Jumaat, 6 April 2012

Rehlah Tarbawiah ke Ein el-Sokhna

Ein el-Sokhna, 6 April 2012 - Unit Dakwah & Tarbiah BKPJM dengan kerjasama Unit Sambutan & Rehlah BKPJM sekali lagi telah mengadakan Rehlah Tarbawiah, dan kali ini lokasi yang dipilih adalah ke pantai Ein el-Sokhna.

     Seramai 51 orang peserta mengikuti rehlah ini dan menunjukkan respon yang baik di sepanjang perjalanan. Sebelum bertolak, saudara Yassarudin selaku Ketua Unit Dakwah & Tarbiah, telah mengetuai bacaan doa musafir dan memberi sedikit taklimat kepada peserta. Rombongan bertolak pada jam 7.30 pagi dan tiba di resort pada jam 9.30 pagi.

     Aktiviti pertama yang dilakukan adalah memilih lokasi yang sesuai dan mengemas bangsal masing-masing. Kemudian, semua peserta mengikuti "Bulatan 1 Kalimah" yang diketuai oleh saudara Yassarudin di dalam pantai. Setiap peserta dikehendaki memberi sedikit kalam taujihat kepada sahabat-sahabat yang lain. 

     Selepas itu, pelbagai aktiviti bebas dilakukan oleh para peserta, mengikut kepada kreativiti masing-masing. Antaranya, permainan bola sepak pantai, bola tampar, perlumbaan berenang, terapi pasir, dan lain lagi. Tidak dilupakan juga kemunculan bangsal khas Koperasi Al-Jauhar yang sentiasa bergerak di setiap program dan memberi manfaat kepada ahli keluarga BKPJM. Kali ini, koperasi tersebut dikendalikan oleh saudara Syafiee Musni selaku ketua Koperasi Al-Jauhar dan dibantu oleh beberapa ajk koperasi.
Bulatan 1 Kalimah.
      Tiba waktu untuk Solat Jumaat, peserta bersiap dan bersedia menuju ke masjid berdekatan. Mereka menikmati khutbah disamping berehat sebentar sebelum meneruskan acara yang lain. Selesai Solat Jumaat, para peserta berkumpul semula di resort mengikut kumpulan Muzakarah Berkelompok masing-masing. Menikmati juadah tengahari di tepi pantai amat menyelerakan kesemua peserta, disamping mengumpulkan tenaga untuk acara seterusnya.

     Walaupun sedang menikmati percutian keluar dari kota Kaherah, namun para peserta tidak melupakan Muzakarah Berkelompok mereka pada hari Jumaat. Muzakarah Berkelompok ataupun MB diadakan setelah selesai menikmati juadah tengahari. Para Naqib memainkan peranan mengendalikan MB dengan bersemangat dan menyelesaikan manhaj terakhir MB sebelum imtihan.
Usrah selepas Solat Jumaat.
     Selesai sahaja MB, peserta diberi masa seluasnya untuk meneruskan kembali acara-acara bebas mereka sehingga jam 4.00 petang. Saudara Syakirin selaku Ketua Unit Sambutan & Rehlah telah memberi makluman agar bersedia untuk berangkat pulang semula ke kota Kaherah. Tergambar kepuasan dan keletihan yang bermakna di muka para peserta Rehlah Tarbawiah ini. 
Peserta bergambar sebelum bertolak pulang.
     Akhir bicara, semoga tautan ukhwah yang terbina dan pengisian thaqafah serta tarbiah yang diperolehi ketika rehlah ini dapat memberikan kekuatan dan semangat baru kepada semua peserta untuk menghadapi peperiksaan Fasa 2 yang bakal menjelang pada bulan Mei ini. BKPJM Keluarga Kita ! -aljauhar.

"Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan"


* Untuk melihat album gambar bagi Rehlah Tarbawiah ini,
anda boleh merujuk di fanpage rasmi BKPJM.

Selasa, 3 April 2012