAM

Jumaat, 24 Julai 2009

Terkini ! Bantuan Zakat dan Pinjaman Negeri Johor

Oleh : Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan BKPJM

Kaherah, 23 Julai – Bermula pada 15 Julai, Hari Keluarga BKPJM 09 telah melabuhkan tirainya dengan penuh keceriaan ekoran khabar berita yang dinanti-nantikan oleh seluruh mahasiswa negeri Johor di Mesir khususnya bagi penuntut tahun 3 di kuliah Pengajian Islam, tahun 1 di kuliah Takhassus Al-Qiraat dan Kuliah Perubatan akhirnya muncul juga. Pada Malam Penutup program mega tahunan tersebut, Pegawai Hal Ehwal Pelajar Johor di Mesir, Ustaz Ahmad Hanif bin Naim berkata “Saya nak sampaikan berita gembira buat awak semua berkenaan zakat. Alhamdulillah, pada tahun ini semua mahasiswa Pengajian Islam yang memohon bantuan zakat Johor (pemohon baru) diluluskan dan kadar bantuan zakat meningkat kepada RM4000. Jadi tiada nama yang dibuang”.

Beliau dalam ucapan perasmian penutup program Hari Keluarga tersebut berkata lagi “Manakala pinjaman bagi mahasiswa perubatan, kuota penerima telah ditambah”. Ini sekaligus melegakan para pemohon pinjaman dari kuliah Perubatan. Beliau turut menambah “Cuma senarai nama penerima bantuan zakat dan pinjaman sahaja masih belum keluar. Saya jangkakan berkemungkinan pada bulan Ogos”. Beliau yang suka dianggap sebagai “Abang Long” di kalangan anak-anak negeri Johor yang menuntut di Mesir turut meminta agar kesemua pihak dapat menanti dengan sabar dan berdoa agar urusan berkenaan zakat ini dipermudahkan.

Pun begitu, Ustaz Ahmad Hanif turut mengambil peluang mengingatkan kesemua mahasiswa dan mahasiswi di Kuliah Pengajian Islam agar sentiasa mempertingkatkan usaha dan kegigihan dalam mencapai kecemerlangan akedemik. Beliau berharap semoga kenaikan kadar bantuan zakat untuk mahasiswa Pengajian Islam pada tahun ini dapat menjadi pencetus semangat daya saing mahasiswa di bumi Mesir ini khususnya dalam mendapatkan keputusan cemerlang di dalam peperiksaan masing-masing.

Manakala Yang Dipertua BKPJM, Ustaz Firdauz bin Noh ketika dihubungi berkata “Alhamdulillah, berita gembira ini kita sambut dengan rasa syukur dan saya berharap agar kesemua pihak dapat menanti dengan sabar dan berdoa agar urusan zakat ini mudah selesai”. Sebarang pertanyaan berkenaan bantuan zakat sila rujuk Pegawai Hal Ehwal Pelajar Johor Mesir (+2011 7952197), atau YDP BKPJM (+2010 6109675) atau Ketua Hewi BKPJM (+2019 3902994).

Jumaat, 3 Julai 2009

Lensa Al-Jauhar di Hari Keluarga Jabatan Nuqaba' BKPJM 09

KAHERAH, 03 Julai – Asrama Pelajar Johor di Hayyu Thamin, Madinah Nasr hari ini kembali meriah apabila anak-anak negeri Johor Darul takzim di Bandaraya Kaherah ini berhimpun bersama bagi menjayakan sebuah program jalinan ukhuwah anjuran Jabatan Nuqaba BKPJM dengan kerjasama Lajnah Dakwah dan Tarbiyah BKPJM.

Program “Hari Keluarga Jabatan Nuqaba BKPJM 09” yang telah dijadualkan berlangsung selama dua hari itu bermula dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai atau iftar jama’ie pada hari Khamis 02 Julai 2009 berterusan sehinggalah sebelum solat Jumaat 03 Julai 2009.

Selepas berbuka puasa, agenda program tersebut diteruskan dengan acara pertandingan kuiz antara kumpulan-kumpulan usrah mengikut mantiqah atau kawasan yang telah ditentukan. Acara bersifat santai itu dikendalikan oleh Urusetia Pengisian program, Ustaz Mohd Hidayatussaufi bin Mohd Khalid sebaik sahaja menunaikan Solat Maghrib secara berjemaah. Bermula dengan slot “kuiz Ihya’ussunnah”, pertandingan kuiz “Lukis, Jawab dan Menang” pula menyusuli sebelum diakhiri dengan slot “Apa Kata Ustaz?” yang berakhir kira-kira jam 11.30 malam semalam.

Di akhir acara, Ustaz Amaluddin bin Mohd Arshad, Badan Pengurus PMRAM yang turut hadir mengulas bahawa slot-slot yang disediakan pada pertandingan kuiz tersebut hendaklah dijadikan sebagai medan muhasabah diri sebagai pendakwah terutamanya bagi slot “kuiz Ihya’ussunnah” dan “Apa Kata Ustaz?”.

Sementara pada jam 03.00 pagi Jumaat, 03 Julai pula, program yang berkonsepkan usrah gabungan ini diteruskan lagi dengan qiyamullail beramai-ramai oleh para ahli usrah sebelum tazkirah subuh selepas itu. Manakala pada sebelah paginya pula, acara bergotong-royong membersihkan Rumah Johor diselitkan sebelum acara Riadah Mahabbah di kalangan ahli usrah yang hadir. Program Hari Keluarga Jabatan Nuqaba’ ini seterusnya diakhiri dengan sarapan ukhawi pada jam 10.00 pagi sebelum bersurai.

Sementara itu di peringkat mahasiswi pula, acara di sebelah pagi Jumaat itu telah diisi dengan

“Jaulah Mahabbah ke Zoo Giza” seawal jam 09.00 pagi. Konsep “ukhuwah sejati” yang ditekankan dalam setiap acara dalam program ini telah menarik minat para ahli usrah yang hadir untuk terus mengikutinya sehingga ke akhir program.

Mengulas perjalanan aturcara program yang berlangsung di sebelah malam 02 Julai tersebut, Pengarah Hari Keluarga Jabatan Nuqaba’ BKPJM merangkap Ketua Jabatan Nuqaba’ BKPJM, Ustaz Rasul bin Amat berkata “Walaupun kehadiran yang dilihat kurang memberansangkan iaitu hanya sekitar 50% sahaja daripada sasaran kita, tetapi Alhamdulillah, aturcara majlis kita berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang memuaskan daripada ahli usrah yang hadir”.

Manakala Yang Dipertua BKPJM, Ustaz Firdauz Noh pula menyatakan rasa sedikit kehampaan dengan sambutan daripada para ahli usrah terhadap program tersebut. “Para ahli seharusnya mengambil ihtimam serta dapat memberikan komitmen pada program-program seumpama ini agar konsep tarbiyah yang ingin dibawa melalui usrah ini dapat benar-benar dihayati” ujar beliau ketika diwawancara sebaik sahaja program tersebut berakhir.

Pun begitu, beliau turut mengucapkan tahniah buat Jabatan Nuqaba’ yang juga di bawah seliaan Lajnah Dakwah dan Tarbiyah BKPJM atas kesungguhan bagi menjayakan program murni seperti ini. Syabas dan tahniah juga buat kesemua ahli usrah yang turut menjayakan program usrah gabungan tersebut.

Rabu, 1 Julai 2009

Thaqafah Kembali Rancak

Kaherah, 01 Julai – Menyambut kehadiran musim panas di bumi Mesir, Unit Pengetahuan dan Bimbingan Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir telah kembali rancak mengatur beberapa program ilmiah bagi meningkatkan tahap mutu thaqafah mahasiswa Johor di Mesir ini.

Bermula semalam, 30 Jun 2009, dengan pembentangan kertas kerja bertajuk Teknik Pembelajaran Bestari Subjek Al-Adab Wa An-Nusus oleh Ustaz Muhammad Shafiq bin Elias seterusnya diskusi kitab Ghiza’u Ruuhil-Insan, Mudawamatuhu ‘ala Tilawatil-Qur’an dan kitab Al-Adzan As-Syar’iy As-Sohih Kama Yajibu Adaa’uhu pada hari yang sama.

Slot diskusi kedua-dua kitab karangan Syeikh Abdul Adzhim Sya’ban ini dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Shafiq bermula seawal jam 10 pagi sehingga waktu asar sebelum diikuti dengan pembentangan kertas kerja di atas. Metodologi pembentang yang menyelitkan beberapa rakaman video ilmiah dan kisah tauladan telah menarik minat para peserta untuk terus mengikuti program sehingga ke akhirnya.

Pihak BKPJM melalui Unit Pengetahuan dan Bimbingan mengucapkan ribuan penghargaan buat Ustaz Muhammad Shafiq bin Elias atas kesudian beliau mengendalikan slot diskusi dan pembentangan kertas kerja tersebut.

Sehubungan dengan itu, Unit Pengetahuan dan Bimbingan juga akan meneruskan beberapa lagi program ilmiah bagi mengisi program di musim panas ini antaranya, diskusi kitab Tahaluf Siyasi oleh Ustaz Salman Maskuri pada 07 Julai ini. Menurut Ketua Unit, Ustaz Zulfekri bin Abdullah, kesemua program ilmiah samada berbentuk thaqafah mahupun tafaqquh UPB akan dijalankan di Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin berikutan masalah teknikal dan audio video di Rumah Johor Rab’ah.

Berhubung penganjuran kelas-kelas tafaqquh pula, beliau ketika dihubungi berkata, “Kita telah mendapat maklum balas daripada tenaga pengajar untuk menyambung semula kelas-kelas tafaqquh. Namun disebabkan program yang padat pada bulan Julai ini, kita akan susun semula dan akan dimaklumkan kemudian (berkenaan kelas tafaqquh)”.

Jumaat, 26 Jun 2009

Teman Simbol Kekuatan Diri

Oleh :* Syafiq Zulakifli

ISLAM menitikberatkan hubungan sesama manusia. Sebagai sebuah agama yang mementingkan hubungan sesama manusia ini, kita semestinya bersyukur kerana masih mempunyai teman dan rakan sebagai pemudahcara ketika berada di bumi Mesir ini.

Sebenarnya, teman dan rakan juga termasuk daripada salah satu amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Ada ketika mereka senang dan kita mengharapkan pertolongan mereka. Dan ada ketika mereka berada di dalam keadaan susah dan memerlukan sokongan dan dorongan daripada kita. Justeru, sebagai teman adalah menjadi tanggungjawab untuk melaksanakan tuntutan tersebut.

Menghormati teman dan menyempurnakan haknya menjadikan jiwa kita sebagai seorang Muslim yang memiliki iman sempurna. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Muslim)

Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) yang diberi amanah untuk menjaga kebajikan seluruh mahasiswa Johor di Mesir sentiasa mengambil peranan penting di dalam memastikan hubungan sesama teman ini dijaga dengan sebaiknya.

Pelbagai program yang diadakan demi memastikan hubungan ini dijaga dan dipelihara sebagai asas kepada hubungan kekeluargaan itu sendiri. Program Hari Keluarga yang diadakan setiap tahun di Kaherah membuktikan bahawa semangat kekeluargaan ini tidak pernah diambil ringan oleh kepimpinan BKPJM.

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu adalah bersaudara.”

Justeru, apakah tanggungjawab kita sebagai ahli? Adakah hanya mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan ukhuwah Islamiah sesama kita di dalam persatuan ini?

Walau apapun, sebagai sebuah persatuan, BKPJM sentiasa berterima kasih kepada ahli yang sentiasa memberi sokongan dan pandangan yang bernas demi memastikan kesatuan yang dibina ini akan sentiasa diperkuatkan dengan bantuan daripada Allah Taala. Program-program sepanjang sesi ini yang diadakan di Kaherah memberikan satu input yang luar biasa apabila ramai ahli berkunjung ke Asrama Pelajar Johor di Kaherah. Contohnya, program bazar yang diadakan pada Mac lalu membuktikan bahawa ahli BKPJM sentiasa memberikan komitmen kepada setiap program persatuan.

Bukankah sejarah Islam juga telah menghidangkan kita dengan persoalan ukhuwah Islamiah ini? Lihatlah bagaimana Rasulullah menyatukan di antara kaum Muhajirin dan Ansar selepas penghijrahan Baginda dari Mekah ke Madinah. Rasulullah mementingkan hubungan sesama Muslim dan tidak mengambil jalan mudah mempersaudarakan dua buah kaum ini.

Allah menjelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah (Muhajirin) ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat berhajat.”

Justeru, sebagai teman dan rakan yang berada di dalam naungan BKPJM, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran penting sepanjang kita berada di bumi Mesir ini. Bukanlah semata-mata kita menjadikan persatuan tempat berketuk pintu hanya bertanyakan “Ustaz, zakat dah masuk belum?” tetapi lebih daripada itu adalah mepertautkan hubungan sesama rakan dan teman di dalam rumah kebahagiaan ini.

*Penulis merupakan Mantan AJKT BKPJM 2005-2006, Mantan Badan Pengurus PMRAM 2006, Mantan SUA Agung PMRAM 2007 dan 2008. Sekarang Ahli Lembaga Penasihat BKPJM dan PMRAM

Selasa, 23 Jun 2009

JAULAH MAHABBAH 2009

KAHERAH, 23 JUN – Barisan kepimpinan Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir akan mengadakan program “Jaulah Mahabbah” ke beberapa Muhafazah bermula hari Rabu, 24 Jun 2009 sehingga Ahad, 28 Jun 2009.

Program tahunan ini bertujuan bagi mengeratkan lagi silaturrahmi antara saf kepimpinan BKPJM dengan ahli-ahli BKPJM terutamanya di muhafazah di samping memberi ruang bagi ahli-ahli di muhafazah untuk berkongsi masalah serta bertukar pandangan dengan barisan kepimpinan.

“Kami berharap agar jaulah ini dapat dijadikan sebagai satu medan untuk saling memperkasakan ukhuwwah dan kesatuan antara kita. Harapan saya agar ahli-ahli dapat memanfaatkan peluang ini dan mengambil bahagian bagi memastikan visi dan misi kita tercapai. ” ujar Yang Dipertua BKPJM, Ustaz Fidauz Noh selepas sahaja mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tadbir BKPJM kali ke 8 sebentar tadi di Maktabah, Asrama Pelajar Johor.

Berikut merupakan agenda perjalanan “Jaulah Mahabbah” BKPJM kali ini :

HARI / TARIKH

MUHAFAZAH

MASA

RABU, 24 JUN 2009

DAMANHUR

SELEPAS ZOHOR

KHAMIS, 25 JUN 2009

ISKANDARIAH

DUMYAT

SELEPAS ZOHOR

SELEPAS MAGHRIB

AHAD, 28 JUN 2009

SYIBN EL-KOM

SELEPAS ZOHOR