Ahad, 4 Oktober 2009

28 mahasiswa baru selamat tiba

KAHERAH, 4 September 2009: Seramai 28 mahasiswa mahasiswi baru pengajian Islam selamat sampat tepat jam 3.45 pagi (waktu Mesir) di terminal dua Lapangan Terbang Antarabangsa di Kaherah. Seramai 13 mahasiswi dan 15 mahasiswa disambut oleh Lajnah Khas Sambutan Mahasiswa Baru Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (LKSMB BKPJM) 2009. Sambutan mereka dilapangan terbang diketuai oleh Ketua Unit Sambutan, Ustaz Sufiyan Saufi Nawawi dan beberapa ahlijawatankuasanya.

Turut menyertai sambutan tersebut ialah Pegawai Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir, Tuan Haji Ahmad Hanif bin Hj Naim, Yang Dipertua BKPJM saudara Basir Mohamed, Ketua HEWI BKPJM saudari Khairunnisaa Zulkarnain, Wakil Badan Pengurus PMRAM saudara Ahmad Taufiq bin Mohd Dahlan, Penasihat BKPJM saudara Amaluddin bin Arshad serta dua orang wakil HEWI PMRAM.

Mahasiswa baru kesemuanya ditempatkan di Asrama Pelajar Johor di Raba'ah Al Adawiyah, Kaherah. Pihak LKSMB BKPJM telah menyusun program selama 3 hari bagi mereka iaitu Hari Pengetahuan dan Silaturrahmi (HPS). Program tersebut bagi mendedahkan kepada mereka beberapa pengetahuan penting apabila mereka berada di sini. Antaranya berkenaan dengan Universiti Al Azhar sendiri, keselamatan, kesihatan dan sebagainya. - aljauhar

Khamis, 1 Oktober 2009

3 Oktober 2009 tarikh permulaan sesi kuliah bagi Universiti Al - Azhar dan universiti - universiti di sekitar Mesir

Setelah sekian lama bercuti, kini sesi perkuliahan di Universiti Al Azhar akan membuka tirainya tidak berapa lama lagi. Tarikh 3 Oktober 2009 merupakan tarikh rasmi permulaan sesi perkuliahan Universiti Al Azhar serta universiti-universiti yang berada di sekitar negara Mesir. Kenyataan ini telah dibuat di beberapa akhbar terkemuka di Negara ini.

Justeru, pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir mengucapkan selamat menjalani sesi baru perkuliahan untuk sesi 2009/2010. Pihak PMRAM juga mengharapkan agar semua mahasiswa/wi Malaysia memanfaatkan waktu yang sebaiknya untuk menimba sebanyak mungkin ilmu yang disampaikan oleh para pensyarah.

Selain itu, pihak PMRAM amat mengharapkan agar mahasiswa/wi tidak leka dan culas terhadap apa jua urusan pendaftaran sesi baru dan diharapkan agar dapat membuat urusan seawal mungkin bagi mengelakkan mengganggu waktu perkuliahan yang berjalan. Semoga dengan kehadiran sesi perkuliahan yang bakal menjelang ini dapat memberikan momentum terbaik untuk kita berjaya dunia dan akhirat. -www.pmram.org