Selasa, 12 Januari 2010

Artikel: Taubat Sang Pemalas


“Terima kasih ustaz. Azam saya tahun ini, saya mahu hadir lebih kerap lagi ke majlis ilmu. Nak berubah!” kata seorang anak muda.


Beliau hadir ke salah satu program saya baru-baru ini.

“Alhamdulillah. Baguslah begitu. Semoga istiqamah,” saya memberi semangat.

“Ustaz tahu kenapa saya nak berubah?” tanyanya kepada saya tanpa diminta.

“Kenapa?” saya tidak tahu apa yang saya tidak tahu.

“Saya kasihan tengok orang macam ustaz!” ujar beliau.

“Kasihan macam mana? Ustaz gembira sahaja. Berceramah sentiasa lebih seronok daripada mendengar ceramah. Bukankah erti hidup pada memberi!” saya menjawab.

“Betul tu. Cuma saya terfikir sesuatu. 20 orang pelajar yang sepatutnya belajar, bertungkus-lumus menjadi AJK mengatur program. Banyak susah payah yang terpaksa mereka hadapi. Mereka kena mesyuarat untuk cari idea supaya program ini menarik perhatian dan tidak stereotaip. Mereka kena fikir bab makanan dan jamuan. Mereka tak cukup tidur dan keletihan…” kisah anak muda itu.

“Itu kan bagus. Latihan dan peluang mendapat pahala” saya mencelah.

“Itu baru mereka. Ustaz pula kena buat persediaan. Buat macam-macam slaid. Tinggalkan isteri, tinggalkan anak-anak. Musafir jauh-jauh. Nak kata sebab duit, saya yakin berapa sangatlah duit yang ustaz dapat. Tapi ustaz datang juga. Dan ceramah berjam-jam dengan penuh semangat” sambungnya lagi.

“Rutin yang menyeronokkan” saya menyelit.

“Semuanya kerana nak bagi orang macam saya ni sedar. Dapat ilmu, dapat petunjuk. Berpuluh-puluh orang malah beratus yang bersusah payah untuk saya. Tiba-tiba saya lebih selesa lepak di bilik main game atau tidur sahaja. Ustaz rasa patut tak Allah bakar saya dalam Neraka kerana malas dan degil saya?” soalnya dengan nada serius.

“Allah Maha Pengampun” saya menjawab.

“Maha Pengampun kepada orang yang tidak pernah minta ampun?” tanya anak muda itu.

Saya terdiam.

“Pada saya, setiap kali ada program di kampus, ada 1001 pengorbanan yang berlaku untuk menjayakannya. Golongan yang tak endah dengan program itu adalah manusia yang kufur nikmat. Kalau nanti masuk Neraka pun, semua orang akan kata, memang patut pun! Sebab itu saya takut ustaz. Saya janji pada diri sendiri untuk tidak lagi mensesiakan majlis ilmu terutamanya yang diatur khusus untuk orang macam saya. Kaum pemalas!” katanya.

Antara sedih dan terharu, hinggap pula di hati saya perasaan lucu.

“Tahu takpe!” hati berkata.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Sumber: Klik Sini

Penulis merupakan juru runding latihan sepenuh masa. Layari web rasmi beliau www.saifulislam.com

Khamis, 7 Januari 2010

PMRAM, BKPJM Prihatin Terhadap Ahli

KAHERAH, 7 JANUARI 2010: Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir (BKPJM) telah menyalurkan sumbangan kewangan kepada beberapa orang pelajar Johor yang telah ditimpa musibah baru-baru ini. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Basir Bin Mohamed, Yang DiPertua BKPM 09/10 kepada beberapa orang pelajar terbabit.

Beberapa kutipan derma juga telah dilancarkan oleh pihak UKTD BKPJM untuk membantu meringankan beban mangsa. Antara tabung yang dilancarkan untuk meringankan beban ahli ialah tabung derma kilat untuk Ustaz Muhammad Al-Hidayat Bin Khalid, Ustazah Mahfuzah Bte Saidina Abu Bakar, Ustaz Yasaruddin Bin Samsul, dan Ustaz Fakhrurrazi Bin Ahmad Affandi yang ditimpa kemalangan jalanraya. Begitu juga wang Tabung Khairat BKPJM telah disalurkan kepada beberapa pelajar yang ditimpa musibah seperti Ustaz Ahmad Rafiuddin Syahidullah, Ustaz Syafiee Bin Musni, Ustaz Mohd Akhmal Bin Ali, dan lain-lain.

Selain itu, sumbangan duit khairat dan sumbangan dari PMRAM telah diagihkan kepada mangsa-mangsa kes kecurian baru-baru ini. Sumbangan dari PMRAM telah disampaikan sendiri oleh Presiden PMRAM, Ustaz Abdul Muizz Bin Muhammad yang diiringi oleh beberapa Anggota Badan Pengurus PMRAM sejurus selepas kejadian. Beliau juga turut menyampaikan sumbangan kepada BKPJM untuk disampaikan kepada keluarga Al-Marhum Ustaz Muhammad Hidayatussaufi Bin Mohd Khalid semasa Majlis Tahlil Arwah di Asrama Pelajar Johor Rabaah baru-baru ini.

Sumbangan-sumbangan ini membuktikan PMRAM dan BKPJM prihatin terhadap ahli, selaras dengan motto BKPJM, "Kebajikan dan Perpaduan". -aljauhar

Ahad, 3 Januari 2010

Jenazah Allahyarham Hidayatussaufi selamat dikebumi

MERSING: Jenazah Allahyarham Mohd Hidayatussaufi bin Md Khalid telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Air Merah, Mersing sekitar jam 12.30 tengahari waktu Malaysia. Jenazahnya yang dibawa terus dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru setelah menghembuskan nafas yang terakhir sekitar jam 4.15 pagi waktu Malaysia.

Segala urusan solat jenazah dan pengkebumiannya berjalan dengan lancar dan ramai yang mengunjung termasuk sahabat-sahabat lepasan Universiti Al Azhar. Cuaca agak panas, namun ketika jenazah diturunkan dari van, hujan gerimis mengiringi perjalanan ke tanah perkuburan. Didoakan agar Allahyarham mendapat syahid di sisi Allah SWT.

Justeru, pihak BKPJM akan mengadakan Solat Jenazah Ghaib di Dewan Asrama Pelajar Johor Rab'ah selepas solat fardhu Maghrib. Bagaimanapun jika ada sebarang perubahan pihak BKPJM akan memaklumkan kemudian. - aljauhar



Gambar ehsan: Ustaz Syafiq Zulakifli

Jumaat, 1 Januari 2010

Al Fatihah. Hidayatussaufi telah kembali ke rahmatullah.


Sebagai Naqib mahasiswa baru BKPJM


Keluarga Hidayatussaufi



KEMAS KINI

JOHOR BAHRU: Terkini! Al Fatihah. Hidayatussaufi telah kembali ke rahmatullah pada jam 4.15 pagi waktu Malaysia (10.15 malam waktu Mesir).

Jenazah mungkin akan dibawa ke Mersing dan diuruskan di sana. Berita lanjut menyusul.

berita terdahulu...

JOHOR BAHRU: Maklumat dari saudara Muhd Hairi Hamzah, Mantan Penasihat BKPJM mengatakan Hidayatussaufi telah dipindahkan ke wad pesakit biasa. Namun masih belum sedarkan diri. Bagaimanapun dimaklumkan Hidayatussaufi dalam keadaan tenat. Hal ini dimaklumkan pula oleh adik beliau yang menghubungi saudara Nuruddin Zanki Hamzah melalui sistema pesanan ringkas (SMS).

Pihak keluarganya memohon agar kita berdoa dan solat hajat mohon batuan agar diberikan keselamatan kepada Hidayatussaufi. - aljauhar

berita terdahulu...

JOHOR BAHRU: Maklumat dari Ustaz Mohd Hafiz Mansor, Mantan Penasihat dan AJKT BKPJM mengatakan Hidayatussaufi masih tidak sedarkan diri dan hanya mendapati sedkit refleksi dari tangan dan airmatanya kadang-kadang mengalir.

Beliau yang telah menziarahi Hidayatussaufi mengatakan "Saufi koma tak sedar, tapi ada refleksilah tindak balas. Kadang-kadang nampak airmata dia mengalir, bergerak-gerak juga tangan dan mata cuma tak sedarkan diri" beliau juga menambah "banyak wayar-wayar bantuan pernafasan,pertukaran darah, saluran ke hidung dan tangan digunakan. Tubuh Saufi juga kelihatan jelas kekuningan". - aljauhar

berita terdahulu...

JOHOR BAHRU: Keadaan Mohd Hidayatussaufi dimaklumkan sudah sedarkan diri. Beliau diberitakan dalam proses rawatan selanjutnya dan bertambah baik. Namun beliau masih lagi ditempatkan di bilik Rawatan Kecemacan (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. - aljauhar

berita terdahulu...

KAHERAH: Seorang ahli BKPJM Mohd Hidayatussaufi bin Khalid didapati diserang penyakit agak teruk. Beliau telah pulang ke Malaysia pada 29 Disember 2009 untuk mendapat rawatan lanjut. Dimaklumkan beliau telah dimasukkan ke bilik Unit Rawatan Kecemasan (ICU) Hospital Sultanah Amaninah, Johor Bahru setelah mendapatkan rawatan awal di Hospital Bandar Mersing setibanya beliau di Malaysia.

Beliau didapati masih tidak sedarkan diri (koma) setelah mendapati penyakitnya semakin melarat. Doktor yang merawatnya mengatakan beliau mengalami bengkak hati, usus berkuman dan buah pinggang kering. Ini kerana didapati mendapat keracunan makanan.

Pihak keluarga beliau yang dihubungi oleh saudara Nuruddin Zanki Hamzah memohon kepada semua ahli BKPJM mengadakan solat hajat, dan berdoa agar Allah memberi kembali kesihatan dan memudahkan segala urusan rawatan kepada beliau.

Pihak Al Jauhar masih menunggu berita selanjutnya dari wakil kami di Malaysia.

Beliau ialah:

- Mahasiswa Tahun 1, Kuliah Usuluddin, Universiti Al Azhar, Kaherah.
- ADMIN AL JAUHAR, Web Rasmi BKPJM.

- aljauhar