Rabu, 22 Disember 2010

KEPULANGAN PEGAWAI HEP JOHOR KE TANAH AIR

Kaherah, 20 Disember  – “Harimau mati meninggalkan belang, Ustaz Hanif pergi meninggalkan jasa”. Ustaz Haji Ahmad Hanif Bin Haji Naim, Pegawai Hal Ehwal Pelajar Johor di Mesir akhirnya pulang ke tanah air setelah 2 tahun lamanya berkhidmat di perantauan.  

Terdahulu, satu majlis perpisahan antara anak-anak Johor bersama pegawai telah diadakan di Asrama Pelajar Johor Rabaah pada 16 Disember 2010. Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 100 pelajar Johor tersebut diselubungi dengan perasaan sayu dan hiba mengenangkan jasa dan  kenangan bersama pegawai yang amat dikasihi oleh seluruh anak-anak Johor di Perlembahan Nil ini. Jasa yang ditabur beliau bukan sahaja dirasai oleh anak-anak Johor tetapi kepada seluruh anak-anak Melayu yang di bumi Anbiya’ ini.

Antara jasa beliau yang akan diingati oleh seluruh anak-anak Melayu amnya dan anak-anak Johor khasnya ialah apabila membantu menjayakan program Majlis Pembacaan Kutub Sittah anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang cuba digagalkan oleh pihak tertentu dengan membenarkan pihak PMRAM menganjurkan majlis tersebut di Asrama Pelajar Johor Rabaah. Beliau juga amat mengambil berat mengenai kebajikan anak-anak Johor terutamanya berkenaan pencapaian akademik pelajar.

Amanat terakhir beliau dalam ucapannya di majlis tersebut ialah berharap agar semua pelajar menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran akademik masing-masing. Beliau juga berharap agar siswazah lulusan Mesir dapat tampil kehadapan untuk berkhidmat kepada masyarakat apabila pulang ke tanah air kelak. Selain itu, beliau turut menyarankan agar mahasiswa mengambil peluang untuk mengikuti latihan praktikal ketika pulang bercuti di Malaysia.

Kepulangan beliau diiringi oleh beberapa pegawai kebajikan negeri-negeri lain bersama hampir 50 anak-anak Johor jelas menunjukkan tanda ukhwah dan rasa cinta kasih mereka kepada pegawai.

Beliau berlepas pulang ke Malaysia dengan menaiki penerbangan Egypt Air pada jam 12.00 tengah malam. Semoga kepulangan beliau ke Malaysia dapat membantu masyarakat dalam usaha menegakkan agama Islam yang tercinta di tanah air. Salam perjuangan daripada anak-anak Johor di perantauan.  – al jauhar

Isnin, 13 Disember 2010

Mahasiswa Perlu Lengkapkan Diri

Kaherah, 12 Disember - Sambutan Maal Hijrah 1432 telah disampaikan oleh Tuan Hj Mursyid B Maarof dan Puan Hajah Rahimah Bte Kemat dengan jayanya. Forum tersebut telah diadakan di dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah pada 11 Disember 2010 yang lepas.

Forum tersebut yang bermula pada jam 6 malam telah dipengerusikan oleh Ustaz Kamal Arif Bin Bakri. Forum telah diadakan sebanyak 2 pusinganan dan di antara pesanan yang diberi oleh ahli panel adalah pelajar hendaklah menitik beratkan keperluan diri sebagai graduan dan mahasiswa yang mempunyai bekalan ilmu agama yang mencukupi terutama dalam 3 aspek iaitu Quran,hadis dan tafsir supaya mahasiswa dan mahasiswi tidak dipandang enteng oleh masyarakat serta tidak menjadi fitnah kepada agama. Adalah tidak wajar sekiranya mereka yang bergelar graduan al-azhar tidak mahir dalam cabang ilmu yang menjadi asas agama.

Majlis diteruskan dengan sesi soal jawab. Antara soalan yang diutarakan oleh mahasiswa ialah bagaimana cara yang terbaik untuk memupuk budaya mengambil cakna terhadap penggunaan kalender hijrah berbanding dengan kalender masihi.
 
Majlis telah tamat pada jam 8 malam dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada ahli panel yang disampaikan oleh pegawai kebajikan, Ustaz Ahmad Hanif B Naim. - al jauhar

Selasa, 7 Disember 2010

Ramah Mesra Bersama Delegasi MAIJ Berlansung Meriah


Kaherah, 6 Disember - Majlis ramah mesra bersama delegasi  Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) anjuran Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM) telah berlangsung dengan jayanya pada 5 Disember 2010 yang lepas.

Majlis dimulakan sekitar jam 7 malam dengan ucapan aluan dari Yang Dipertua BKPJM, Ustaz Miftahul Ulum Bin Syed Mustafa Kamal. Beliau mewakili seluruh pelajar-pelajar Johor di Mesir mengalu-alukan kedatangan delegasi tersebut. Selain itu, beliau telah mengajukan beberapa perkara untuk dipertimbangkan di peringkat MAIJ. Antaranya ialah memohon kenaikan dermasiswa bagi pelajar pengajian Islam daripada RM 4,000 kepada RM5,000 dan juga memohon penambahan kuota pinjaman berubah bagi pelajar-pelajar perubatan. Beliau mengakhiri ucapan dengan menitipkan salam buat Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ yang baru iaitu Tuan Hj Elias B Hasran.

Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan daripada ketua delegasi MAIJ, Tuan Hj Mohammad Nasir Bin Abd Salam. Di dalam ucapannya, beliau memberikan respon yang baik terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Yang Dipertua serta berjanji akan membawa perkara tersebut ke perinagkat MAIJ. Selain itu,beliau turut menekankan tentang pentingnya anak-anak Johor di bumi Mesir untuk bersatu di bawah BKPJM dan memberikan komitmen yang baik terhadap setiap program yang dilaksanakan oleh persatuan dan juga pejabat pegawai.

Setelah itu, majlis diteruskan sesi soal jawab. Antara soalan yang diajukan oleh pelajar ialah berkenaan tentang kursus bahasa arab yang dianjurkan oleh MAIJ terhadap pelajar-pelajar yang akan berangkat ke Mesir. Perkara tersebut telah diberi respon daripada Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Zakat, Ustaz Haji Ahmad Faisal B Mohamed. Beliau menerangkan bahawa perkara tersebut merupakan suatu ketetapan yang dibuat oleh MAIJ terhadap para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang pengajian Islam.

Seterusnya, majlis disusuli pula dengan ucapan daripada Ustazah Hajjah Rahimah bte Kemat, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Johor. Beliau menasihatkan agar pelajar-pelajar berusaha sedaya upaya yang mungkin dalam usaha untuk menguasai pelbagai bidang ilmu yang terdapat di Mesir. Beliau turut menekankan tentang pentingnya penguasaan ilmu bukan sahaja dalam bidang yang sedang dituntut ketika ini, bahkan perlu ditambah dengan ilmu-ilmu kemahiran yang mempu memberi nilai tambah yang lebih kepada diri seseorang pelajar.

Selesai ucapan daripada wakil-wakil delegasi, majlis kemudiannya dihidangkan dengan tayangan video pengenalan pimpinan BKPJM sesi 2010/2011 dan sekitar aktiviti-aktiviti yang dianjurkan BKPJM sepanjang tahun 2010.

Majlis diakhiri dengan slot penyerahan cenderahati daripada pihak BKPJM kepada anggota-anggota delegasi. Turut diadakan ialah penyerahan sumbangan tahunan daripada MAIJ kepada BKPJM untuk aktiviti-aktiviti kebajikan bernilai RM 10,000 dan juga sumbangan sempena sambutan hari raya qurban yang lepas bernilai RM 5,000. – al jauhar

Temuduga Zakat Dan Pinjaman MAIJ Berjalan Lancar


Kaherah, 5 Disember 2010 – Asrama Pelajar Johor Rabaah sekali lagi menerima kunjungan rombongan delegasi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) yang diketuai oleh Tuan Haji Mohd Nasir Bin Ab. Salam, Setiausaha Majlis Agama Islam Johor. Delegasi kali ini selamat sampai di bumi Mesir pada 3 Disember lalu hadir bagi menemuduga pelajar-pelajar johor yang memohon bantuan zakat dan pinjaman MAIJ. Selain itu, delegasi ini juga hadir bagi mengetahui dan meninjau sendiri perkembangan pelajar-pelajar johor di Perlembahan Nil. 

Sesi temuduga bantuan zakat dan pinjaman MAIJ diadakan pada 4 Disember 2010, bermula jam 8.00 pagi. Sesi temuduga tersebut telah dijalankan secara berasingan untuk 2 kelompok calon iaitu calon daripada kalangan pelajar pengajian Islam dan pelajar perubatan. 

Kebanyakan pelajar pengajian Islam yang memohon bagi bantuan zakat adalah terdiri daripada pelajar tahun 1 dan tahun 3. Manakala bagi pelajar perubatan yang memohon bantuan pinjaman, rata-rata terdiri daripada mereka yang berada di tahun 1 dan 2 pengajian. Soalan-soalan yang diajukan kepada calon lebih berkisar kepada latar belakang keluarga, keputusan peperiksaan yang lepas dan kemahiran berbahasa arab.

Sesi temuduga berhenti rehat pada jam 12.00 tengahari bagi memberi laluan kepada waktu solat zohor dan makan tengahari. Seterusnya sesi temuduga disambung semula dan ditamatkan pada jam 5 petang. – al jauhar