Selasa, 13 Oktober 2009

Pemakluman terkini Kutub 6

Bismillahirrahmanirrahim,


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Segala puji bagi Allah tuhan sekelian alam, Selawat dan salam buat junjungan Nabi SAW dan ahli keluarga Baginda yang tercinta, serta seluruh sahabat Ridhuwanullah alaihim Ajma`in.

Dukacita dimaklumkan kepada semua ahli yang telah mendaftarkan diri untuk menyertai Majlis Pembacaan Kutub Sittah (siri pertama) yang akan diadakan pada 17 -20 Oktober 2009 ini telah cuba digagalkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).

Namun begitu PMRAM selaku penganjur program akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan program ini akan dapat dilangsungkan seperti yang dirancang.

Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berkaitan program tersebut, sila dapatkan maklumat terkini di laman web rasmi PMRAM, www.pmram.org ataupun di portal rasmi kutub sittah, www.kutubsittah-pmram.blogspot.com . Segala penjelasan dan maklumat terkini berkaitan permasalahan tersebut akan dijelaskan pada hari Khamis ini bersamaan 15 Oktober 2009.

PMRAM memohon segala kerjasama daripada seluruh ahli PMRAM agar bersama-sama berdoa dan bersolat hajat supaya majlis tersebut berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang.


Sekian,

Mohd Adlan bin Mokhtaruddin
Pengarah Majlis Pembacaan Kutub Sittah PMRAM 2009.

Ahad, 4 Oktober 2009

28 mahasiswa baru selamat tiba

KAHERAH, 4 September 2009: Seramai 28 mahasiswa mahasiswi baru pengajian Islam selamat sampat tepat jam 3.45 pagi (waktu Mesir) di terminal dua Lapangan Terbang Antarabangsa di Kaherah. Seramai 13 mahasiswi dan 15 mahasiswa disambut oleh Lajnah Khas Sambutan Mahasiswa Baru Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (LKSMB BKPJM) 2009. Sambutan mereka dilapangan terbang diketuai oleh Ketua Unit Sambutan, Ustaz Sufiyan Saufi Nawawi dan beberapa ahlijawatankuasanya.

Turut menyertai sambutan tersebut ialah Pegawai Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir, Tuan Haji Ahmad Hanif bin Hj Naim, Yang Dipertua BKPJM saudara Basir Mohamed, Ketua HEWI BKPJM saudari Khairunnisaa Zulkarnain, Wakil Badan Pengurus PMRAM saudara Ahmad Taufiq bin Mohd Dahlan, Penasihat BKPJM saudara Amaluddin bin Arshad serta dua orang wakil HEWI PMRAM.

Mahasiswa baru kesemuanya ditempatkan di Asrama Pelajar Johor di Raba'ah Al Adawiyah, Kaherah. Pihak LKSMB BKPJM telah menyusun program selama 3 hari bagi mereka iaitu Hari Pengetahuan dan Silaturrahmi (HPS). Program tersebut bagi mendedahkan kepada mereka beberapa pengetahuan penting apabila mereka berada di sini. Antaranya berkenaan dengan Universiti Al Azhar sendiri, keselamatan, kesihatan dan sebagainya. - aljauhar