Selasa, 26 Oktober 2010

JELAJAH GEMPUR SYAKHSIAH MERIAHKAN ASRAMA PELAJAR JOHOR RAB’AH

Kaherah, 25 Oktober – Perlaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar adalah tuntutan fardhu ain bagi golongan yang mengaku taat dan beriman kepada ALLAH S.W.T. Sehubungan dengan itu, bagi menyemarakkan semangat ke arah melaksanakan tuntutan tersebut, Unit Dakwah dan Tarbiah Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Mesir (BKPJM) dengan kerjasama Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah menganjurkan Jelajah Gempur Syakhsiah yang bertempat di Dewan Asrama Pelajar Johor Rab’ah.

Jelajah Gempur Syakhsiah merupakan kesinambungan kepada siri-siri jelajah yang turut diadakan di beberapa muhafazah telah mendapat sambutan yang hangat daripada ahli-ahli BKPJM. Malah, program tersebut mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada ahli-ahli badan kebajikan anak negeri Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan juga Perlis serta beberapa orang wakil Badan Pengurus dan HEWI PMRAM.

Program dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran seterusnya disusuli dengan ucapan oleh Ex Officio program, Ustaz Al-Hasyir Bin Mohamad Rabeh. Perasmian Jelajah Gempur Syakhsiah kemudiannya telah disempurnakan oleh Yang Dipertua BKPJM, Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa Kamal.

Pelbagai acara menarik telah dilansungkan sepanjang program tersebut. Antaranya ialah slot tayangan video yang memaparkan tentang peranan unit-unit yang telah ditubuhkan dalam usaha mewujudkan suasana yang seiring dengan kehendak Islam di kalangan mahasiswa dan mahasiswi yang berada di bumi Mesir. Selain itu, turut diadakan sebuah forum bertajuk ‘Mengembalikan Identiti Akhlak Islamiah ‘ yang menampilkan ahli-ahli panel daripada Unit Hisbah, Unit Biah Salehah dan Unit Baitul Muslim.

Program tersebut telah diakhiri dengan acara penyampaian cenderahati kepada ahli panel-ahli panel forum dan tayangan video yang berkaitan dengan hukuman hudud. - Al Jauhar

Jumaat, 22 Oktober 2010

Pengakuan Pengarah JPMK Menandatangani Surat ‘AC ‘ Medic Mesir

Susulan daripada pertemuan saya selaku Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta, Us.Sulaiman Bin Ismail dan Pengerusi Perubatan Cawangan Tanta saudara Mohd Azhan Bin Hamdan bersama En.Shaiful Bin Muhammad, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Kaherah seperti yang telah dilaporkan sebelum ini. Maka, semalam bertarikh 21/10/2010 saya  bersama beberapa orang ahli Dewan Perwakilan Mahasiwa Tanta sekali lagi ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah untuk bertemu sendiri dengan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, Profesor Jamil Bin Hashim bagi mendapatkan penjelasan berkaitan surat yang telah dikeluarkan oleh pihak JPMK kepada agensi Medic Mesir.


Dalam pertemuan tersebut, kami bertanyakan kepada beliau tentang status surat tersebut, siapa yang mengeluarkan dan menandatangani surat tersebut.  Profesor Jamil mengakui bahawa surat tersebut telah ditandatangani oleh beliau dan dikeluarkan oleh kerani yang bertugas pada waktu itu. Professor Jamil mengatakan bahawa surat itu bukanlah surat keizinan menubuhkan Academic Centre (AC) seperti yang telah diwar-warkan oleh agen Medic Mesir akan tetapi hanya sekadar sokongan sahaja. Dari sudut keselamatan pula, Professor Jamil menyatakan bahawa tidak ada apa-apa jaminan dan segala risiko akan ditanggung oleh agensi  Medic Mesir sepenuhnya.

Meskipun begitu, saya amat kesal dengan tindakan Profesor Jamil  kerana menandatangani surat tersebut dalam keadaan surat itu terdapat banyak kesalahan dan menyalahi format penulisan surat yang sebenar. Sepatutnya, selaku Pengarah JPMK yang dihantar oleh pihak kerajaan Malaysia ke sini perlulah memainkan peranan sebaik-baiknya dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.  Apabila ditanya berkenaan kesalahan-kesalahan pada surat tersebut, beliau hanya berdiam sahaja dan mengatakan bahawa akan menyemak semula isi kandungan surat tersebut. Saya menganggap bahawa tindakan Profesor Jamil menandatangani tanpa menyemak isi kandungan merupakan satu kecuaian daripada pihak beliau sendiri. Bagaimana seorang yang berpendidikan tinggi dan bertaraf professional boleh melakukan kesilapan seperti ini.

Dalam  masa yang sama juga, Profesor Jamil mengatakan bahawa Kementerian Pengajian TInggi, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah & Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah tidak mengiktiraf mana-mana agensi di Mesir setakat ini. Apabila tidak mengiktiraf mana-mana agensi, maka pihak JPMK tidak  boleh mengeluarkan surat sokongan tersebut.  Tindakan Professor Jamil ini menyalahi etika kerja sebagai seorang yang berstatus pegawai kerajaan.

KENYATAAN RASMI PENGERUSI DPMT MENGENAI ISU SURAT RASMI JPMK KEPADA MEDIC MESIR

Makluman kepada seluruh warga Tanta yang dirahmati Allah S.W.T hendaknya. Pihak DPMT dengan penuh rasa bertanggungjawab ingin menyentuh mengenai isu surat yang dikeluarkan oleh pihak JPMK kepada Agen Medic Mesir iaitu  surat sokongan dan kebenaran menubuhkan Academic Centre ( AC) di Tanta yang tersiar di tantamedicmesir.blogspot.com.

Rentetan daripada surat yang dikeluarkan itu, kami menyedari terdapat beberapa kesalahan dan keraguan yang boleh dipertikaikan mengenai surat yang telah dikeluarkan oleh pihak JPMK kepada pihak Agen Medic Mesir itu. 

Dengan ini, saya MOHD SULAIMAN BIN ISMAIL selaku Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) bersama saudara AZHAN BIN HAMDAN  selaku Pengerusi Perubatan cawangan Tanta (PCT) telah mengadakan perjumpaan secara rasmi dengan Encik Shaiful Anuar Bin Mohammad yang merupakan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) di pejabatnya untuk mendapat penjelasan mengenai kesahihan surat tersebut.

Semasa perjumpaan, saya telah mengemukakan contoh surat yang dikeluarkan oleh pihak JPMK kepada Agen Medic  Mesir ini. Hasil penelitiannya, beliau menyatakan bahawa tidak tahu menahu langsung mengenai surat yang dikeluarkan itu. Ujarnya lagi, beliau begitu musykil dengan kesahihan pengeluaran surat tersebut dan akan mendapatkan kepastian dan maklum balas dari pihak JPMK sendiri.

Antara yang kami utarakan dalam pertemuan tersebut,kami menyatakan terdapat beberapa kesalahan dalam surat yang dikeluarkan oleh pihak JPMK. Antaranya, surat tersebut tiada nombor rujukan rasmi, kesalahan tatabahasa dan tandatangan yang tidak bernama akan tetapi menggunakan kepala surat rasmi JPMK sepenuhnya.

Justeru, seharusnya tidak berlaku sama sekali kesalahan tersebut kerana ianya menyalahi protokol surat rasmi jabatan kerajaan dan boleh menimbulkan keraguan terhadap ketelusan dan integriti  JPMK ini.

Dengan bukti yang ditimbulkan ini, surat ini dikira tidak sah dan tidak boleh dijadikan sokongan kepada agen Medic  Mesir sama sekali kerana terdapat banyak keraguan dan ketidaksahihannya.

Saya berharap dengan kenyataan ini, seluruh ahli di Tanta dari kalangan Pengajian Islam dan Perubatan jelas mengenai status surat ini yang telah dikeluarkan secara rasmi oleh JPMK.

Sekian, terima kasih.

Oleh,
MOHD SULAIMAN BIN ISMAIL,
Pengerusi,
Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta
Sesi 2010

Ahad, 17 Oktober 2010

Majlis Pelancaran Muzakarah Berkelompok


 


Kaherah,15 Oktober 2010 – Muzakarah berkelompok adalah merupakan satu cabang  penting untuk mahasiswa dan mahasiswi menimba ilmu pengetahuan. Dengan sentiasa mengadakan perbincangan secara berkumpulan, ahli muzakarah berkelompok mampu menghayati dan membentuk rasa kebersamaan seiring dengan slogan yang dilaungkan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) iaitu Satu Fikrah Satu Amal.

Majlis pelancaran muzakarah berkelompok yang diadakan serentak dengan muzakarah kelompok gabungan telah dirasmikan oleh Ustaz Mohd Adlan bin Mokhtarudin, Naib Presiden 1 PMRAM. Beliau juga merupakan Badan Pengurus angkat bagi PMRAM cawangan Johor . Majlis tersebut telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa sebagai seorang mahasiswa islam tidak sepatutnya meninggalkan muzakarah berkelompok kecuali telah sampai ajal seseorang itu. Ini menunjukkan betapa beliau sangat menitikberat tentang kepentingan muzakarah berkelompok dalam proses membina fikrah mahasiswa islam.

Disamping itu, terdapat pembentangan kertas kerja berkenaan pentingnya masa dalam kehidupan mahasiswa islam yang telah dibentangkan oleh Ustaz Ahmad Daniel Mohamad hasan selaku Ketua Unit Dakwah Dan tarbiyah BKPJM. 

Sebelum berakhirnya majlis, pembahagian kumpulan dan taakhi telah disempurnakan oleh Ustaz Yahya bin Samsul, pemangku Ketua Jabatan Fasilitator BKPJM 10/11. - aljauhar

Rabu, 6 Oktober 2010

Marhaban Serikan Sambutan Aidilfitri

 Kaherah,4 Oktober 2010 - Amalan berkunjung ke rumah-rumah sewa sambil melakukan marhaban dan bermaaf-maafan masih sinonim di kalangan mahasiswa Johor yang menuntut di Mesir setiap kali sambutan Aidilfitri.

Bagi meneruskan tradisi itu, Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Mesir (BKPJM), tidak ketinggalan menghidupkan suasana Aidilfitri di sekitar Kaherah dengan mengadakan kunjungan ke rumah-rumah ahli pada 3 dan 4 Oktober.

Antara rumah-rumah yang dikunjungi adalah yang terletak di kawasan Hayyu Sabi', Hayyu A'syir, Zahra dan Hayyu Thamin.

Ketua Unit Dakwah Dan Tarbiah BKPJM, Ahmad Daniel Mohamad Hasan, berkata amalan berkunjung atau ziarah menziarahi sempena Aidilfitri menjadi aktiviti utama BKPJM bagi meneruskan kesinambungan itu untuk mengelakkan budaya itu hilang begitu saja.

Beliau juga berkata, kumpulan marhaban yang kebanyakannya terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa yang baru tiba berpeluang mengunjungi dan berkenalan dengan mahasiswa-mahasiswa senior yang menetap di rumah-rumah sewa.

“Kumpulan marhaban kami terpaksa dipecahkan kepada dua kumpulan kerana jumlah rumah yang perlu dikunjungi agak banyak dan terletak berjauhan antara satu sama lain. Antara aktiviti yang dilakukan ialah berselawat dan berkenal-kenalan dengan tujuan mengeratkan lagi silaturahim antara pelajar baru dengan pelajar senior,"

Turut menyertai kunjungan marhaban sempena Aidilfitri ialah Yang Dipertua dan Ahli Jawatankuasa Tadbir BKPJM. - al jauhar

Selasa, 5 Oktober 2010

Insiden Terpotong Jari

Kaherah, 2 Oktober 2010 - Seorang mahasiswa Universiti Al Azhar, Muhammad Khaidir Hanizan, hampir pitam apabila dia melihat jari rakannya terpotong semasa mereka sedang menukar tayar motorsikal yang bocor di sebuah bengkel.

Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa, Muhammad Saifullah, mahasiswa tahun 2 Universiti Al Azhar cawangan Tanta, tidak sempat mengalihkan jarinya daripada rantai motorsikal tersebut ketika ianya berpusing.

Akibatnya, sedikit daripada hujung ibu jari kirinya terpotong.

"Saifullah lansung tidak menjerit kesakitan menyebabkan saya tidak menyedari apa yang berlaku sehinggalah dia menunjukkan ibu jarinya yang berdarah," kata Muhammad Khaidir.

Mangsa kemudian terus dihantar ke sebuah hospital di Hayyu Sabi' untuk menerima rawatan dan kejadian itu segera dilaporkan kepada Yang Dipertua BKPM.

Sementara itu, Ketua Unit Kebajikan Dan Tabung Derma BKPJM, Usamah Aris telah menyampaikan sedikit bantuan kepada Muhammad Saifullah sebagai tanda keprihatinan BKPJM di atas insiden yang telah berlaku.  Semoga beliau dapat menerima dan bersabar menghadapi ujian yang melanda serta mampu meneruskan pembelajaran sebaik mungkin. - al jauhar