Oleh : Nurul Fadhilah Binti Mohd Jais
KAHERAH,19 November 2016 - Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM telah menjalankan program Senat Fakulti dan Motivasi yang berlangsung di Musolla Wisma Sultan Muhammad V, Hayyu Sabik. Program tersebut telah melibatkan semua lapisan anak-anak Johor di Mesir sama ada pelajar baru mahupun yang lama.
Antara objektif utama program ini diadakan adalah untuk memberi penerangan kepada mahasiswa/wi dalam setiap subjek pengajian mengikut jurusan fakulti pengajian. Program ini juga dianjurkan sebagai persediaan kepada mahasiswa/wi sebelum menduduki pengajian di Al-Azhar dan memberi semangat dan motivasi kepada mahasiswa/wi Johor dalam menghadapi imtihan di samping terus merapatkan ukhuwah di kalangan anak-anak Johor di Mesir.
Program dimulakan dengan slot motivasi kecemerlangan yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Faiz Bin Ehsan, mahasiswa MA (master) American Open University. Antara intipati pengisian beliau ialah dengan menyeru hadirin supaya menjadi mukmin yang kuat kerana ia lebih dicintai Allah SWT dan jauhkanlah sifat lemah dalam diri. Orang yang kuat adalah yang sanggup menahan letih semasa berada dijalan Allah. Tambahannya lagi, seorang penuntut ilmu mestilah menjaga masa dan merancang teknik belajar dengan baik.
Program diteruskan dengan perkongsian minda daripada para graduan Universiti Al-Azhar tahun 2016. Seramai 4 orang graduan telah tampil untuk bersama berkongsi teknik belajar berkesan kepada sidang pendengar yang hadir. "Tips yang paling penting untuk berjaya ialah perlu pandai pilih kawan". Ujar Ustaz Fidaiy dalam perkongsian beliau. Menurutnya pemilihan kawan yang betul akan dapat memastikan seseorang mahasiswa untuk berjaya. Program seterusnya diakhiri dengan ucapan YDP BKPJM 16/17. YDP menegaskan kepada sidang hadir supaya tidak sombong dengan ilmu kerana menuntut ilmu itu wasilah untuk mendapatkan redha Allah SWT. - Wartawan BKPJM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan