Rabu, 8 Oktober 2014

PERSADA 14 : Bukti BKPJM Terus Utuh

PERSADA 14 : Bukti BKPJM Terus Utuh


Rabaah El Adawiah – Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 13/14 telah menganjurkan program bersempena Hari Raya Aidiladha yang dinamakan sebagai Perayaan Sambutan Aidiladha 2014 (PERSADA 14). Program ini telah berjaya menghimpunkan lebih 150 anak Johor yang menuntut di Bumi Mesir ini dari pelbagai bidang pengajian.

                Program ini telah berlangsung selama 3 hari berturut-turut.  Bermula dari 4 Oktober 2014 dan berakhir pada 6 Oktober 2014. Program PERSADA 14 ini dimulakan dengan proses penyembelihan dan melapah kambing kacang dan kambing biri-biri pada hari pertama yang berjumlah 34 ekor semuanya. Manakala pada hari kedua, proses sembelihan diteruskan lagi dengan menyembelih 2 ekor unta.Sebahagian besar tempahan yang diterima oleh BKPJM adalah dari kenalan di Malaysia. Satu kejayaan buat BKPJM dalam mengendalikan program Aidiladha yang berskala besar, sekaligus dapat menghimpunkan hampir seluruh warga Johor di Mesir

                PERSADA 14 dimeriahkan lagi dengan Majlis Hari Raya & Malam Anugerah Kecemerlangan yang berlansung pada hari ketiga. Pelbagai pengisian yang menarik telah disusun oleh BKPJM bagi meraikan kehadiran ahli yang terdiri daripada pelbagai bidang. Majlis ini dimulakan ucapan Pengarah PERSADA 14, Ustaz Ahmad Helmi bin Subhan dan diikuti dengan ucapan Yang DiPertua BKPJM 13/14, Ustaz Mohd Helmi bin Nor Isham. Perasmian penutup PERSADA 14 telah disempurnakan oleh Ustaz Syed Miftahul Ulum bin Syed Mustafa Kamal, Penasihat BKPJM 13/14 dengan ucapan dan gimik perasmian. Beliau juga turut melancarkan gimik pelancaran “Muzakarah Berkelompok”.


                 Majlis ini diserikan lagi dengan persembahan nasyid dari Al-Jawhary yang merupakan Johan Nasyid WARNA PMRAM.  Dalam majlis ini juga, seramai 47 mahasiswa telah menerima anugerah kecemerlangan daripada BKPJM di atas kejayaan mereka pada peperiksaan yang lepas. Semoga program PERSADA 14 ini dapat menautkan hati-hati anak Johor sama ada generasi baru mahupun yang lama. Wallahu ‘alam.


"Thaqafah Cemerlang Kesatuan Gemilang"
"Memposisi Mahasiswi Berintegriti Membentuk Generasi Bersinergi"