Selasa, 31 Julai 2012

PERTEMUAN BKPJM BERSAMA KELUARGA ALLAHYARHAM KHOFIZ BIN NOROK


KAHERAH, 27 Julai 2012 – BKPJM telah mengadakan pertemuan bersama keluarga Allahyarham Khofiz Bin Norok. BKPJM diwakili Saudara Muhammad Yazid Bin Hanzir selaku Yang DiPertua dan Saudara Mohd Affeni Bin Madrom selaku Ketua Unit Kebajikan dan Tabung Derma. Turut sama dalam pertemuan tersebut Saudara Ridhuan Bin Ali. Pertemuan tersebut telah diadakan selepas solat Asar di Rumah Tamu Asrama Pelajar Johor Rabaah.

Dalam pertemuan tersebut, BKPJM telah menceritakan kronologi peristiwa yang berlaku dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham sebagai mewakili pelajar-pelajar Johor di Mesir. BKPJM turut menyampaikan hasil kutipan derma kilat yang dijalankan berjumlah lebih LE 300.

Pertemuan tersebut mendapat respon positif daripada pihak keluarga Allahyarham Khofiz. Pihak keluarga Allahyarham yang diwakili kakak Allahyarham, Puan Misliah mengucapkan terima kasih kepada BKPJM atas pertolongan yang diberikan dalam menguruskan jenazah Allahyarham Khofiz. 

Beliau turut mendoakan semoga seluruh ahli-ahli BKPJM berjaya dalam peperiksaan akhir tahun baru-baru ini. Di samping itu, beliau turut menyampaikan sumbangan ikhlas dari pihak keluarga Allahyarham untuk BKPJM.

“BKPJM akan terus berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan kebajikan ahli-ahli keluarga BKPJM terus terjaga. Semoga kita semua dapat sama-sama mendoakan semoga Allahyarham Khofiz ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman” ujar Saudara Affeni ketika ditemui selepas pertemuan tersebut.

LEBAH FC JUARA PIALA EXCO BKPJM 2012


Kaherah, 17 Julai 2012 - Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Sukan BKPJM telah menganjurkan satu kejohanan Futsal Piala Exco BKPJM  yang bertempat di Nadi Tala’ek al-Riyadi pada 17 Julai 2012. Kejohanan yang bermula sekitar jam 5 petang ini telah dirasmikan oleh Presiden PMRAM, Ustaz Abdul Aziz bin Ali.



Antara objektif penganjuran kejohanan pada kali ini ialah merapatkan lagi ukhuwah sesama ahli BKPJM disamping dapat mengisi masa lapang ahli dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Kejohanan yang bertemakan “BERSUKAN MENGERAT KESATUAN” ini  telah berjaya menyatukan anak-anak johor dibawah wadah kesatuan Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir.



Kejohanan kali ini telah disertai oleh 10 buah pasukan dengan 1 pasukan jemputan khas dari pasukan BP FC yang dianggotai oleh Badan Pengurus PMRAM. Pasukan LEBAH FC telah berjaya menjuarai kejohanan pada kali ini dengan menewaskan pasukan ACANERTU pada perlawanan akhir melalui sepakan penalti. 


Sekalung tahniah juga diucapkan kepada pemain terbaik kejohanan, Muhammad Naqib Bin Md Noor dari pasukan LEBAH FC dan juga kepada penjaring terbanyak  kejohanan Mohd Naqiuddin  dari pasukan ACANERTU. Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua BKPJM, Ustaz Kamal Ariff bin Mohd Bakri.


”Kejohanan pada kali ini merupakan sebagai salah satu tanda sokongan ahli terhadap BKPJM yang merupakan satu-satunya wadah kesatuan yang mampu menyatukan anak-anak johor di bumi Mesir ini. Ini menunjukkan BKPJM juga meraikan minat ahli yang pelbagai, tidak hanya tertumpu kepada program-program kerohanian sahaja bahkan program-program berbentuk fizikal juga kita anjurkan bagi meraikan ahli-ahli yang mempunyai minat yang pelbagai.” Ujar Norsalam Bin Abu Bakar selaku Pengarah Piala Piala Exco BKPJM.

Isnin, 16 Julai 2012

TA'AKHI GAMES '12 ZON C BUKTI "KITA PMRAM"


KAHERAH,14 Julai – Program Taakhi Games 12 yang berlangsung dengan jayanya di Wisma Perak A untuk akhawat dan Mukhaiyyam Daim untuk ikhwah telah disambut baik oleh taakhi zon C iaitu PMRAM cawangan Perak,Johor,Perlis,Zagaziq dan Damanhur.Program selama sehari ini adalah antara salah satu usaha bagi menjayakan usul PMRAM ‘Bersama memperkasa slogan KITA PMRAM’ oleh taakhi zon C.




Program yang bermula pada pukul 7 pagi ini dimulakan dengan senaman ringan baik di peringkat akhawat mahupun ikhwah.Seterusnya diteruskan lagi dengan acara dalam dewan seperti spontan,perlawanan ping pong,permainan catur, sudoku dan teka silang kata.Bagi acara luar dewan pula diadakan acara tarik tali,bola beracun dan futsal berkain pelikat yang berjaya menyatu serta mengeratkan lagi hubungan antara taakhi zon C.Program seumpama ini perlu diteruskan lagi bagi memperkukuh hubungan antara taakhi dan tidak berdiri atas semangat kenegerian sahaja bahkan bersama-sama berganding bahu untuk membantu taakhi masing-masing.




Majlis penutup bagi ikhwah telah dirasmikan oleh saudara Norhalis Syafiq Bin Ahmad selaku Setiausaha Agung PMRAM 2012 manakala bagi akhawat pula telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM 2012, saudari Nurul Hasanah binti Yahuza.Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid As Sohwah bagi akhawat dan Al Muhazzirun dari BKAN Perak.Majlis tamat pada pukul 5 petang seterusnya solat asar dan jamuan.

Ahad, 15 Julai 2012

BKPJM MENGHANTAR BORANG ADUAN HAK MAHASISWA KEPADA PMRAM



KAHERAH,15 Julai- Susulan insiden yang telah berlaku ke atas saudara Muhammad Yassarudin b. Samsul dalam isu yang berkaitan dengan campak borang, Yang di Pertua BKPJM bersama mangsa telah menghantar borang hak aduan mahasiswa ke pejabat PMRAM. Mereka telah disambut oleh Naib Presiden 3, Ust Ahmad Huzaifah b. Fauzi serta Bendahari Kehormat, Ust Ahmad Qutaibah b. Mohamed.

Selain daripada membincangkan isu yang berlaku ke atas mangsa, perbincangan juga tertumpu kepada isu yang berlaku ke atas pejabat BKPJM apabila diarahkan untuk mengosongkan ruang pejabat tersebut. Melalui aduan tersebut, pihak Badan Pengurus memberi sedikit nasihat kepada mangsa supaya bersabar dan menganggap perkara yang berlaku adalah sebagai satu ujian daripada Allah swt.

Yang DiPertua BKPJM, Saudara Muhammad Yazid b. Hanzir berkata, "BKPJM mengucapkan sekalung penghargaan kepada PMRAM kerana sudi menerima aduan kami. Ini selaras dengan misi BKPJM tahun ini, 'BKPJM dan PMRAM seiring dan sejalan'. Ini juga selaras dengan subtopik ucapan dasar Presiden 'Menghayati Sejarah, Mempertahan Maruah'.


Jumaat, 13 Julai 2012

ARAHAN MENGOSONGKAN PEJABAT BKPJM


KAHERAH, 13 Julai – Setelah pertemuan diadakan dengan pihak Pengurus Rumah Johor Mesir Tuan Hj Mohd Maulan Asmoni berkenaan isu campak borang pada 3 Julai yang lalu pihak Pengurus Rumah Johor telah mengeluarkan surat pada tarikh yang sama arahan mengosongkan pejabat rasmi BKPJM.

Arahan mengosongkan pejabat tersebut adalah atas cadangan pihak Pejabat Pengurus Asrama untuk pembesaran pejabat pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) Johor di Mesir dengan penambahan beberapa orang pegawai.

Justeru, pihak BKPJM melalui Yang DiPertua BKPJM Saudara Muhammad Yazid Hanzir telah mengeluarkan surat balas menyatakan tidak bersetuju untuk mengosongkan pejabat rasmi di Rumah Johor Haiyyu Thamin.

BKPJM merupakan satu-satunya persatuan yang menaungi seluruh anak-anak Johor yang menuntut di bumi Mesir dan telah berdaftar secara rasmi dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

Pejabat BKPJM yang sedia ada ini telah diperakui keberadaannya oleh Kerajaan Negeri, MAIJ, dan YPJ kerana BKPJM turut menyumbang dalam usaha mendapatkan tanah dan bangunan rumah Johor tersebut.

Namun pada tarikh 10 Julai 2012 pihak pengurus rumah Johor sekali lagi mengeluarkan surat yang memaklumkan bahawa arahan mengosongkan pejabat BKPJM adalah muktamad.

“BKPJM akan tetap mempertahankan pejabat rasminya di Rumah Johor kerana ia merupakan kemestian untuk BKPJM bergerak. BKPJM turut mengharapkan sokongan dan dokongan semua pihak khususnya ahli BKPJM dalam usaha mempertahankan hak dan keberadaan BKPJM di Rumah Johor. Kita tidak mahu tragedi hitam PMRAM dihalau keluar dari ARMA kembali berulang” Ujar Yang DiPertua BKPJM Saudara Muhammad Yazid Hanzir.

MAHASISWA KEMALANGAN SELESAI DIKEBUMIKAN.


KAHERAH,12 JULAI-Jenazah  Abdul Khafiz Bin Mohamed Norok telah selamat dikebumikan di Hayyu Asyir Kaherah pada jam 5.00 petang.Allahyarham merupakan mahasiswa tahun 3 Qiraat Shoubra dan juga merupakan mandub bagi pelajar Johor di Shoubra.

Tragedi kemalangan berlaku pada jam 1.00 pagi pada 11 Julai ketikamana  Allahyarham bersama seorang sahabatnya  pulang dari rumah kawan dari Abud menuju ke Shoubra.Dalam perjalanan menaiki tramco beliau telah diacukan pisau oleh seorang warga arab Mesir.Beliau telah  bergelut untuk melepaskan diri  dan nekad untuk terjun menyelamatkan diri .

Allahyarham telah mengalami kecederaan di kepala yang mengakibatkan  koma.Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir  pada 12 Julai.

Jenazah Allahyarham selesai dimandi dan dikafankan pada jam 3.30 petang dan seterusnya di bawa ke Dataran Hayyu Asyir bagi menyempurnakan solat jenazah.

BKPJM mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham dan semoga Allahyarham  tergolong dalam kalangan penghuni syurga.

Rabu, 11 Julai 2012

ULFAH 12’ (UTLAH SOIFIYAH) MENGERAT UKHUWAH.

Pada  9 Julai 2012 yang lalu, Hal Ehwal Wanita Islam Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir(HEWI BKPJM 11/12) telah menganjurkan rehlah ke pantai Ein El-Sokhna dengan kerjasama Unit Sambutan dan Rehlah BKPJM sesi 2011/2012.Program yang bertemakan ‘’EVERY GOODBYE IS THE BIRTH OF MEMORY’’ ini telah disertai oleh 40 orang akhawat johor termasuk 2 orang kanak-kanak dan diiringi oleh 3 orang musyrif.Rombongan telah bertolak dari Asrama Pelajar Johor Rabaah pada jam 7.15pagi dengan menaiki sebuah bas.


Setibanya di sana kira-kira jam 9.00pagi, semua peserta telah bekerjasama mengangkat barang keperluan masing-masing dan mendirikan khemah.Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Ketua HEWI BKPJM,Ustazah Adibah Binti Jamal dan sedikit pengisian rohani yang disampaikan oleh Ustazah Masyitah Binti Razali.Seterusnya,peserta diminta untuk melakukan sebuah persembahan bertemakan ukhuwah,ithar, tadhiyah dan ikhlas mengikut 4 kumpulan yang telah ditetapkan.

Setelah selesai makan tengah hari dan solat zohor secara berjemaah,program diteruskan lagi dengan aktiviti di tepi pantai.Antara aktiviti menarik yang telah dilaksanakan adalah seperti pertandingan pembinaan istana pasir,permainan bola tampar dan beberapa acara sukaneka.Pada waktu petang,peserta mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di tepi pantai dan melakukan aktiviti di dalam air sambil dihidangkan dengan santapan BBQ.Setelah itu,semua peserta membersihkan kawasan sekitar dan berkemas bersama-sama sebelum bertolak pulang pada jam 5.30petang.Program diakhiri dengan pengumuman keputusan pertandingan dan penyampaian hadiah serta cenderahati.

Pihak penganjur mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ULFAH 12’ samada dalam kalangan peserta mahupun ad hoc pelaksana.Semoga dengan terlaksananya program ini dapat mengeratkan lagi ikatan ukhuwah antara anak-anak Johor yang berada di Mesir khususnya.

‘’ BKPJM KELUARGA KITA ‘’