Khamis, 27 September 2012

Majlis Ramah Mesra Bersama Delegasi MAIJ dan Kerajaan Negeri Johor

APJ Thamin, 27 September 2012 - Majlis Ramah Mesra bersama Delegasi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan Kerajaan Negeri Johor telah bermula sekitar jam 8.30 malam di Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin semalam dan dihadiri oleh seluruh mahasiswa/wi negeri Johor yang datang dari pelbagai Kuliah dan Muhafazah. Majlis dimulakan dengan bacaan selawat oleh hadirin bagi mengiringi ketibaan para delegasi ke dewan APJ Hayyu Thamin.

Pihak BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli rombongan Delegasi MAIJ dan Kerajaan Negeri Johor yang diketuai oleh Dato' Hj Abdul Razak Bin Hj Hassan (Ketua Pengarah Eksekutif MAIJ), Tuan Haji Muhammad Noh Bin Hj. Ibrahim (Setiausaha MAIJ), Tuan Haji Samsudin Bin Samudi (Pengarah Biro Tata Negara), Ustaz Mustaffa Bin Hj. Omar (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Zakat, Baitul Mal, & Wakaf) serta yang turut terlibat dalam rombongan tersebut kerana sudi hadir ke Bumi Kinanah ini.

Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pegawai HEP Johor, Tuan Haji Muhammad Husni Tamrin Bin Md Sharif dengan  mengalu-alukan kedatangan seluruh ahli rombongan. Seterusnya beliau mengucapkan tahniah kepada para mahasiswa/wi yang berjaya dalam peperiksaan pada sesi yang lalu. Mudah-mudahan apabila pulang ke Malaysia nanti dapat menyumbangkan ilmu yang ada dengan sebaik-baiknya demi memartabatkan agama, bangsa dan Negara.

Seterusnya pihak majlis memberi ruang sepenuhnya bagi mendengar ucapan dari Ketua Pengarah Eksekutif MAIJ, Dato' Haji Abdul Razak Bin Hj. Hassan. Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar yang sanggup meninggalkan kampung halaman yang sebegitu jauh hanya kerana ingin menuntut ilmu. Kehadiran beliau juga difahamkan ingin memberikan sokongan moral kepada para mahasiswa/wi. Beliau turut mengingatkan para mahasiswa/wi bahawa matlamat serta kesanggupan untuk melanjutkan pelajaran merupakan satu pengorbanan yang sangat tinggi. Pada akhir majlis ramah mesra tersebut, Dato' Haji Abdul Razak Bin Hj. Hassan dengan berlapang dada membuka ruang soal jawab. Majlis bersurai setelah menjemput para delegasi untuk ke bilik jamuan.

Rabu, 26 September 2012

Ketibaan Rombongan Delegasi Kerajaan Negeri Johor & Majlis Agama Islam Negeri Johor ke Mesir.


Kaherah, 26 September 2012 - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) dengan rasa berbesar hati merakamkan ucapan Selamat Datang ke bumi Mesir kepada seluruh Delegasi Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Pada 25 September 2012 semalam, sebahagian daripada rombongan delegasi telah tiba dahulu di bumi Mesir untuk mengiringi mahasiswa/wi baru yang melanjutkan pengajian di sini. Seterusnya ketibaan sebahagian lagi anggota delegasi tersebut pada 26 September 2012 turut disambut mesra oleh Yang Di-Pertua BKPJM, saudara Muhammad Yazid Hanzir, barisan penasihat BKPJM dan Pejabat Pegawai HEP Johor Mesir.


Keberadaan delegasi di sini adalah sempena Lawatan Kerja Rasmi dan meluangkan masa untuk beramah mesra bersama anak-anak Johor yang berada di bumi Mesir. Oleh yang demikian, pihak delegasi yang diketuai oleh Dato' Abdul Razak bin Hasan (Ketua Pengarah Eksekutif MAIJ) akan menganjurkan Majlis Ramah Mesra pada 27 September 2012 di Dewan Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin.

Semoga dengan kehadiran delegasi pada kali ini bagi menziarahi anak-anak Johor di bumi Anbia' ini menceriakan kami yang merantau jauh dari tanah air tercinta.

AHLAN WA SAHLAN ILA ARDHIL KINANAH.

"Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah"
"Kefahaman melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan"

Selasa, 25 September 2012

Semangat Baru Terpancar Daripada Para Mahasiswa/wi



Kaherah, 25 September 2012 – Tepat jam 5.45 pagi, kehadiran para mahasiswa/wi baru bagi sesi 2012/2013 ke perlembahan nil akhirnya selamat tiba di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir hari ini. Bersama-sama dengan rombongan para mahasiswa/wi adalah saudara Mohd Syafiee Musni selaku ketua rombongan yang dilantik oleh Al-Kawsar Travel serta rombongan Delegasi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan Kerajaan Negeri Johor.

Kelihatan di lokasi adalah Yang Di-Pertua BKPJM, saudara Muhammad Yazid Hanzir, Ketua HEWI BKPJM, saudari Adibah Jamal, barisan AJKT dan HEWI BKPJM, juga saudara Abdul Nafi' Taqiuddin Roslan dan saudara Al-Amin Haji Salleh selaku Badan Pengurus PMRAM, Ahli Jawatankuasa Pelaksana USMB BKPJM, serta wakil daripada Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Johor Mesir.


Pihak BKPJM di bawah unit Urus Setia Sambutan Mahasiswa/wi Baru (USMB) mengucapkan "Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban" kepada seluruh mahasiswa/wi yang telah selamat tiba di Mesir untuk meneruskan pelajaran ke Universiti Al-Azhar. Semoga kehadiran para mahasiswa/wi baru 2012 ini memberikan semangat baru kepada abang-abang dan kakak-kakak senior di bumi Anbiya' ini.

 
Tambahan : Gambar selanjutnya boleh didapati di Fanpage Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir [BKPJM]

Isnin, 3 September 2012

BKPJM DAN BKPJJ BEKERJASAMA DALAM ISU MAHASISWA



JOHOR BAHRU, 30 OGOS 2012-Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) telah mengadakan satu pertemuan dengan Badan Kebajikan Pelajar Johor Jordan (BKPJJ) bertempat di Larkin, Johor Bahru.

Pihak BKPJM telah diwakili oleh Saudara Syed Miftahul Ulum bin Syed Mustafa Kamal selaku Penasihat BKPJM sesi 2011/2012 bersama dua orang ahli BKPJM iaitu Saudara Muhammad Syuaib bin Sangkrah dan Saudara Muhammad Syafiee bin Musni. Manakala wakil dari BKPJJ pula ialah Yang DiPertua BKPJJ, Saudara Harith Hanif Hamdan dan seorang ahli BKPJJ Saudara Mohd Hafizuddin Syah.

Pertemuan yang berlangsung selama satu jam itu antaranya membincangkan hubungan dua hala antara BKPJM dan BKPJJ serta perkongsian isu seputar mahasiswa yang berlaku di Mesir dan Jordan khususnya berkenaan isu kebajikan dan pencabulan hak terhadap mahasiswa.

“Antara isu yang berlaku terhadap anak-anak Johor di Jordan ialah berkenaan isu permohonan zakat negeri Johor apabila daripada seramai 31 oarang mahasiswa-mahasiswi Johor yang ditemuduga hanya 6 orang sahaja yang diterima permohonan zakat mereka. Nama-nama pemohon yang layak tersebut telah diumumkan sendiri oleh pihak Pejabat Pegawai HEP Johor Mesir namun tiada sebarang penjelasan dibuat berkenaan permohonan-permohonan lain yang tidak berjaya.” Ujar Saudara Harith Hanif Hamdan, YDP BKPJJ.
Pihak BKPJJ juga turut melahirkan rasa kecewa terhadap siri-siri penindasan dan tindakan tidak matang yang dikenakan terhadap BKPJM dan ahli-ahlinya oleh pihak Pegawai HEP, bahkan turut menyatakan sokongannya kepada BKPJM terhadap isu-isu yang berlaku.

Pertemuan tersebut turut menghasilkan sebuah resolusi bersama iaitu BKPJM dan BKPJJ bersetuju untuk membawa perkara ini ke peringkat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) untuk diambil perhatian dan tindakan segera.Perkara tersebut akan dibawa kepada pihak MAIJ dalam waktu yang terdekat.

YDP BKPJM, Saudara Muhammad Yazid Hanzir ketika dihubungi melahirkan rasa berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak BKPJJ di atas segala sokongan dan kerjasama yang telah diberikan. Beliau mendoakan agar hubungan yang telah sedia terjalin antara kedua-dua badan induk pelajar-pelajar Johor Mesir dan Jordan ini akan terus utuh dan usaha yang dibuat demi menjaga kebajikan dan kemaslahatan   anak-anak Johor dipermudahkan oleh Allah S.W.T.