Ahad, 31 Mac 2013

RIANG RIA KARNIVAL SELAT TEBRAU

     KAHERAH, 23 - 28 Mac 2013 - Buat julung kalinya, Badan Kebajikan Pelajar-pelajar  Johor di  Mesir (BKPJM) telah mengadakan satu program tahunan yang diberi nama Karnival Selat Tebrau, bersempena dengan nama selat yang masyhur di Negeri Johor Darul Ta’zim.
           
     Tujuan Karnival Selat Tebrau ini diadakan bagi menyatu-padukan ukhuwah sesama anak-anak negeri Johor di Mesir sekaligus bertepatan dengan tema BKPJM iaitu "Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan" dan tema HEWI BKPJM iaitu "Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah".  Karnival ini diwarnai dengan pelbagai acara bermula dengan bazar, thaqafah dan jaulah dengan tema program yang dibawa iaitu “Rai Kepelbagaian Jana Kesatuan”.

     Bermulanya Karnival Selat Tebrau ini dengan Bazar Sri Warisan yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut pada 23 hingga 25 Mac. Bazar ini yang diadakan di Kedai Elixir dan dibuka dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.


     Penyertaan tender bazar mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan 10 buah gerai termasuk penyertaan dari  pelajar sains perubatan. Tambahan pula, kehadiran pelanggan dari semua PMRAM cawangan dan pelbagai negara seperti Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia yang tidak henti selama tiga hari itu menunjukkan sambutan yang diberikan amat menggalakkan terhadap Bazar Sri Warisan. Tidak ketinggalan, Bazar juga memberi tarikan kepada rakyat Mesir, yang datang mengunjungi dan membeli makanan asia di bazar cawangan Johor ini. Majlis Perasmian Karnival Selat Tebrau BKPJM 12/13 disambut pada 23 Mac di Bazar Sri Warisan yang dirasmikan oleh Badan Pengurus PMRAM, al-Fadhil Ustaz Ahmad Bin Jaafar. 




     Seterusnya Karnival Selat Tebrau ini diteruskan lagi dengan acara Thaqafah di Dewan Kutub Sittah Asrama Pelajar Johor Rabaah pada keesokan harinya. Pengisian indoor ini dimulakan dengan Slot Perubatan Islam iaitu “Mengenali Makhluk Halus dan Penyakitnya” yang disampaikan oleh saudara Ustaz Abdul Hadi bin Jusoh. Slot ini berlangsung pada 26 Mac jam 8 malam hingga 10.30 malam. Slot ini memberi penerangan secara jelas berkaitan penyakit, tanda dan rawatan yang berkaitan dengan makhluk halus, seperti santau, saka dan lain-lain.


Keesokan harinya, pengisian indoor diteruskan dengan Slot Riang Ria Keluarga. Slot ini berjalan secara santai disamping mengeratkan lagi ukhuwah adik-beradik BKPJM. Slot ini diadakan di Dewan Kutub Sittah bagi akhawat dan di Syaqah 2 bagi ikhwah. Acara yang disajikan bagi ikhwah ialah Battle Of  Karom dan Pro Evolution Soccer (PES’13). Manakala, bagi akhwat pula terdapat acara yang menarik seperti Kotak Beracun, Lose and Draw, Minda Pintar  dan lain-lain lagi.


    Acara indoor dimeriahkan lagi dengan Roadshow Unit Biah Solehah (UBS), HIsbah dan Unit Bait Muslim (UBM) pada sebelah malam.  Slot yang menarik ini menampilkan barisan panel yang hebat iaitu Al-Fadhil Ustaz Mohd Hakimi Bin Hussein (Ketua Unit Bait Muslim PMRAM), Al-Fadhil Ustaz Ahmad Baihaki Bin Rashid (Mantan Badan Pengurus PMRAM), dan Al-Fadhil Ustaz Mohd Fahmi Bin Rashid (Ketua Unit Biah Solehah PMRAM) dan dipengerusikan oleh moderator saudara Mohammad Alifuddin bin Ramlee.

    Pendekatan yang dibawa dari slot ini menunjukkan kepentingan dalam menjaga syakhsiah diri bagi menjamin suasana Islam yang sejahtera. Slot ini lebih menerangkan kepada pendengar berkaitan kepentingan Biah Solehah dan kaitannya dengan Hisbah dan Bait Muslim. Slot ini mendapat tarikan yang mencuit hati para pendengar sehingga setia hingga akhir program. Turut hadir pada malam ini, Badan Pengurus angkat Johor, saudara  Muhammad Adil bin Muhammad Fadzil dan HEWI angkat Johor iaitu saudari Siti Hajar Aisyah binti Sakdon, saudari Wan Nur Amirah binti Wan Yusoff dan saudari Nazuha binti Mohd Suhimi. Malam ini berakhir dengan penyampaian cenderahati buat barisan panel dan moderator slot, seterusnya hadiah bagi pemenang-pemenang Acara Riang Ria Keluarga.

     Karnival Selat Tebrau berakhir dengan jaulah, sekaligus merupakan penutup bagi program karnival ini. Jaulah ikhwah menuju ke Ein Sukhnah manakala akhawat di Qanatir. Jaulah ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari adik-beradik BKPJM dengan penyertaan yang ramai.

     Ikhwah bertolak dari Rumah Johor Rabaah dengan 4 buah tramco pada jam 9 pagi dan selamat sampai di Ein Sukhnah pada jam 11 pagi. Selepas sesi taklimat diberikan, para peserta dibahagikan kumpulan bagi meneruskan acara tarik tali. Kemudian acara bebas seperti mandi-manda dan binaan istana pasir. Majlis penutup diserikan dengan ucapan Pengarah 2, saudara Ainudin bin Abu Jamil, ucapan Pengarah Eksekutif, saudara Mohd Helmi Nor Hisham dan ucapan Yang DiPertua BKPJM, saudara Muhamad Syakirin bin Mohd Khalid. Majlis berakhir dengan bacaan wehdah yang diketuai oleh saudara Mohamad Yassaruddin bin Samsul sebagai simbolik kesatuan yang dibina kerana Allah Taala.

     Manakala, akhawat bertolak ke Qanatir pada jam 9.30 pagi dan selamat sampai pada jam 11 pagi. Seusai tiba, akhawat menuju ke taman bagi meneruskan acara outdoor  yang disediakan oleh pihak pengisian. Selepas sedikit taklimat diberikan, para peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan. Acara outdoor dimulakan dengan "Sebutan Vowel", seterusnya acara "Music Round". Selepas makan tengahari, para peserta melakukan aktiviti bebas seperti berbasikal, bermotor dan menunggang kuda. Selepas solat Asar, para peserta bergerak menuju ke laut untuk menaiki bot dan menuju ke Tahrir.











     Majlis Penutup bagi akhawat, dilaksanakan di atas bot. Majlis dimulakan dengan ucapan Ketua HEWI BKPJM, saudari Amira Afina binti Jamaludin, dan ucapan saudari Nur Atyqah binti Yusuff sebagai mushrif mutazawwijin yang menemani akhawat sepanjang jaulah. Majlis penutup diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah kepada pemenang. Perjalanan bot untuk sampai ke destinasi mengambil masa selama 2 jam lebih dan selamat sampai di Tahrir pada jam 7.00 malam. Akhawat selamat sampai di Asrama Pelajar Johor Rabaah pada jam 10 malam sejurus 15 minit ketibaan ikhwah.

     Pihak BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih kepada adhoc pelaksana Karnival Selat Tebrau yang bertungkus-lumus bagi menjayakan karnival ini. Tidak dilupakan kepada ajk dan semua adik-beradik BKPJM yang sudi dan banyak menghulurkan tangan, memberi bantuan demi memastikan program yang berkonsepkan ukhuwah ini berjalan dengan lancar sama ada secara langsung mahupun tidak.




Rai Kepelbagaian Jana Kesatuan
Respecting Diversty Encouraging Unity
تُعاشُ العَديدة تُنْبَتُ الوَحْدَة

"Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan"
"Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah"

Khamis, 21 Mac 2013

ROMBONGAN DELEGASI MAIJ SELAMAT SAMPAI KE BUMI MESIR



LAPANGAN TERBANG KAHERAH, 20 Mac –  Rombongan Delegasi Majlis Agama Islam Johor  (MAIJ) selamat tiba di lapangan terbang Kaherah pada jam 1 tengahari tadi. Delegasi yang tiba dari Jordan ini telah disambut oleh Yang DiPertua BKPJM, saudara Mohamad Syakirin bin Mohod Khalid dan barisan Ahli JawatanKuasa Tinggi saudara Mohd Helmi bin Nor Isham dan saudara Muhammad Nazeem bin Zainodin, serta penasihat BKPJM saudara Syed Miftahul Ulum bin Syed Mustafa Kamal bersama Pengurus Rumah Johor, Haji Maulan bin Asmoni di Lapangan Terbang Terminal  3 .





             Kehadiran Pengarah MAIJ, YB Dato’ Haji Abd Razak bin Hassan  bersama rombongan ke Mesir bagi menguruskan dan menghadiri sesi temuduga zakat pelajar-pelajar Johor baik dari Pengajian Islam mahupun Perubatan pada 21 Mac 2013.



            Antara delegasi yang turut menyertai rombongan ini adalah, Setiausaha  MAIJ,  Tuan Haji Mohd Noh bin Ibrahim, Timbalan Mufi Negeri Johor, Ustaz Yahya Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal & Wakaf MAIJ, Ustaz Mustafa bin Omar, Ketua Penolong Pengarah Pendidikan JAIJ, Ustaz Sulaiman bin Dumang, Pengurusan Zakat MAIJ, Ustaz Azlan Abdullah dan Pengurusan Waqaf MAIJ, Ustaz Mustafahyudin.


            Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) dan seluruh anak-anak Johor di Mesir mengucapkan selamat datang kepada seluruh Delegasi Majlis Agama Islam Johor ke bumi Perlembahan Nil ini.



Ahad, 10 Mac 2013

EXPERTS'13 MENDAPAT SAMBUTAN AHLI



RABA’AH EL-ADAWIYAH, 5 Mac 2013 – Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir di bawah Lajnah Penerangan dan Penerbitan (LPP) BKPJM telah mengadakan EXPERTS’13 pada 4 dan 5 Mac 2013.  Bengkel Adobe Photoshop dan Video ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelajar-pelajar Johor baik dikalangan ikhwah mahupun akhawat yang dilaksanakan di Dewan Kutub Sittah Asrama Pelajar Johor Rabaah. Program EXPERTS’13 ini juga turut mendapat tarikan dan penyertaan dari negeri lain.




EXPERTS’13 dimulakan dengan Bengkel Adobe Photoshop pada hari pertama yang dikendalikan oleh saudara Muhammad Amin Bin Sailan pada 4 Mac. Hari berikutnya pula diteruskan dengan Bengkel Video dan dikendalikan oleh tenaga pengajar yang sama. Kedua-dua hari tersebut berakhir dengan pemberian cenderahati kepada tenaga pengajar. Cenderahati disampaikan oleh Ketua Lajnah Penerangan & Penerbitan BKPJM, saudara Muhammad Firdaous Bin Abdullah diiringi Pengarah EXPERTS’13, saudara Muhd Syaffarin bin Zainal. 

       
Program ini diadakan adalah bertujuan untuk melahirkan generasi celik IT yang dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dari segi konteks yang berbeza dan selaras dalam menjayakan tema EXPERTS’13 ini iaitu “Medium Dakwah Kreatif Masa Kini”. Maka besarlah harapan dari BKPJM agar semua ahli dapat memanfaat ilmu yang telah dipelajari dan menjadi generasi pelapis pada masa akan datang.


BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada adhoc pelaksana EXPERTS’13 yang bertungkus-lumus dalam menjayakan kedua-dua bengkel ini. Seterusnya kepada peserta-peserta dan ahli BKPJM yang turut memberikan kerjasama dan komitmen sama ada secara langsung atau tidak di atas keberjayaan program ini dijalankan.


Sabtu, 9 Mac 2013

BKPJM PRIHATIN & CAKNA ISU SEMASA


HAYYU THAMIN, 7 Mac 2013 -  Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir di bawah  Unit Dakwah & Tarbiah BKPJM 12/13 telah mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat di dewan Ibnu Sina, Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin . Bacaan Yasin dan solat hajat diadakan bertujuan mendoakan keselamatan saudara  kita yang berjuang menentang pencerobohan di Lahad Datu , Sabah.


Sebelum menunaikan solat fardhu Maghrib, bacaan Qasidah beramai-beramai oleh adik-beradik BKPJM yang hadir . Selepas selesai menunaikan solat fardhu maghrib, bacaan Yasin dimulakan dan diketuai oleh saudara Muhammad Nazeem, Ketua Unit Kabajikan dan Tabung Derma BKPJM.  Selepas solat Isya’ pula, para jemaah mendirikan solat jenazah ghaib dan solat hajat  untuk roh anggota polis yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu serta mendoakan keselamatan negara kita dalam membanteras pencerobohan yang berlaku di sana.


Kemudian, para hadirin telah diberikan dengan pengisian yang menarik iaitu penerangan isu semasa berkaitan Palestin oleh Ustaz Abdul Muin bin Abdul Manan, Pengarah Mini-Pavilion (MAP). Penerangan isu semasa diakhiri dengan sesi soal jawab dan tamat pada jam 9.30 malam.

Keesokkan paginya, program bersambung dengan qiamulail secara berjamaah dan tazkirah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Malik bin Abdul Karim, yang merupakan Penasihat PMRAM 2012. Beliau menceritakan isu-isu semasa sekitar Mesir, Syria dan kejatuhan Khalifah Uthmaniyah.


Bagi menceriakan lagi pagi Jumaat, Unit Perumahan BKPJM juga turut mengadakan Gotong-royong Perdana di kedua-dua rumah Johor iaitu Ikhwah di rumah Johor Hayyu 8 manakala akhawat pula di rumah Johor Rabaah.

Tujuan diadakan program seperti ini diantaranya untuk mengimarahkan kedua-kedua rumah Johor dengan program-program yang bermanfaat dan berfaedah disamping merapatkan ukhuwah Islamiyah sesama adik-beradik BKPJM yang lain, selaras dengan misi BKPJM sesi ini iaitu menjayakan slogan “BKPJM Keluarga Kita”.