Semenanjung Sinai 15-17 Februari 2010 - Rehlah Tarbawiah Semenanjung Sinai 2010 telah mencatat memori indah buat ahli-ahli rombongan. Rehlah Tarbawiah kali ini telah disertai 30 orang pelajar dan turut menyertai ahli rombongan ialah Al-Fadhil Ustaz Haji Ahmad Hanif Hj Naim, Pegawai Kebajikan Pelajar Johor Mesir beserta keluarga.
Rombongan bertolak dari Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin pada 15 Februari, jam 2.30 pagi. Rombongan seterusnya berhenti rehat di Sinai Rest House untuk sarapan dan solat Subuh. Seterusnya rombongan bertolak ke Taba, sempadan 3 negara iaitu Mesir, Jordan dan Palestin. Seterusnya rombongan melawat Kubu Sultan Salahuddin Al-Ayubi. Tepat jam 1.30 petang, rombongan sampai di Dahab dan menginap di Bishbishi Camp. Di Dahab, ahli rombongan melakukan berbagai aktiviti seperti berenang, snorkelling, membeli-belah dan sebagainya.
Pada pagi 16 Februari 2010, rombongan keluar dari Bishbishi Camp menuju ke Maqam Nabi Saleh AS. Seterusnya, rombongan bertolak ke Maqam Nabi Harun AS dan kawasan lembu Samiri. tepat jam 3 petang, rombongan bertolak menuju ke Mata Air 12 dan Wadi 40. Kemudian, rombongan menginap di Moonland Camp sebagai persediaan untuk menawan puncak Sinai keesokan harinya.
Jam 1.30 pagi 17 Februari, rombongan memulakan usaha menawan puncak Gunung Tur Sina, gunung yang tercatat dalam sejarah sebagai tempat Nabi Musa AS menerima Kitab Taurat dan bermunajat selama 40 hari, juga gunung di mana Baginda berbicara dengan Allah SWT. Seramai 28 orang ahli rombongan termasuk 2 orang puteri Ustaz Hanif telah berjaya menawan puncak gunung tersebut. Ahli rombongan pertama sampai di puncak gunung pada jam 4 pagi. Ahli rombongan solat Subuh di puncak gunung, seterusnya menghayati keindahan terbitnya mentari pagi.
Seterusnya rombongan memulakan penurunan pada jam 7 pagi melalui jalan yang dilalui oleh Nabi Musa AS. Penurunan memakan masa 2 jam. Seterusnya, ahli rombongan disajikan hidangan enak dan dibawa ke Uyun Musa. Kemudian, rombongan bertolak ke Nuqtah Hasinah, kawasan bekas Kubu Israel yang kini ditawan oleh tentera Mesir. Jam 4.30 petang, rombongan memulakan perjalanan pulang ke Kaherah dan sampai di Kaherah pada jam 8 malam.
Rehlah tarbawiah kali ini berjalan dengan lancar dan berjaya mencoret satu kenangan yang sangat manis bagi ahli rombongan. Selaras dengan moto BKPJM, Kebajikan Dan Perpaduan, rehlah kali ini telah berjaya menyemai rasa kesatupaduan demi membantu menjaga kebajikan anak-anak Johor di bumi Mesir.
Selain itu, rehlah kali ini juga berjaya memupuk sifat pengorbanan ahli-ahli rombongan melalui kisah-kisah Sirah Nabawiah yang dibuktikan dengan kewujudan kesan-kesan sejarah yang dilawati sepanjang perjalanan. Mudah-mudahan dengan adanya program yang bermanfaat seperti ini, ahli-ahli BKPJM akan menjadi insan yang akan berbakti kepada masyarakat tidak kira sebagai seorang penuntut ilmu ataupun sebagai pejuang agama Islam apabila pulang ke tanah air nanti. - aljauhar