Jumaat, 25 Disember 2009

Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin dimasuki pencuri

JUMAAT, 25 DISEMBER 2009: Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin, salah sebuah rumah penuntut-penuntut Johor yang sangat bersejarah, sekali lagi dimasuki pencuri. Kejadian berlaku ketika kaum Muslimin sedang menunaikan solat Jumaat. Pada waktu yang sama, hampir semua ahli asrama tiada di rumah kerana mengikuti Jaulah Maqam anjuran bersama USR dan Jabatan Nuqaba'.

Pencuri tersebut dipercayai memecah masuk melalui tingkap Syaqah 2. Kejadian disedari selepas solat Jumaat apabila salah seorang mangsa menyedari kehilangan komputer riba miliknya yang ditinggalkan di dalam bilik. Selepas pemeriksaan, didapati beberapa benda berharga lain juga hilang. Antara barang berharga yang hilang ialah 5 biji komputer riba, 3 biji telefon bimbit, sebuah external hard disk, sebuah pemain mp3, dan lain-lain. Kerugian dianggarkan berjumlah lebih daripada LE 15 000.

Sejurus dihubungi, Yang DiPertua BKPJM 09/10, Ustaz Basir Bin Mohamed bergegas untuk meninjau keadaan dan melaporkan kes ini kepada pihak berkuasa. Beliau melaporkan kes ini kepada pihak polis dengan ditemani salah seorang mangsa. Pihak polis memberi jaminan untuk menghubungi YDP jika ada apa-apa perkembangan terbaru.

Selain itu, lawatan yang diadakan oleh semua ahli Badan Pengurus PMRAM diketuai Ustaz Abdul Muizz Bin Muhammad, Presiden PMRAM, sedikit sebanyak membantu meringankan kesedihan hati mangsa-mangsa kes tersebut. Menurut salah seorang mangsa, kalam motivasi yang diberikan oleh Tuan Presiden banyak memberi perangsang untuknya bersabar. Di samping menenangkan mangsa, Tuan Presiden juga sempat menyampaikan sumbangan daripada Badan Pengurus PMRAM kepada mangsa-mangsa kes kecurian ini.

Tuan Presiden PMRAM, Anggota Badan Pengurus PMRAM, HEWI PMRAM, dan AJKT dan HEWI BKPJM 09/10 mengucapkan takziah kepada mangsa-mangsa kecurian ini. Diharapkan kepada semua mangsa agar terus bersabar dan mengambil iktibar daripada kejadian ini.

Kejadian ini juga memberi peringatan kepada kita semua warga Malaysia untuk lebih berhati-hati sepanjang tinggal di bumi Mesir ini, terutama ketika waktu-waktu yang dikenalpasti banyak berlaku kes kecurian seperti waktu solat Jumaat dan waktu malam.

Jumaat, 18 Disember 2009

Majlis Sambutan Maal Hijrah 1431

RUMAH JOHOR RAB'AH, 17 Disember 2009-Bersempena Sambutan Tahun Baru Hijrah 1431 H, Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir mengambil kesempatan ini dengan menganjurkan majlis ringkas. Majlis yang dimulakan sekitar jam 3.30 petang dengan alunan qasidah-qasidah terpilih dan bacaan doa akhir tahun hijrah 1430. Majlis disambung semula selepas menunaikan solat fardhu Maghrib dengan bacaan doa awal tahun hijrah 1431 seterusnya, tazkirah yanng disampaikan oleh Pegawai HEP Johor, Tuan Hj Ahmad Hanif Hj Ahmad.

Timbalan YDP merangkap Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM berkata, program ini amat penting untuk mengembalikan semula semangat Hijratur Rasul dan para sahabat di dalam proses perkembangan Islam untuk umat sejagat. Majlis yang dihadiri hampir 200 orang ahli BKPJM seterusnya mengadakan program solat sunat hifzi yang diimamkan oleh Ustaz Syuaib Sangkrah Al-Hafiz.

"Solat hifzi merupakan solat sunat empat rakaat yang bertujuan untuk memohon perlindungan dan pertolongan daripada Allah swt agar dipermudahkan kepada kita segala kefahaman dan ilmu yang didamba, akan kekal di hati. Insyaallah, program solat sunat hifzi ini akan diadakan pada hari Khamis malam Jumaat, selepas solat fardhu Isyak setiap minggu sehingga tiba peperiksaan. Mahasiswa/siswi Johor khasnya dan seluruh mahasiswa/siswi Malaysia di Mesir amnya, dijemput hadir untuk bersama-sama berjamaah menunaikan solat sunat hifzi" katanya lagi. -aljauhar