Rabu, 22 Disember 2010

KEPULANGAN PEGAWAI HEP JOHOR KE TANAH AIR

Kaherah, 20 Disember  – “Harimau mati meninggalkan belang, Ustaz Hanif pergi meninggalkan jasa”. Ustaz Haji Ahmad Hanif Bin Haji Naim, Pegawai Hal Ehwal Pelajar Johor di Mesir akhirnya pulang ke tanah air setelah 2 tahun lamanya berkhidmat di perantauan.  

Terdahulu, satu majlis perpisahan antara anak-anak Johor bersama pegawai telah diadakan di Asrama Pelajar Johor Rabaah pada 16 Disember 2010. Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 100 pelajar Johor tersebut diselubungi dengan perasaan sayu dan hiba mengenangkan jasa dan  kenangan bersama pegawai yang amat dikasihi oleh seluruh anak-anak Johor di Perlembahan Nil ini. Jasa yang ditabur beliau bukan sahaja dirasai oleh anak-anak Johor tetapi kepada seluruh anak-anak Melayu yang di bumi Anbiya’ ini.

Antara jasa beliau yang akan diingati oleh seluruh anak-anak Melayu amnya dan anak-anak Johor khasnya ialah apabila membantu menjayakan program Majlis Pembacaan Kutub Sittah anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang cuba digagalkan oleh pihak tertentu dengan membenarkan pihak PMRAM menganjurkan majlis tersebut di Asrama Pelajar Johor Rabaah. Beliau juga amat mengambil berat mengenai kebajikan anak-anak Johor terutamanya berkenaan pencapaian akademik pelajar.

Amanat terakhir beliau dalam ucapannya di majlis tersebut ialah berharap agar semua pelajar menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran akademik masing-masing. Beliau juga berharap agar siswazah lulusan Mesir dapat tampil kehadapan untuk berkhidmat kepada masyarakat apabila pulang ke tanah air kelak. Selain itu, beliau turut menyarankan agar mahasiswa mengambil peluang untuk mengikuti latihan praktikal ketika pulang bercuti di Malaysia.

Kepulangan beliau diiringi oleh beberapa pegawai kebajikan negeri-negeri lain bersama hampir 50 anak-anak Johor jelas menunjukkan tanda ukhwah dan rasa cinta kasih mereka kepada pegawai.

Beliau berlepas pulang ke Malaysia dengan menaiki penerbangan Egypt Air pada jam 12.00 tengah malam. Semoga kepulangan beliau ke Malaysia dapat membantu masyarakat dalam usaha menegakkan agama Islam yang tercinta di tanah air. Salam perjuangan daripada anak-anak Johor di perantauan.  – al jauhar

Isnin, 13 Disember 2010

Mahasiswa Perlu Lengkapkan Diri

Kaherah, 12 Disember - Sambutan Maal Hijrah 1432 telah disampaikan oleh Tuan Hj Mursyid B Maarof dan Puan Hajah Rahimah Bte Kemat dengan jayanya. Forum tersebut telah diadakan di dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah pada 11 Disember 2010 yang lepas.

Forum tersebut yang bermula pada jam 6 malam telah dipengerusikan oleh Ustaz Kamal Arif Bin Bakri. Forum telah diadakan sebanyak 2 pusinganan dan di antara pesanan yang diberi oleh ahli panel adalah pelajar hendaklah menitik beratkan keperluan diri sebagai graduan dan mahasiswa yang mempunyai bekalan ilmu agama yang mencukupi terutama dalam 3 aspek iaitu Quran,hadis dan tafsir supaya mahasiswa dan mahasiswi tidak dipandang enteng oleh masyarakat serta tidak menjadi fitnah kepada agama. Adalah tidak wajar sekiranya mereka yang bergelar graduan al-azhar tidak mahir dalam cabang ilmu yang menjadi asas agama.

Majlis diteruskan dengan sesi soal jawab. Antara soalan yang diutarakan oleh mahasiswa ialah bagaimana cara yang terbaik untuk memupuk budaya mengambil cakna terhadap penggunaan kalender hijrah berbanding dengan kalender masihi.
 
Majlis telah tamat pada jam 8 malam dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada ahli panel yang disampaikan oleh pegawai kebajikan, Ustaz Ahmad Hanif B Naim. - al jauhar

Selasa, 7 Disember 2010

Ramah Mesra Bersama Delegasi MAIJ Berlansung Meriah


Kaherah, 6 Disember - Majlis ramah mesra bersama delegasi  Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) anjuran Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM) telah berlangsung dengan jayanya pada 5 Disember 2010 yang lepas.

Majlis dimulakan sekitar jam 7 malam dengan ucapan aluan dari Yang Dipertua BKPJM, Ustaz Miftahul Ulum Bin Syed Mustafa Kamal. Beliau mewakili seluruh pelajar-pelajar Johor di Mesir mengalu-alukan kedatangan delegasi tersebut. Selain itu, beliau telah mengajukan beberapa perkara untuk dipertimbangkan di peringkat MAIJ. Antaranya ialah memohon kenaikan dermasiswa bagi pelajar pengajian Islam daripada RM 4,000 kepada RM5,000 dan juga memohon penambahan kuota pinjaman berubah bagi pelajar-pelajar perubatan. Beliau mengakhiri ucapan dengan menitipkan salam buat Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ yang baru iaitu Tuan Hj Elias B Hasran.

Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan daripada ketua delegasi MAIJ, Tuan Hj Mohammad Nasir Bin Abd Salam. Di dalam ucapannya, beliau memberikan respon yang baik terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Yang Dipertua serta berjanji akan membawa perkara tersebut ke perinagkat MAIJ. Selain itu,beliau turut menekankan tentang pentingnya anak-anak Johor di bumi Mesir untuk bersatu di bawah BKPJM dan memberikan komitmen yang baik terhadap setiap program yang dilaksanakan oleh persatuan dan juga pejabat pegawai.

Setelah itu, majlis diteruskan sesi soal jawab. Antara soalan yang diajukan oleh pelajar ialah berkenaan tentang kursus bahasa arab yang dianjurkan oleh MAIJ terhadap pelajar-pelajar yang akan berangkat ke Mesir. Perkara tersebut telah diberi respon daripada Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Zakat, Ustaz Haji Ahmad Faisal B Mohamed. Beliau menerangkan bahawa perkara tersebut merupakan suatu ketetapan yang dibuat oleh MAIJ terhadap para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang pengajian Islam.

Seterusnya, majlis disusuli pula dengan ucapan daripada Ustazah Hajjah Rahimah bte Kemat, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Johor. Beliau menasihatkan agar pelajar-pelajar berusaha sedaya upaya yang mungkin dalam usaha untuk menguasai pelbagai bidang ilmu yang terdapat di Mesir. Beliau turut menekankan tentang pentingnya penguasaan ilmu bukan sahaja dalam bidang yang sedang dituntut ketika ini, bahkan perlu ditambah dengan ilmu-ilmu kemahiran yang mempu memberi nilai tambah yang lebih kepada diri seseorang pelajar.

Selesai ucapan daripada wakil-wakil delegasi, majlis kemudiannya dihidangkan dengan tayangan video pengenalan pimpinan BKPJM sesi 2010/2011 dan sekitar aktiviti-aktiviti yang dianjurkan BKPJM sepanjang tahun 2010.

Majlis diakhiri dengan slot penyerahan cenderahati daripada pihak BKPJM kepada anggota-anggota delegasi. Turut diadakan ialah penyerahan sumbangan tahunan daripada MAIJ kepada BKPJM untuk aktiviti-aktiviti kebajikan bernilai RM 10,000 dan juga sumbangan sempena sambutan hari raya qurban yang lepas bernilai RM 5,000. – al jauhar

Temuduga Zakat Dan Pinjaman MAIJ Berjalan Lancar


Kaherah, 5 Disember 2010 – Asrama Pelajar Johor Rabaah sekali lagi menerima kunjungan rombongan delegasi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) yang diketuai oleh Tuan Haji Mohd Nasir Bin Ab. Salam, Setiausaha Majlis Agama Islam Johor. Delegasi kali ini selamat sampai di bumi Mesir pada 3 Disember lalu hadir bagi menemuduga pelajar-pelajar johor yang memohon bantuan zakat dan pinjaman MAIJ. Selain itu, delegasi ini juga hadir bagi mengetahui dan meninjau sendiri perkembangan pelajar-pelajar johor di Perlembahan Nil. 

Sesi temuduga bantuan zakat dan pinjaman MAIJ diadakan pada 4 Disember 2010, bermula jam 8.00 pagi. Sesi temuduga tersebut telah dijalankan secara berasingan untuk 2 kelompok calon iaitu calon daripada kalangan pelajar pengajian Islam dan pelajar perubatan. 

Kebanyakan pelajar pengajian Islam yang memohon bagi bantuan zakat adalah terdiri daripada pelajar tahun 1 dan tahun 3. Manakala bagi pelajar perubatan yang memohon bantuan pinjaman, rata-rata terdiri daripada mereka yang berada di tahun 1 dan 2 pengajian. Soalan-soalan yang diajukan kepada calon lebih berkisar kepada latar belakang keluarga, keputusan peperiksaan yang lepas dan kemahiran berbahasa arab.

Sesi temuduga berhenti rehat pada jam 12.00 tengahari bagi memberi laluan kepada waktu solat zohor dan makan tengahari. Seterusnya sesi temuduga disambung semula dan ditamatkan pada jam 5 petang. – al jauhar

Isnin, 29 November 2010

Zakat dan Pinjaman MAIJ 2010/2011

 Untuk perhatian semua pemohon
Zakat dan Pinjaman
Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) 2010/2011

1) Sila semak nama anda di dalam peti Kongsi Al-Jauhar yang terdapat dibawah muka hadapan web www.mybkpjm.org

2) Kepada semua nama pemohon yang tersenarai, temuduga bagi Pengajian Islam dan Perubatan akan dijalankan pada Hari dan Waktu yang sama. 

3) Temuduga akan diadakan pada tarikh 4 Disember 2010 di Dewan Asrama Pelajar Johor Raba'ah bermula jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang.

4) Diharap kepada semua pemohon yang terlibat agar dapat menghadirkan diri pada Hari dan Waktu yang telah ditetapkan. Pastikan anda berpakaian kemas.

5) Sebarang permasalahan @ persoalan, sila hubungi YDP BKPJM 10/11 di talian +2014 335 9855 atau Pegawai HEP Johor di talian +2011 795 2197.

Kerjasama dari anda semua amatlah diharapkan bagi melicinkan proses temuduga kali ini.

Sekian, Wassalam.

Selasa, 23 November 2010

KORBAN ’10 BKPJM Berjalan Lancar

 
Kaherah, 16 November 2010 – Majlis KORBAN ‘10 BKPJM yang bermula pada 16 November 2010 berjalan dengan lancar. Sebanyak 14 ekor kambing telah disembelih yang masing-masing melibatkan ibadah korban dan nazar.

Proses penyembelihan tersebut dimulakan oleh Saudara Muhammad Syuaib Bin Sangkrah yang melaksanakan ibadah nazarnya. Proses penyembelihan yang dilaksanakan ini bukan sahaja sebagai satu ibadah tetapi juga sebagai medan di mana pelajar-pelajar dapat mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari di kuliah.

Kehadiran hampir 150 orang ahli yang memenuhi kawasan perkarangan Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ 4) berjaya menyelesaikan proses penyembelihan dan melapah daging sebelum waktu maghrib.

Keesokan harinya, program diteruskan seawal jam 8 pagi dengan upacara penyembelihan seekor lembu, 2 ekor biri-biri dan seekor kambing. Ternyata sambutan ahli BKJPM pada hari kedua program lebih menggalakkan dengan kehadiran ahli yang menjangkau hampir 200 orang. Proses penyembelihan lembu tersebut disempurnakan oleh Pegawai Hal Ehwal Kebajikan Pelajar Johor di Mesir, Tuan Hj. Ahmad Hanif Bin Naim. Acara melapah daging korban berlanjutan sehingga jam 1 petang sebelum diberhentikan untuk memberi waktu rehat kepada ahli.




Program KORBAN ’10 diteruskan kembali bermula selepas solat fardhu asar dengan alunan qasidah dan  solat maghrib berjemaah sebelum slot ceramah Eidiladha yang disampaikan oleh Tuan Hj. Ahmad Hanif Bin Naim. Dalam ceramah tersebut, beliau menjelaskan tentang mengapa Eidiladha di Mesir disambut sehari lebih awal berbanding Eidiladha di Malaysia. Beliau juga menekankan aspek pengorbanan dalam diri seorang muslim dan sebagai seorang azhari khasnya.

Majlis sambutan diteruskan lagi setelah solat isyak berjemaah dengan slot pengenalan Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) dan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKPJM. Seterusnya disusuli dengan ucaptama Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir Saudara Syed Miftahul Ulum Bin Syed Mustafa Kamal yang menggariskan 7 misi utama BKPJM untuk dilaksanakan pada sessi 2010/2011.

Berkesinambungan dengan slot tersebut, sessi dialog bersama ahli telah diadakan yang melibatkan muhasabah dan cadangan ahli kepada pimpinan untuk dilaksanakan. Terdapat pelbagai cadangan yang telah dilontarkan oleh ahli kepada pimpinan yang masing-masing berkisarkan kepada aspek kecemerlangan akademik dan kebajikan pelajar di perlembahan Nil ini. 

Majlis sambutan KORBAN ’10 melabuhkan tirai dengan sesi bergambar pimpinan bersama ahli serta sesi jamuan dan pengagihan daging korban kepada ahli. Tahniah dan syabas kepada BKPJM kerana berjaya menjalankan program KORBAN ’10 pada tahun ini. Diharap BKPJM akan terus cakna terhadap ahli dan terus utuh berada di dalam hati setiap individu yang menganggotai BKPJM. – al jauhar  

Khamis, 18 November 2010

Perutusan Hari Raya Aidil Adha Presiden PMRAM 2010

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على أشرف الأنبياء و المرسلين وعلى آله و صحبه أجمعين .

Alhamdulillah, pertama dan selamanya marilah sama-sama kita mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah SWT dengan anugerah serta nikmat iman dan Islam yang diberikan, kita mampu mengharungi fasa-fasa kehidupan mengikut garis panduan syarak. Sehinggalah pada malam ini, kita mengecapi anugerah perayaan yang terbesar dalam kehidupan seorang muslim.

Bersyukur tidak terhingga juga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Islam hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah terdahulu. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah menyempurnakan misi dakwah kepada umat manusia agar mereka menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT.

Jika kita sorot kembali sejarah perjuangan Nabi Allah Ibrahim AS, maka kita akan menyaksikan bahawa naluri seorang ayah yang sanggup mengorbankan anak yang tercinta demi semata-mata melaksanakan perintah daripada Sang Pencipta. Ujian seberat itu pasti tidak akan mampu dilaksanakan melainkan dengan ketaatan yang sempurna sehingga mampu mengenepikan perasaan diri dan tuntutan peribadi.

Allah SWT sengaja menjadikan sejarah ini berlaku untuk dijadikan sebagai pedoman dan petunjuk bagi kehidupan pada masa hadapan. Sebab itulah Islam mengajar umatnya untuk mengorbankan jiwa dan harta demi untuk menegakkan kalimah Allah SWT serta melaksanakan kerja-kerja Islam.

Justeru, intipati daripada Sambutan Hari Raya Eidil Adha, adalah sifat pengorbanan yang perlu wujud dalam jiwa umat Islam demi mengembalikan jati diri dan integriti melawan musuh-musuh Allah SWT. Sesungguhnya sejarah membuktikan bahawa antara punca kejatuhan pemerintahan Islam suatu ketika dahulu berpunca daripada lenyapnya sifat pengorbanan dan jati diri umat Islam.

Memahami sejarah jatuh bangun Islam, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk menjadikan intipati sambutan hari raya pada kali ini sebagai pemangkin untuk melaksanakan kerja-kerja Islam. Percayalah bahawa kerja-kerja Islam tidak akan terlaksana dengan sempurna apabila sifat berkorban hilang dari jiwa aktivis Islam.

Sahabat-sahabat seakidahku sekalian.

Apabila berbicara tentang pengorbanan, maka topik ini memerlukan perhatian yang serius daripada seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam. Sifat berkorban yang dimaksudkan oleh Islam ialah mengorbankan jiwa dan harta bahkan mengorbankan agenda peribadi demi menjayakan agenda ummah.

Terkadang istilah ‘berkorban’ disalahertikan sehingga menyebabkan umat Islam tidak memahami kehendak sebenar Islam. Sebab itulah terdapat segelintir golongan yang tidak sanggup mengenepikan agenda peribadi apabila bertembung dengan agenda ummah. Virus inilah yang perlu dibuang dan diperangi agar ia tidak menular ke seluruh jiwa umat Islam.

Justeru, PMRAM melaksanakan muzakarah berkelompok bagi membentuk pemikiran mahasiswa yang dikehendaki oleh Islam. PMRAM begitu yakin bahawa sifat ‘tadhiyah’ (pengorbanan) akan lahir dari agenda tarbiyah (pendidikan). Muzakarah berkelompok yang berkesan mampu melahirkan jiwa umat Islam yang sanggup berkorban demi melaksanakan kerja-kerja Islam.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT sekalian.

Melihat kepada suasana mahasiswa Islam kini, PMRAM begitu bimbang dengan halatuju pembawakan negara Malaysia pada masa hadapan. Manakan tidak, mahasiswa yang hidup pada hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Golongan tua pasti akan mewariskan tampuk pemerintahan kepada golongan muda.

Masalah sosial dan kerosakan akhlak semakin membarah sejak kebelakangan ini. Statistik yang dilaksanakan oleh Unit Hisbah PMRAM menunjukkan, kadar peningkatan yang begitu ketara. Kemelaratan yang tidak dibendung bersama, melayakkan kita untuk terkeluar dari senarai umat yang terbaik pilihan Allah SWT. Syarat umat yang terbaik ialah menjalankan tanggungjawab menyeru kepada ma’ruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan penuh keyakinan.

Islam tidak akan tertegak hanya dengan kata-kata. Oleh itu, setiap peringkat perlu memainkan peranan di posisi masing-masing demi membasmi keruntuhan akhlak yang berlaku. Lihatlah bagaimana fahaman sesat dan gejala sosial yang berlaku di Malaysia. Perkara tersebut bertambah buruk dengan sokongan daripada pihak-pihak tertentu.

Di samping itu, panggung-panggung di Malaysia bakal menayangkan sebuah filem yang bertemakan hubungan sejenis. Filem yang bakal ditayangkan tersebut seolah-olah ingin menonjolkan dan menerapkan budaya songsang dalam masyarakat. Padahal budaya tersebut merupakan cara hidup yang dilarang dan dikeji oleh syarak. Oleh itu, PMRAM mengajak seluruh mahasiswa Islam mengecam tindakan penayangan filem yang bakal merosakkan identiti umat Islam.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT.

PMRAM merupakan gerakan mahasiswa yang meletakkan antara matlamat utama pembawakan adalah agenda pendidikan. PMRAM begitu memahami bahawa golongan yang berilmu pasti mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT di akhirat kelak.

Justeru, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk menjadikan intipati Hari Raya Eidil Adha sebagai batu loncatan untuk terus maju, dengan menjadikan kecemerlangan akademik sebagai hadiah buat ummah. Kegagalan yang menimpa sebahagian mahasiswa-mahasiswi baru pada imtihan qabul baru-baru ini, bukanlah bermakna kita menyerah kalah. Tetapi jadikanlah kegagalan tersebut sebagai peluang untuk memahami kelemahan diri yang perlu diperbaiki.

Akhirnya, jadikanlah anugerah Allah SWT pada kali ini sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Pastikan sifat berkorban yang dikehendaki oleh Allah SWT mengalir dalam jiwa umat Islam. MURNIKAN PENGORBANAN MAKNAKAN PERAYAAN. Selamat Hari Raya Eidil Adha 1431 H. Maaf zahir dan batin.

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Selasa, 16 November 2010

Perutusan Eidul Adha Presiden PMRAM Penuh Penghayatan




Kaherah, 16 Nobember 2010 – BKPJM sekali lagi menerima kehadiran wakil Badan Pengurus serta HEWI PMRAM bagi sama-sama mendengar dan menghayati perutusan Eidul Adha Presiden PMRAM, Ustaz Sharizan Bin Mohd Hazime. Majlis bermula dengan Solat Isyak secara berjemaah seterusnya diikuti dengan pembacaan perutusan Eidul Adha daripada Presiden PMRAM yang telah disempurnakan oleh Ustazah Huzaifah, wakil HEWI PMRAM.

Intipati yang terdapat dalam perutusan beliau ialah sorotan sejarah pengorbanan yang telah ditonjolkan oleh Nabi Ibrahim A.s dan Nabi Ismail A.s. Pengorbanan seperti inilah yang harus ditonjolkan oleh semua aktivis Islam. Jika sifat berkorban ini tiada dalam diri setiap individu Islam pastinya kerja-kerja Islam sukar untuk terlaksana.
          
Antara lain intipati yang terdapat dalam perutusan tersebut, Presiden PMRAM sangat menitikberatkan Muzakarah Berkelompok yang dianjurkan PMRAM yang mana diharapkan dapat memupuk sifat ‘tadhiyah’ iaitu berkorban dalam diri setiap mahasiswa Islam yang berada di perlembahan Nil ini. Presiden PMRAM juga menyatakan secara tegas bahawa golongan mahasiswa hari ini adalah pemimpin di masa depan. Mana mungkin pemimpin yang baik tidak mampu menghayati erti ‘tadhiyah’ ini sebagaimana pengorbanan yang ditunjukkan oleh junjungan besar Muhammad S.A.W.
             
Akhirnya PMRAM menyeru dan mengajak semua mahasiswa Islam di perlembahan Nil ini agar sama-sama cakna berkenaan masalah sosial dan kerosakan akhlak di kalangan remaja masa kini terutama tindakan penayangan filem yang menerapkan budaya songsang dalam diri masyarakat hari ini yang bukan sahaja mengotori akal fikiran bahkan merosakkan akhlak. Jangan terus lalai dengan tetapi jadikan kegagalan sebagai batu loncatan ke arah perubahan.
           
Majlis diakhiri dengan laungan takbir yang diketuai oleh Ustaz Mohd Adlan Bin Mokhtaruddin, Badan Pengurus angkat bagi BKPJM. - al jauhar  
              

Selasa, 9 November 2010

MMI : Suntikan Awal Ke Arah Kecemerlangan


KAHERAH, 8 Nov - Dataran Hayyu Asyir malam tadi  dipenuhi  hampir 1000 ahli PMRAM dari seluruh Cawangan untuk mengikuti  Motivasi Perdana : Misi Mumtaz Imtihan (MMI ’10) anjuran Badan dan Unit Pendidikan dan Komunikasi Bahasa PMRAM 2010. Program tersebut merupakan program terakhir yang dilaksanakan di peringkat PMRAM sebelum memberi laluan sepenuhnya terhadap persediaan menghadapi peperiksaan semesta 1 berkuatkuasa 8 November ini.

Motivasi : Misi Mumtaz Imtihan (MMI ‘10) ini berobjektifkan  untuk meningkatkan semangat belajar dikalangan  mahasiswa dan mahasiswi  sama ada pengajian Islam mahupun perubatan ke arah mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan sekaligus menyahut seruan Presiden PMRAM 2010 dalam Ucapan Dasar Presiden dalam Muktamar Sanawi yang lepas di bawah subtopik “ Kecemerlangan Akademik Sebagai Senjata Utama “.

Motivasi tersebut dimulai dengan solat isyak secara berjemaah yang diimami oleh Saudara Firdauz bin Noh, Bendahari Kehormat PMRAM, kemudian diikuti dengan solat hajat dan alunan zikir munajat yang diketuai oleh Saudara Muhammad al-Hidayat bin Khalid, Ketua Badan Ekonomi PMRAM.

Tepat jam 7.45 malam program dimulakan dengan ucapan pengarah program, Saudara Ahmad Muazzam bin Mokhtar, kemudian ucapan daripada Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa PMRAM, Saudara Abdul Aziz bin Ali, dan diikuti oleh ucapan perasmian oleh Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime yang merupakan Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir PMRAM 2010.

Sejurus itu majlis diserikan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan nasyid rasmi PMRAM iaitu al-Wadi dengan menyampaikan 2 buah lagu nasyid.

Selesai tamat persembahan tersebut (MMI ’10) dimulakan dengan dimoderatorkan oleh Saudara Jamal Najmuddin bin Sulaiman, Mantan Badan Pengurus PMRAM sesi 2009 dan menampilkan 3 ahli panel yang berlainan aliran iaitu saudara Muhammad Farkhan bin Md Zain, Graduan Fakulti Usuluddin (Hadis) University Al-Azhar Kaherah, saudara Tengku Fakhruddin, mahasiswa tahun 5 Fakulti Perubatan Universiti Iskandariah dan saudari Fitri Nurul Ain Nordin, MA Pendidikan Bahasa arab, Fakulti Sains Kemanusiaan University Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Forum motivasi yang berlangsung hampir 2 jam 30 minit itu sungguh menarik dengan pelbagai perkongsian pengalaman dan tip-tip yang mendorong kejayaan yang telah disampaikan oleh ahli-ahli panel ditambah lagi dengan penyampaian yang sungguh menarik.

“Tahniah dan syabas kepada PMRAM di atas penganjuran program motivasi pada malam ini, motivasi pada malam ini telah meningkatkan keazaman dan cita-cita saya dan kini saya lebih bersedia untuk memburu kejayaan dalam peperiksaan nanti ”, luah salah seorang hadirin ketika ditemuramah. - pmram.org

Ahad, 7 November 2010

Konvensyen PMRAM Cetus 3 Resolusi Tindakan

KAHERAH, 4 Nov - Hasil perbincangan di antara pihak PMRAM Pusat dan PMRAM Cawangan dalam persidangan meja bulat di Konvensyen PMRAM, 3 Reolusi Tindakan dicetuskan untuk tindakan bersama.

3 Resolusi Tindakan tersebut adalah hasil daripada konsep 3 S yang ditekankan di dalam Konvensyen PMRAM pada tahun ini iaitu sistem, sikap dan sedar.

3 Resolusi Tindakan ini dibacakan oleh Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime sambil semua Yang Di-Pertua BKAN dan Pengerusi DPM turut berdiri bersama-sama kepimpinan PMRAM Pusat bagi menggambarkan kebersamaan dalam menjayakan 3 Resolusi Tindakan tersebut.
3 Resolusi Tindakan tersebut ialah :
1- Menyelaraskan silibus Kursus Pengurusan Islam (KPI) di bawah seliaan Jabatan Setiausaha Agung PMRAM
2- Konvensyen DPM kali ke-4 pada tahun 2011
3- Menjayakan draf tindakan bersama secara bersistematik.

"Ia adalah Resolusi Tindakan yang telah diputuskan bersama. Maka semua peringkat mesti bersungguh-sungguh dalam memastikan resolusi ini berjaya dilaksanakan," ujar Timbalan Presiden, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.

Selain itu, Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime menekankan konsep 3 S dalam amanat emas dalam merasmikan majlis penutup.

"Kita mahu selepas keluar Konvensyen PMRAM ini, semua pimpinan akan berubah ke arah yang lebih baik dan tersusun. Pastikan sikap sebagai seorang pemimpin akan menjadi lebih baik, kesedaran dalam cakna isu bersama dipertingkatkan dan gerak kerja yang dijalankan lebih bersistematik," tegas beliau. - http://pmram.org/

Kepulangan Aktivis BKPJM Ke Malaysia




Kaherah, 5 November 2010 – “Patah Tumbuh Hilang Berganti”. Itulah ungkapan yang sering dikaitkan dengan pemergian atau ketiadaan seseorang yang banyak berjasa. 

Basir bin Mohamed, Mohd Khairul Anwar bin Tajudin dan Mohd Nur bin Ahmad. 3 nama besar yang tidak asing lagi di kalangan warga BKPJM khususnya pulang ke Malaysia dengan seribu kenangan di bumi anbiya’ setelah sekian lama berjuang menimba ilmu di sini dengan membawa pulang segulung ijazah yang diimpikan selama ini.

3 nama tersebut juga merupakan mantan ahli jawatankuasa tadbir BKPJM yang begitu banyak berjasa dan menabur budi kepada BKPJM buat sekian lamanya. Saudara Basir yang juga merupakan YDP BKPJM bagi sessi 2009-2010, Saudara Khairul Anwar TYDP BKPJM merangkap Ketua Lajnah Dakwah & Tarbiah dan Saudara Mohd Nur Timb Setiausaha Agung merangkap ketua lajnah kesenian, kebudayaan & sukan begitu disenangi dan disegani di kalangan ahli BKPJM dengan kewibawaan dan ilmu yang dimiliki mereka. 

Kepulangan mereka diiringi oleh hampir 20 ahli BKPJM jelas menunjukkan tanda ukhwah dan rasa cinta kasih kepada pimpinan walaupun setelah tidak lagi menjawat jawatan selaku AJKT BKPJM.

Mereka berlepas pulang ke Malaysia dengan menaiki penerbangan Egypt Air pada jam 12.00 tengah malam. Semoga kepulangan mereka ke Malaysia dapat membantu masyarakat dalam usaha menegakkan agama Islam yang tercinta di tanah air. Salam perjuangan daripada warga BKPJM di perantauan.  – al jauhar