Kaherah 22 September - Mesyuarat Agung Tahunan Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir telah berlangsung dengan gilang-gemilang. Dengan kehadiran seramai lebih 100 orang ahli dari pelbagai muhafazah, MAT kali ini telah memberi satu impak yang positif kepada perjalanan BKPJM akan datang.
Mesyuarat dimulakan pada jam 7.30 pagi dengan berlangsungnya proses pengundian bagi jawatan AJKT BKPJM Sesi 2010/2011. Pengundian berjalan dengan lancar dan telus. Sementara itu, Majlis Perasmian MAT Kali Ke-28 dijalankan tepat jam 8.30 pagi dengan dirasmikan oleh Ustaz Mohd Adlan Bin Mokhtaruddin, Naib Presiden 1 Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Mesyuarat dimulakan dengan pelantikan setiausaha sidang. Seterusnya, Mesyuarat telah mengesahkan minit MAT Kali Ke-27 dengan pindaan pada jam 11.09 pagi. Seterusnya mesyuarat diteruskan dengan agenda perkara berbangkit dalam Minit MAT Ke-27.
Mesyuarat diteruskan dengan Agenda Laporan Aktiviti & Program Mega BKPJM sesi 2009/2010. Pelbagai soalan dilemparkan dan dijawab, pelbagai cadangan dan idea telah diutarakan, semuanya demi memastikan BKPJM terus kekal utuh sebagai satu-satunya persatuan kebajikan anak Johor di Mesir ini. Mesyuarat ditangguhkan sebentar untuk memberi laluan kepada solat Zohor dan makan tengahari.
Mesyuarat disambung kembali selepas Zohor dengan laporan aktiviti dari USR dan UPR. Setelah itu, sidang mesyuarat diteruskan dengan pembentangan usul tergempar bertajuk " Memperkasa Muzakarah Berkelompok" yang dibentangkan oleh Saudara Yahya Bin Shamsul (1833). Usul ini diterima sebulat suara oleh sidang mesyuarat. Kemudian mesyuarat ditangguhkan untuk memberi laluan kepada Solat Asar.
Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan laporan kewangan BKPJM Sesi 2009/2010 oleh Bendahari BKPJM, Saudara Mohd Farhan Bin Tamin. Seterusnya, mesyuarat telah membincangkan 3 usul MAT kali ini, yang mana kesemuanya disetujui oleh sidang mesyuarat. 2 daripada usul ini bertajuk "Memperkasa Ekonomi BKPJM" yang dibawa oleh Saudara S.M Ulum Bin S.M. Kamal, dan "Mempertahankan Kebersamaan BKPJM & PMRAM" yang dibawa oleh Saudari Siti Umairah Bte Samsudin. Manakala satu lagi usul ialah berkenaan pindaan Undang-undang Tubuh BKPJM dalam Fasal 18 Ceraian A.3 dan A.4 iaitu berkaitan Lembaga Penasihat. Ceraian A.3 ditukar kepada "Ketua HEWI BKPJM" dan Ceraian A.4 ditukar kepada "Empat orang dari anggota BKPJM yang dilantik oleh Mesyuarat AJKT".
Terakhir, sesi muhasabah & cadangan telah diadakan. Pelantikan Juruaudit Sesi 2010/2011 diadakan dan Saudara Shafie Bin Musni & Saudara Mohd Aizuddin Bin Masrom telah dilantik sebagai Juruaudit Tetap, manakala Saudara Mohd Hafiz Isa & Saudara Al-Azmi Bin Rosydianto telah dilantik sebagai Juruaudit Simpanan. Seterusnya, AJKT & AJK HEWI BKPJM Sesi 2009/2010 dibubarkan oleh Yang DiPertua BKPJM, Saudara Basir Mohamed.
Kemudian, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan keputusan pilihanraya BKPJM 2010. Paling mendebarkan ialah ketika pengumuman pemenang calon AJKT yang menyaksikan 2 calon terpaksa disingkirkan. Selesai itu, pengenalan kepada AJKT baru dan sedikit kalam penangguhan dari YDP BKPJM Sesi 2010/2011, Saudara Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa Kamal. Juga dianugerahkan Hadiah Anugerah Emas BKPJM kepada 4 orang ahli yang banyak memberi sumbangan kepada BKPJM, Saudara Mohd Akhmal Ali, Saudara Faizul Hadi Montalib, Saudari Nur Fatimah Khairuddin, dan Saudari Nor Hanisah Muslim.
Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM Kali Ke-28 ditangguhkan dengan penuh penghayatan hampir jam 11.30 malam. Semoga semangat kesatuan BKPJM akan berkekalan pada generasi akan datang dan berterusan sepanjang hayatnya. - aljauhar
Selasa, 28 September 2010
Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM Kali Ke-28 Berjalan Lancar
Kategori MAT Ke 28
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan