Selasa, 24 Mac 2015

EXPERT '15 : Menambah Thaqafah Mahasiswa/wi Johor Berkaitan Ilmu Multimedia dan Kontemporari


KAHERAH, 21 Mac 2015- Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir dibawah Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKPJM 2014/2015 telah mengadakan Bengkel EXPERTS ’15 bertempat di Dewan Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah. 

Bengkel ini telah bermula pada pukul 8.00 malam dan telah dibentangkan oleh Saudara Muhammad Syaffarin bin Zainal, Setiausaha Agung BKPJM 2014/2015. Antara objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memberikan kefahaman asas berkaitan penggunaan Adobe Photoshop disamping menambah pengetahuan berkaitan skil-skil untuk membuat wallpaper,poster dan sebagainya.

Bengkel ini dimulakan dengan penerangan berkaitan teori dan pengenalan asas tentang Adobe Photoshop. Bengkel ini diteruskan lagi dengan sesi praktikal oleh peserta beserta bimbingan dari pengisi serta sesi soal jawab sekitar teknik-teknik dan cara-cara pintas berkaitan pembuatan poster dan seni dalam Adobe Photoshop.


Program telah berakhir sekitar jam 11.15 malam dan ditutup dengan bacaan Surah Al-Asr serta kafarah majlis. Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari anak-anak Johor di Mesir. Diharap semoga bengkel-bengkel seperti ini dapat menambahkan thaqafah anak-anak Johor berkaitan ilmu kontemporari dan multimedia sekaligus menyumbang bakat dan hasil seni mereka untuk Islam, insya Allah. 

Isnin, 23 Mac 2015

FAMILY '15 : Anak-Anak Johor Setia Dengan Laungan Setia Bersamamu BKPJM

KAHERAH, 14-18 Mac 2015- Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir 2014/2015 telah menganjurkan sebuah program mega yang berbentuk kekeluargaan dan kesatuan. The 4th Annual Festival of BKPJM atau FAMILY ’15 telah berlangsung selama 4 hari yang bertempat di Musallas, Nadi Syabab, Asrama Pelajar Johor Rabaah dan Asrama Pelajar Johor Thamin bertemakan “Setia Bersamamu BKPJM”.

Family ’15 mendapat sambutan hangat dan memberangsangkan dari kalangan mahasiswa dan mahasiswi Pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan. FAMILY ’15 telah dirasmikan oleh oleh Saudara Usama bin Aris, Yang diPertua BKPJM, diiringi oleh Saudara Muhammad Ariff bin Haron selaku pengarah program pada hari pertama program. Setelah selesai slot perasmian pada 14 Mac 2015, program FAMILY ’15 diteruskan dengan acara outdoor yang bertempat di Musallas bagi mahasiswa dan di Nadi Syabab bagi mahasiswi.  

Pengisian bagi hari kedua diteruskan dengan acara indoor yang bertempat di Asrama Pelajar Johor Rabaah dan Thamin. Pada bahagian indoor mahasiswi turut diselitkan acara khusus bagi pasangan mutazawwijin.

Pengisian untuk hari ketiga dihangatkan dengan acara ilmiah. Antara acara mahasiswa seperti khutbah, sajak, kuiz dan debat manakala khusus untuk mahasiswi adalah perujian hafazan al-Quran, public speaking dan khat. Manakala pertandingan debat piala BKPJM terbuka untuk mahasiswa dan mahasiswi bertempat di Asrama Pelajar Johor Thamin bagi mahasiswa dan Asrama Pelajar Johor Rabaah bagi mahasiswi.

Hari terakhir program pada 18 Mac 2015 diadakan di Asrama Pelajar Johor Rabaah pada sebelah malam dimulakan dengan bacaan Al-Quran, perasmian motor BKPJM. Majlis diteruskan lagi dengan perasmian Penutup FAMILY ’15 oleh Saudara Khairi bin Jalaluddin, Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor. Sebelum itu telah diselitkan ucapan Saudara Mohamad Ariff bin Hamzah selaku penasihat BKPJM. Malam penutup FAMILY ’15 dimeriahkan lagi dengan dengan persembahan silat oleh Unit Seni Waja Diri PMRAM, persembahan pentomen oleh anak-anak Johor seterusnya penyampaian hadiah bagi setiap acara dan diumumkan pemenang bagi keseluruhan rumah sukan. Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid oleh kumpulan Sautul Al-Jauhari dan sekaligus penutupan majlis dengan bacaan surah Al-Asr dan bacaan kafarah majlis serta jamuan makan.


Besarlah harapan agar program-program anjuran BKPJM seperti FAMILY ’15 inidan program-program lain dapat menautkan hati-hati anak-anak Johor di Mesir seterusnya menjaga kesatuan BKPJM agar anak-anak Johor terus setia bersama BKPJM

JAULAH AJKT HEWI BKPJM : Memperkasa Ukhwah Antara Pimpinan dan Ahli Muhafazah


KAHERAH,9-10 MAC 2015- Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir dibawah Lajnah Perancang  telah mengadakan “Jaulah AJKT HEWI BKPJM sekitar Muhafazah” bermula 9  Mac sehingga 10 Mac 2015. Objektif utama jaulah ini dijalankan adalah bagi meribat dan menguatkan ukhuwah dalam kesatuan dalam kalangan ahli Pengajian Islam dan Sains Kesihatan.

Jaulah yang telah  berjalan selama 2 hari ini berjalan dengan lancar dan disambut mesra oleh adik beradik BKPJM sekitar  muhafazah baik dari kalangan pelajar Pengajian Islam mahupun pelajar Sains Perubatan. Jaulah  hari pertama adalah Iskandariah & Zaqaziq. Manakala hari kedua pula menuju Tanta dan Mansourah. Pertemuan dimulakan dengan sesi taaruf secara santai antara pimpinan AJKTdan HEWI BKPJM dan ahli-ahli Johor. Setelah itu, ahli-ahli telah diberikan penerangan berkaitan  sejarah BKPJM serta sebagai persatuan yang menjadi  wadah kesatuan anak-anak Johor di bumi Mesir.

Selain itu,AJKT dan HEWI BKPJM dan ahli-ahli saling bertukar pandangan berkaitan permasalahan yang berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar di muhafazah. Disamping itu, wakil pimpinan BKPJM,saudara Mohd Ariff Bin Haron selaku Timbalan Yang DiPertua (Lajnah Perancang BKPJM) turut mempromosikan serta memberikan penerangan secara ringkas berkaitan aktiviti-aktiviti menarik dalam program terdekat yang bakal berlangsung di Kaherah selama 4 hari iaitu The 4th Annual Festival Of BKPJM(FAMILY ‘15).

Semoga program berbentuk ziarah ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara pimpinan dan ahli-ahli BKPJM sekaligus menambahkan kebersamaan ahli dan keprihatinan akan BKPJM seterusnya menyemat di dalam hati akan slogan ‘BKPJM Keluarga Kita’. Jaulah  berakhir dengan ucapan daripada wakil pimpinan BKPJM dan muhafazah dan Tasbih Kafarah dan Surah Al-Asr.



Selasa, 17 Mac 2015

KEMBARA EL-BENHA : Menatijahkan kemantapan ukhwah antara anggota Unit Bait Muslim cawangan Johor



KAHERAH, 8 Mac 2015 - Unit Baitul Muslim (UBM) Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir sesi 2014/2015 telah mengadakan satu program yang dikenali sebagai "Kembara El-Benha" semalam. Alhamdulillah dengan kerjasama daripada seluruh anggota UBM, kembara ini telah menghasilkan natijah yang baik.
Destinasi pertama yang dituju adalah Hadiqah Yabaniah yang berada di bandar Helwan, Kaherah. Tujuannya adalah untuk kerehatan santai bersama dengan anggota UBM yang turut serta dalam kembara ini. Waktu dipenuhi dengan aktiviti yang pelbagai, dan diakhiri dengan makan tengahari di sana.
Seterusnya program kembara diteruskan ke lokasi utama iaitu pertemuan bersama keluarga Syeikh Muhammad Ali Abdul Aziz El-Dib, yang berada di El-Benha. Beliau adalah salah seorang daripada ahli keluarga Qari terkenal di Mesir, iaitu keluarga El-Dib.
Ketika beliau berumur 14 tahun, beliau mewakili Mesir untuk menyertai musabaqah Al-Quran di Saudi. Syeikh Muhammad juga pernah menyertai musabaqah Al-Quran di Malaysia, dan musabaqah terakhir yang disertai oleh beliau adalah di Britain. Alhamdulillah begitu banyak perkongsian yang diberikan oleh beliau dan isterinya kepada semua ahli kembara.
Akhir sekali, kembara berhenti sebentar di Qornish El-Nil bagi menyaksikan suasana malam di tepian sungai Nil, sungai yang menjadi penghubung kepada seluruh Mesir.
Jutaan terima kasih kepada yang terlibat dan menyumbang untuk menjayakan Kembara El-Benha ini. Semoga perjalanan kembara ini mendapat rahmat dan naungan Allah, insya Allah.



Rabu, 11 Mac 2015

DISKUSI KITAB : Ke arah pemantapan rohani seorang Muslim


                                                                          

APJ  RABAAH, 9 MAC 2015 – Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) di bawah Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM 2014/2015  telah mengadakan diskusi kitab yang bertajuk  Ruhaniyyah Da’iyyah di Dewan Kutub Sittah, APJ Rabaah.
Program yang bermula selepas maghrib ini telah dikendalikan oleh oleh Saudara Muhammad Aizat bin Shahadan selaku pengerusi majlis seterusnya disambung dengan diskusi kitab oleh pengisi yang dijemput khas daripada kalangan anak Johor sendiri iaitu Saudara Muhammad Faiz bin Khalid, kuliah Usuluddin Jabatan tafsir tahun 4. 
Antara objektif diadakan program seperti ini adalah untuk menambahkan ilmu serta thaqafah di kalangan anak-anak Johor itu sendiri serta menjayakan objektif  Unit Pengetahuan dan Bimbingan  BKPJM 2014/2015 untuk menghidupkan suasana ilmu di rumah Johor dan cinta ilmu dalam kalangan anak-anak Johor.  Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan anak-anak  Johor di Mesir.
BKPJM sangat menitikberatkan thaqafah dan peningkatan ilmu dari semasa ke semasa dalam kalangan ahli. Justeru, program seperti diskusi kitab ini disusun untuk memberikan manfaat serta peningkatan  ilmu kepada ahli.
Program diskusi kitab ini berakhir selepas isyak sekitar jam 8.30 malam, sebelum bersurai pihak penganjur memberikan sedikit cendermata kepada pengisi yang telah di sampaikan oleh Penasihat BKPJM 2014/2015, Saudara  Muhammad Helmi bin Nor Hisham  dan program diakhiri dengan sedikit kesimpulan daripada pengerusi majlis seterusnya menutup program diskusi kitab dengan tasbih kaffarah dan surah al Asr.