Khamis, 19 Disember 2013

BKPJM CAKNA ISU PENGKULIAHAN MAHASISWA/WI BARU DI MESIR


KAHERAH, 18 DIS – Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM),  selaku satu-satunya persatuan induk yang menaungi anak-anak Johor di Mesir memainkan peranan dalam menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Antara kebajikannya adalah mengambil cakna dan menitik beratkan dari aspek akademik dan pengurusan kuliah.

Satu pertemuan  telah diadakan adalah bertujuan bagi memberi penerangan dan pencerahan berkaitan dengan urusan pengkuliahan mereka. Ini kerana telah berlakunya beberapa permasalahan seperti kelewatan penamaan pelajar di universiti dan pembayaran yuran markaz bahasa.

Ekoran daripada permasalahan yang timbul, saudara Mohamad Syakirin b. Mohd Khalid, Yang DiPertua BKPJM turut diiringi seorang Ahli Jawatankuasa Tadbir BKPJM, saudara Muhammad Ariff b. Haron telah  mengambil langkah iniasatif bagi membantu dan menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Pertemuan pertama telah diadakan di Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin bersama mahasiswa yang layak ke kuliah (mutaqaddim awal) pada sesi 2013/2014 pada jam 1.30 petang. Permasalahan yang berlaku adalah penamaan nama pelajar di universiti tidak seperti permohonan yang telah dibuat ketika awal permohonan kemasukan ke Universiti Al-Azhar di Malaysia.

Manakala pertemuan kedua telah diadakan di Asrama Pelajar Johor Rabaah pada jam 3.45 petang  bersama semua mahasiswi  dari setiap peringkat markaz bahasa. Dalam pertemuan ini, turut dihadiri oleh Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKPJM, saudari Amira Afina Binti Jamaluddin dan juga Ketua Pengetahuan dan Bimbingan HEWI BKPJM, saudari Haslinda Binti. Gazali. Permasalahan yang timbul adalah berlakunya kecelaruan dan kerungsingan berkaitan dengan prosedur pengkuliahan mereka. YDP BKPJM telah memberi garis pandu dan menyarankan langkah yang sebaiknya untuk diambil bagi menyelesaikan permasalahan ini.

Hasil daripada pertemuan ini jelas menunjukkan bahawa BKPJM terus terkehadapan dalam menangani permasalahan yang berlaku kepada anak-anak Johor di Mesir. Ianya selari dengan pembawakan BKPJM “Kebajikan dan Perpaduan”.

KEFAHAMAN MELAHIRKAN GERAKAN MEMANGKIN KESATUAN
MENYEMAT IZZAH MERIBAT UKHUWWAH









Selasa, 17 Disember 2013

Ziarah Makam Sekitar Kaherah.




KAHERAH, 17 DIS 2013- Unit Sambutan dan Rehlah BKPJM 12/13 telah mengadakan program Ziarah Makam para Sahabat dan Aulia di sekitar Kaherah bersempena dengan imtihan yang bakal menjelang. Program ini telah disertai oleh adik-beradik BKPJM, ikhwah pada 7 Disember 2013 yang bertolak dari Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin ,manakala disebelah akhawat telah diadakan pada 14 Disember 2013 yang bertolak dari Asrama Pelajar Johor Rabaah.

    Penyertaan bagi ikhwah seramai 42 orang, manakala akhawat pula seramai 39 orang dan disertai oleh 2 pasangan mutazawijin serta 2 orang musyrif. Antara objektif program ini dilaksanakan adalah untuk mengambil iktibar dan ibrah dari sejarah kehidupan para Aulia Allah dan para Salafussoleh dalam konteks sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini. Selain itu, program ini juga dapat meningkatkan kesungguhan dan kesedaran mahasiswa dan juga mahasiswi dalam usaha mereka menuntut ilmu di bumi Mesir, disamping itu, mereka juga mengambil peluang untuk bertawasul dan berdoa dalam menghadapi imtihan yang bakal tiba. Sekaligus ianya juga merapatkan ukhuwah sesama adik-beradik BKPJM.

   Program ini bermula pada pukul 8.00 pagi dengan penerangan ringkas dari Ustaz Ainuddin bin Abu Jamil mengenai pengertian bertawasul, kaedah dan kelebihannya. Manakala penerangan untuk setiap maqam dan tempat-tempat bersejarah telah diterangkan oleh Ustaz Syakirin b. Mohd Khalid dan Ustaz Usamah bin Aris. Antara tempat- tempat yang telah dilawati ialah Maqam Saidatina Nafisah, Maqam Imam Syafie, Maqam Imam A'toillah Assakandari, Maqam Imam Sya'rani, Maqam As-syahid Hassan Al-Banna dan lain-lain. Sebanyak 30 maqam telah berjaya diziarahi oleh peserta ikhwah dan manakala untuk akhawat sebanyak 26 maqam sahaja.

   Secara keseluruhannya, program ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya dengan komitmen yang sangat baik dari adik-beradik BKPJM. BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam menjayakan program ini. Semoga usaha ini dipandang oleh Allah SWT dan ukhuwah ini diribat dengan ikatan mahabbah kerana Allah. Keberjayaan program ini secara langsung merealisasikan misi BKPJM dalam menjayakan slogan 'BKPJM KELUAGA KITA'.





Selasa, 26 November 2013

BKPJM Prihatin Isu Pengurusan Zakat

KAHERAH, 25 NOVEMBER 2013: Berikutan beberapa aduan yang diterima daripada ahli-ahli  yang masih gagal menerima bantuan zakat tajaan Majlis Agama Islam Negeri Johor(MAIJ), Yang DiPertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2012/2013, Saudara Mohamad Syakirin Bin Mohd Khalid telah mengadakan pertemuan bersama mereka yang berkenaan pada hari khamis yang lalu.

Hasil perjumpaan tersebut mendapati ada dikalangan mereka yang telah membuat rayuan dan ditemuduga sebanyak tiga kali. Hasil temuduga yang diterima mendukacitakan dan masih lagi sama. Tambahan pula, para pemohon ini diminta untuk menghadiri temuduga buat kali yang keempat.

Di sampingitu, BKPJM juga mendapat aduan bahawa, syarat atau kriteria yang ditetapkan sering berubah setiap sesi temuduga yang dijalankan. BKPJM turut merasa kesal dengan hasil keputusan temuduga yang telah dikeluarkan kerana hanya sebahagian kecil dari permohonan sahaja yang diluluskan.


Oleh yang demikian, pihak BKPJM yang komited dan cakna dengan kebajikan ahli akan membawa hal ini kepada pihak yang bertanggungjawab bagi menyelesaikan permasaalahan yang berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Hal ini bertepatan dengan usul BKPJM pada sesi ini iaitu “Bersama berjuang  mempertahankan hak anak-anak Johor di Mesir”.

"KEFAHAMAN MELAHIRKAN GERAKAN MEMANGKIN KESATUAN"






Sabtu, 9 November 2013

BKPJM MEMETERAI UKHUWAH DI KALANGAN MAHASISWA/WI BARU 2013


KAHERAH, 7 NOVEMBER 2013 – Satu program mega Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) sessi 2012/2013 berjaya dilangsungkan dengan jayanya. Program yang diberi nama “Hari Tautan B.B.Q (Batch Baru berQuality) telah berlangsung selama 1 hari pada 5 November 2013 yang bertempat di Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ4) bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 9.30 malam.

                Program B.B.Q tersebut telah bermula dengan slot pendaftaran diikuti dengan majlis perasmian yang telah dimulakan dengan nyanyian nasyid Asma Ul Husna, lagu PMRAM dan lagu BKPJM diikuti dengan ucapan pengarah program, Yang di-Pertua BKPJM seterusnya disempurnakan oleh Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2013, Ustaz Abdul Aziz bin Ali. Antara petikan dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh presiden PMRAM ialah apabila kita masuk ke dalam bumi Mesir kita akan menjadi sebahagian daripada misri. Mim musibah, masyaqqah. Sod sabar. Ra redha. Dan ya yusra. Kesimpulannya, apabila kita diuji musibah dan kesusahan yang diikuti dengan rasa sabar dan redha yang tinggi akan menghasilkan kehidupan yang mudah.

                Program diteruskan lagi dengan slot ‘Penjagaan Kesihatan di Mesir’ yang disampaikan oleh wakil PERUBATAN cawangan Kaherah, Dr. Muhammad Hafiz bin Nazri. Disamping pengisian berkenaan penjagaan kesihatan peserta juga diperkenalkan dengan Persatuan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (PERUBATAN), Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) dan 7 cawangan PERUBATAN yang lain. Slot seterusnya ialah slot ‘Jaulah Pandang Pertama Mesir’ yang bertempat di sekitar APJ4 bagi peserta ikhwah dan Hadiqah Dauliyyah bagi peserta akhwat.


                Disebelah malam program diteruskan dengan solat maghrib berjemaah dan tazkirah pimpinan yang disampaikan oleh badan pengurus angkat PMRAM cawangan Johor Ustaz Ahmad Qutaibah bin Mohamad, solat Isyak berjemaah dan ditutup dengan slot pengenalan pimpinan BKPJM, gimik penyatuan dan slot mengisi borang pendaftaran BKPJM dan PMRAM. Dan akhirnya program B.B.Q ditutup dengan makan bersama-sama dan sessi bergambar. 

                BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh ahli jawatan kuasa pelaksana BBQ '13 serta para peserta yang memberikan kerjasama yang baik sepanjang program dijalankan. Besar harapan BKPJM kepada seluruh peserta agar dapat mengaplikasikan segala input yang telah diperolehi dari BBQ'13.

"GENERASI ILMUAN TUNGGAK KESATUAN"
"KEFAHAMAN MELAHIRKAN GERAKAN MEMANGKIN KESATUAN"

Rabu, 25 September 2013

PERTEMUAN BKPJM DENGAN PEGAWAI HEP JOHOR






Kaherah, 24 Sept – Badan Kebajikan pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM)  telah mengadakan pertemuan  bersama Pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) Johor di Mesir, Ustaz Tn. Hj Husni Tamrin bin Md. Syarif  turut serta Tn. Hj. Maulan b. Asmoni, Pengurus Rumah Johor Mesir  bagi mendapatkan perincian berkaitan dengan kehadiran mahasiswa/wi baru Johor ke Mesir bagi sesi 2013/2014.

Dalam pertemuan selama satu jam tersebut, BKPJM telah diwakil oleh Yang DiPertua BKPJM, saudara Mohamad Syakirin b. Mohd Khalid, Penasihat BKPJM, saudara Muhammad Yazid b. Hanzir dan juga wakil Badan Pengurus Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), saudara Mohamad Naqib b. Mohd Bakhudin.

Respon dan hasil yang diperolehi dalam pertemuan tersebut, pihak Pegawai HEP Johor telah meminta BKPJM ke Education Malaysia Egypt (EME) bagi membuat semakan nama mahasiswa/wi baru serta mendapatkan kepastian maklumat mereka samada telah sampai ke Mesir ini atau tidak. Ini memudahkan bagi proses pengurusan Peperiksaan Kelayakkan (Imtihan Qabul)di Mesir.

“Jika ada  dikalangan mahasiswa/wi yang tekad untuk datang ke Mesir saya akan menguruskan penempatan bagi keselesaan mereka dan berkaitan dengan zakat mereka boleh membuat permohonan sekiranya iklan permohonan tersebut telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di sini,” ujar beliau.

Ustaz Tn. Hj Husni Tamrin bin Md. Syarif  juga menegaskan bahawa MAIJ tidak melarang mahasiswa/wi untuk datang secara persendirian sekiranya mendapati borang maklumat mereka sudah berada di sini. Cuma, sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, risiko adalah  di bawah tanggungan individu itu sendiri.

“ Kami BKPJM sentiasa sedia bekerjasama dengan pihak Pegawai HEP Johor dalam membantu pengurusan dan menyambut mahasiswa/wi baru ke Mesir selagimana ianya  tidak melanggar dasar kami,” jelas saudara Mohamad Syakirin b. Mohd Khalid, YDP BKPJM.

Selain itu, perkara yang dibawa sama dalam pertemuan tersebut mengenai maklum balas temuduga zakat bagi pelajar-pelajar yang telah ditemudga pada bulan Mac yang lalu. Tn. Hj. Maulan berkata,”Urusan zakat tersebut telahpun diuruskan, cuma setakat ini pejabat HEP Johor belum lagi menerima sebarang senarai nama dan duit daripada MAIJ”.

BKPJM amat berbesar hati dan mengalukan kehadiran mahasiswa/wi baru ke bumi Mesir ini. Bahkan BKPJM cuba sedaya yang termampu bagi membantu daripada sudut kebajikan mahasiswa/wi baru.

"KEFAHAMAN MELAHIRKAN GERAKAN MEMANGKIN KESATUAN"
"MENYEMAT IZZAH MERIBAT UKHUWWAH"

Khamis, 15 Ogos 2013

BKPJM TERUS CAKNA DENGAN KESELAMATAN AHLI



Kaherah, 15 Ogos – Kebajikan dan perpaduan bertepatan dengan cogan kata Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) sehingga kini terus memainkan peranan dalam mengambil berat terhadap isu keselamatan yang berlaku. BKPJM  telah membuat pertemuan bersama mahasiswa/wi  yang menghuni di Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ 4) dan Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin (APJ 8) bagi memberi penerangan berikutan  isu semasa Mesir yang sedang bergolak dan tidak stabil.

Dalam pertemuan tersebut, Yang DiPertua BKPJM, Mohamad Syakirin bin Mohd Khalid menasihati kepada semua penghuni APJ 4 dan APJ 8 agar sentiasa mematuhi pekeliling dan panduan semasa yang dikeluarkan oleh KBMK. Selain itu juga YDP BKPJM menekankan agar pertingkatkan keselamatan sesama ahli dan elakkan untuk keluar daripada premis jika tiada keperluan yang mendesak.

Tambahan pula, BKPJM juga telah memaklumkan kepada para penghuni premis mengenai pembukaan 2 bilik operasi keselamatan, sebuah bilik operasi di APJ 4 bagi mahasiswi manakala   sebuah lagi di APJ 8 bagi mahasiswa. Bilik operasi keselamatan ini telahpun mula berfungsi pada hari ini sehinggalah keadaan Mesir kembali stabil. Bilik operasi keselamatan berperanan bagi memudahkan penyusunan dan penyelarasan maklumat ahli-ahli yang berada di bumi Mesir ini.

Bagi sebarang permasalahan yang dihadapi terus hubungi ke talian Hotline YDP BKPJM, Mohamad Syakirin bin Mohd Khalid (+20111-6452564) atau Pemangku Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKPJM ke talian (+20112-6320224). BKPJM terus perkukuh agenda kebajikan.

“KEFAHAMAN MELAHIRKAN GERAKAN MEMANGKIN KESATUAN”
“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”




































Rabu, 14 Ogos 2013

MEKAR '13 menggamit memori


Kaherah,10 Ogos 2013-Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir telah melaksanakan satu program mega pada hari raya aidilfitri iaitu MEKAR ’13 singakatan bagi Mesra Kasih di Aidilfitri. Antara objektif utama MEKAR ’13 yang dilaksanakan oleh BKPJM ialah menanamkan sifat kasih sayang di antara semua mahasiswa dan mahasiswi yang berada di Mesir samada pengajian islam mahupun sains.

Majlis ini bermula seawal pada jam 6.30 dan dimulai dengan solat fardhu maghrib berjemaah dan alunan ayat suci al-quran yang disampaikan oleh Ustaz Yassarudin Bin Samsul, disusuli dengan ucapan pengarah MEKAR ’13 iaitu saudara Ainuddin Bin Abu Jamil dan ucapan Yang di Pertua BKPJM saudara Mohamad Syakirin Bin Mohd Khalid. Seterusnya ucapan perasmian dari Presiden PMRAM Ustaz Abdul Aziz Bin Ali dengan ini sekaligus melaksanakan gimik perasmian MEKAR ’13.

Program diteruskan dengan tayangan video promo dan sequel, serta nyanyian lagu tema raya MEKAR ’13  beramai-ramai. MEKAR’13 ini diwarnai dengan senyum dan gelak ketawa anak Johor yang hadir lebih-lebih lagi dengan lagak santai moderator majlis iaitu saudara Mohd Helmi bin Mohd Nor Hisham dan saudara Seterusnya tayangan video raya yang  bertajuk “Kedai Kasut” yang disampaikan oleh Unit Teknikal dan Multimedia program memberi mesej berkaitan menghargai kedua ibu bapa.

Program  diserikan lagi dengan sajak dan sketsa ringkas yang disampaikan oleh saudara Syed Miftahul Ulum bin Syed Kamal, saudara Kamarul Adha dan saudara Mohd Naqib bin Mohd Nor. Kemudian, Majlis diserikan sketsa “Abid dan syaitan” yang mendapat perhatian ramai dari penonton yang hadir. Seterusnya gimik penyatuan anak-anak Johor bagi setiap muhafazah dilancarkan sebagai simbolik penyatuan anak-anak Johor di Mesir di bawah wadah kesatuan BKPJM. Kemudian, majlis memberi laluan kepada Unit Kebajikan dan Tabung Derma untuk menyampaikan sumbangan TDEB kepada ahli-ahli BKPJM dan juga penyampaian hadiah bagi pertandingan Bait Mithali di bawah Unit Perumahan Hewi.





Program berakhir dengan bacaan doa yang disampaikan oleh Ustaz Aliffuddin Bin Ramlee dan solat isya’ secara berjemaah. Pihak BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu menjayakan MEKAR’13 terutamanya adhoc-adhoc pelaksana dan Ahli Jawatankuasa Kecil MEKAR’13. Tidak dilupakan kepada semua yang dapat meluangkan masa walau seketika bagi memeriahkan lagi MEKAR’13 ini. Di kesempatan ini, BKPJM mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua anak-anak Johor di Mesir.

"Kepulangan Dinanti, Lebaran Dirai"








Isnin, 15 Julai 2013

PROGRAM MENGEDARKAN SYANTOH RAMADHAN


KAHERAH, 14 Julai - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) telah mengadakan satu program mengedarkan “Syantoh Ramadhan” ke rumah ahli di sekitar kaherah. Pengedaran Syantoh Ramadhan telah dikendalikan Unit Kebajikan Dan Tabung Derma (UKTD) dengan kerjasama Unit Dakwah dan Tarbiah (UDT) BKPJM sesi 2012/2013.  


Buat julung kalinya pengedaran Syantoh Ramadhan diadakan bertujuan untuk memberi sumbangan sempena bulan Ramadhan kepada ahli - ahli yang tinggal di asrama pelajar Johor dan juga di rumah sewa. Program seperti ini menjadi wadah dalam merapatkan hubungan ukhuwah Islamiyah sesama ahli BKPJM itu sendiri.



Syantoh Ramadhan yang diedarkan adalah barang keperluan masakan yang berupa beras, minyak masak, gula, garam, susu dan kurma . Pengedaran bekalan ramadhan  bermula dari Hayyu  Sabi’e , Hayyu Sadis , Hayyu Asyir, Manhal , Abideen dan berakhir di Rumah Johor Raba’ah dan Hayyu Thamin.


BKPJM mengharapkan dengan pengedaran Syantoh Ramadhan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan kos perbelanjaan ahli - ahli dalam mengharungi bulan Ramadhan yang mulia ini. Akhir kalam, selamat menjalani ibadah puasa buat semua ahli BKPJM. Siiru ‘ala barakatillah.



“Madrasah Ramadhan Manifestasi Tarbiah”
“Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan”

Khamis, 4 Julai 2013

RIBATUL QALBI TAUTKAN HATI




RABA’AH EL-ADAWIYAH, 29 Jun  - Ribatul Qalbi merupakan Program Ijtima’ Siswi di bawah unit Fasilitator HEWI BKPJM yang telah diadakan pada 28 dan 29 Jun yang lepas. Ribatul Qalbi ini dikelolai oleh adik-beradik usrah yang diketuai oleh saudari Siti Syafiqah binti Misman. Selain menautkan ukhuwah antara mahasiswi, program ini juga melatih mahasiswi mengendalikan satu program dengan baik, Bahkan, menjadikan mahasiswi kehadapan seiring keperluan semasa.

Seramai  lebih 40 mahasiswi yang hadir meraikan Ribatul Qalbi termasuk mutazawwijin dan dari rumah sewa. Selepas perasmian pada jam 8.30 pagi, majlis diteruskan lagi dengan Slot Talk Show.  Slot show yang bertajuk “Ukhuwah Islamiah” ini, disampaikan dua orang panel yang hebat, saudara  Syed Miftahul Ulum bin Syed Mustafa Kamal, penasihat BKPJM dan saudari Hajar Aisyah binti Sakdon, HEWI angkat Johor yang diperngerusikan oleh saudara Mohd Syafie bin Musni.


Peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan, dan dikehendaki mencipta “trademark” dan nama kumpulan. 3 Kumpulan ini adalah, kumpulan “Abqari”, “Alaikum bil Jamaah” dan “Nafsi Nafsak”.  Kemudian, slot “Bahas Siswi” yang menyaksikan setiap mahasiswi bersuara bagi menyuarakan pendapat dan mempertahankan hujah masing-masing. Bahas ini menjadi medan untuk mehasiswi berani kehadapan. Pada sebelah asar, disediakan kepada para peserta pertandingan sukaneka. Antaranya, bowling botol, sayangi belon dan regu. Selepas solat maghrib berjemaah, setiap mahasiswi berkumpul bagi sama-sama menghayati dan mentadabbur Surah Yusuff. Dinner Akhawat disediakan selepas solat isya’ dan membaca surah al-Muluk berjemaah, kemudian slot muhasabah mengakhiri majlis pada hari pertama.

Hari kedua, dimulakan dengan “Ayumi Para-para Sakura”. Seterusnya, majlis memberi masa 2 jam kepada setiap kumpulan, untuk menyiapkan 3 tugasan yang diberi, iaitu “Busana Muslimah”, gubahan hantaran dari sejadah, dan “Sentuhan Masakan”. Pertandingan “Sentuhan Masakan” diadili oleh saudara Saifullah bin Abdul Wahab dan saudara Ainuddin bin Jamil dan menerima kritikan pada masakan bagi setiap kumpulan. Majlis berakhir dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada kumpulan yang menjuarai setiap acara. 




Pihak Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menjayakan Ribatul Qalbi ini, terutamanya barisan adhoc pelaksana yang bertungkus lumus mencanang idea untuk Ribatul Qalbi. Tidak dilupakan, kepada mahaisswi-mahasiswi yang hadir bagi meraikan Ribatul Qalbi. Semoga semua yang hadir, mendapat impak yang positif yang diambil sepanjang program ini.







Rabu, 1 Mei 2013

RIADAH FATAYAT MENGGAMIT MEMORI



NADI SYABAB, 26 April 2013 – Riadah Fatayat merupakan aktiviti penutup bagi muzakarah berkelompok gabungan akhawat sebelum imtihan. Riadah Fatayat ini dianjurkan oleh Unit Dakwah dan Tarbiah HEWI BKPJM dengan kerjasama Lajnah Kesenian , Kebudayaan dan Sukan HEWI  yang  bertempat di Nadi Syabab Hayyu Hadis, Kaherah.

Tujuan riadah ini diadakan bukan hanya untuk mengeratkan tali persaudaraan antara adik-beradik akhawat BKPJM, bahkan mengadaptasikan kata-kata Rasulullah SAW, “ Allah lebih menyukai mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah.” Disamping, menjadikan minda lebih cerdas dalam proses kefahaman dan hafazan untuk menghadapi  peperiksaan tidak lama lagi.

Riadah Fatayat dimulakan dengan bacaan pembuka majlis dan senaman ringan, serta pembahagian kumpulan.  Acara diteruskan dengan permainan “ Giant Skipping”. Permainan ini merupakan permainan yang menguji keberanian dan kekuatan fizikal setiap peserta. Setelah ketiga-tiga kumpulan berentap, dan akhirnya dijuarai oleh kumpulan pertama. Acara diteruskan dengan permainan “ Timber Ball”. Permainan kedua ini dimulakan dengan persaingan antara kumpulan kedua dan ketiga. Akhirnya, permainan ini juga dimenangi oleh kumpulan pertama.

Riadah ini telah mendapat sambutan dengan baik yang ditunjukkan oleh setiap peserta. Tambahan pula, kehadiran 3 orang HEWI PMRAM, termasuk 2 orang HEWI angkat Johor iaitu saudari Siti Hajar Aisyah binti Sakdon dan saudari Nazuha binti Mohd Suhimi turut memeriahkan lagi suasana Riadah Fatayat ini. Riadah ini akhirnya berakhir pada jam 1 petang.

BKPJM mengucapkan terima kasih atas komitmen yang diberikan oleh setiap peserta. Pihak BKPJM mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menghadapi imtihan buat seluruh anak Johor baik ikhwah mahupun akhawat. Semoga kejayaan itu menjadi milik kita bersama. Jika kita jaga hubungan dengan Allah Taala, maka Allah akan jaga hubungan kita dengan manusia.

Rabu, 24 April 2013

ZIARAH MAQAM DI BUMI MANSURAH



23 April 2013 , Mansurah -  Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir di bawah Unit Sambutan Dan Rehlah telah menganjurkan “Program Ziarah Makam di Mansurah”.  Ahli rombongan telah bertolak dari Asrama Pelajar Johor Rabaah ke destinasi pada jam 8.00 pagi. Antara tujuan utama program ziarah makam ini diadakan  untuk mengenali maqam-maqam yang terdapat di muhafazah Mansourah itu, pada masa yang sama dapat mengeratkan ukhawah antara ahli BKPJM, seterusnya menjayakan resolusi kovensyen DPM PMRAM 2012 iaitu “ menghidupkan suasana di DPM”. Seramai 37 peserta ikhwah telah menyertai program ziarah ini dengan menaiki 3 buah macro bus.


Sepanjang perjalanan ini, ahli rombongan telah diketuai oleh Ustaz Muhammad Aliffuddin b. Ramlee bagi menceritakan berkaitan maqam-maqam di sekitar Mansurah. Perjalanan yang mengambil masa selama 2 jam dari Kaherah ke Mansurah akhirnya sampai ke destinasi yang pertama iaitu makam Sheikh Muhammad Mutawalli dan perjalanan kami diteruskan lagi ke makam Sayyidi Muhammad bin Abu Bakar yang merupakan anak kepada Sayyiduna Abu Bakar as-Siddiq. Ahli rombongan meneruskan lagi menjejaki  maqam yang seterusnya iaitu maqam antara salah seorang sahabat Nabi SAW, Sayyidi Abdullah bin Salam.  Seusai solat zohor, perjalanan diteruskan ke maqam Syeikh ‘Isawi As-Syazuli, khalifah tariqat daripada aliran Qouqojiah. Perjalanan  berakhir dengan menziarahi maqam para syuhada  sewaktu perang tiga serangkai yang berlaku di Mansurah.


Disamping menziarahi maqam, ahli rombongan berkesempatan bertemu dangan Sheikh Usamah bin Ahmad bin A’tiah Al-Muti’ yang juga merupakan Imam Masjid Negeri Mansurah. Ahli rombongan berpeluang beramah mesra bersama as-Syeikh disamping berkongsi ilmu pengetahuan dan memberikan kata-kata semangat kepada ahli rombongan selaku penuntut ilmu Allah di Al-Azhar bersempena peperiksaan yang bakal tiba tidak lama lagi.


Selepas makan petang di masjid Syeikh ‘Isawi As-Syazulian, majlis penutup diakhiri dengan ucapan YDP BKPJM, Ustaz Mohamad Syakirin bin Mohd Khalid serta ucapan dari pengarah program, Ustaz Ainuddin Bin Abu Jamil. Ahli rombongan selamat tiba di Asrama Pelajar Johor Rabaah sekitar jam 9.00 malam.


“BKPJM KELUARGA KITA”

Khamis, 18 April 2013

KUNJUNGAN HEWI BKPJM KE MARKAZ HEWI PMRAM


KAHERAH , 17 April 2013 – Ahli Jawatankuasa HEWI BKPJM telah mengadakan kunjungan hormat ke Markaz HEWI PMRAM di Hayyu Sabiek. HEWI BKPJM selamat sampai di markaz sebelum jam 4 petang. Kunjungan ini merupakan kunjungan kali pertama selepas kenaikan HEWI PMRAM yang baru.

Pertemuan yang dihadiri semua  HEWI PMRAM itu dimulakan dengan bacaaan al-Fatihah. Agenda diteruskan dengan sesi taaruf yang dipengerusikan oleh saudari Nazuha binti Muhamad Suhimi, merangkap HEWI angkat negeri  Johor.

Seusai sesi taaruf, sesi perkongsian masalah diteruskan dengan dua hala antara HEWI BKPJM dan HEWI PMRAM. Setiap masalah yang dikongsi oleh PMRAM cawangan Johor, mendapat simpati malah sokongan padu yang diberikan oleh HEWI peringkat pusat. Kemudian, sesi pertanyaan dan cadangan dari HEWI cawangan Johor kepada peringkat pusat. Sesi ini bagi membantu PMRAM melebarkan sayapnya dengan mendengar cadangan-cadangan dari ahli, kemudian melaksanakannya dengan bantuan dan komitmen dari semua cawangan.

Kemudian, Ketua HEWI BKPJM diminta untuk memberikan kalam bicara. Katanya, “ Walaupun Johor diberi asakan pelbagai ujian, PMRAM sentiasa memberi sokongan dan bantuan. Dengan adanya PMRAM yang sentiasa bersama di sisi, PMRAM cawangan Johor rasa semakin kuat. Ini menunjukkan kita saling memerlukan antara satu dengan yang lain.”


“ Manusia yang paling untung ialah yang panjang umurnya dan sibuk membuat kebaikan. Sebagai pekerja, yang berada di posisi masing-masing, jalankan gerak-kerja bagi membantu orang lain, dan membantu Islam, seterusnya memastikan Islam itu tertegak”, kata Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM, saudari Siti Sarah binti Bushari.

Pertemuan itu diakhiri dengan penyampaian cenderahati dari Ketua HEWI BKPJM kepada Timbalan Pengerusi HEWI atas sokongan yang diberi PMRAM pusat dan tanda terima kasih menerima kunjungan HEWI PMRAM cawangan negeri Johor. Kemudian sesi diakhiri dengan sesi fotografi tanda kenangan bersama dan jamuan yang disediakan HEWI angkat.


Kami pihak BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan yang diberikan kepada PMRAM cawangan Negeri Johor selama ini. Semoga dengan sokongan yang diberikan, kedudukan PMRAM yang mencecah 83 tahun di Mesir ini kekal dan semakin utuh. Semoga juga hubungan di antara PMRAM pusat dan PMRAM cawangan Johor semakin erat.


KEFAHAMAN MELAHIRKAN GERAKAN MEMANGKIN KESATUAN
MENYEMAT IZZAH MERIBAT UKHUWAH