Ahad, 7 November 2010

Konvensyen PMRAM Cetus 3 Resolusi Tindakan

KAHERAH, 4 Nov - Hasil perbincangan di antara pihak PMRAM Pusat dan PMRAM Cawangan dalam persidangan meja bulat di Konvensyen PMRAM, 3 Reolusi Tindakan dicetuskan untuk tindakan bersama.

3 Resolusi Tindakan tersebut adalah hasil daripada konsep 3 S yang ditekankan di dalam Konvensyen PMRAM pada tahun ini iaitu sistem, sikap dan sedar.

3 Resolusi Tindakan ini dibacakan oleh Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime sambil semua Yang Di-Pertua BKAN dan Pengerusi DPM turut berdiri bersama-sama kepimpinan PMRAM Pusat bagi menggambarkan kebersamaan dalam menjayakan 3 Resolusi Tindakan tersebut.
3 Resolusi Tindakan tersebut ialah :
1- Menyelaraskan silibus Kursus Pengurusan Islam (KPI) di bawah seliaan Jabatan Setiausaha Agung PMRAM
2- Konvensyen DPM kali ke-4 pada tahun 2011
3- Menjayakan draf tindakan bersama secara bersistematik.

"Ia adalah Resolusi Tindakan yang telah diputuskan bersama. Maka semua peringkat mesti bersungguh-sungguh dalam memastikan resolusi ini berjaya dilaksanakan," ujar Timbalan Presiden, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.

Selain itu, Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime menekankan konsep 3 S dalam amanat emas dalam merasmikan majlis penutup.

"Kita mahu selepas keluar Konvensyen PMRAM ini, semua pimpinan akan berubah ke arah yang lebih baik dan tersusun. Pastikan sikap sebagai seorang pemimpin akan menjadi lebih baik, kesedaran dalam cakna isu bersama dipertingkatkan dan gerak kerja yang dijalankan lebih bersistematik," tegas beliau. - http://pmram.org/

Kepulangan Aktivis BKPJM Ke Malaysia




Kaherah, 5 November 2010 – “Patah Tumbuh Hilang Berganti”. Itulah ungkapan yang sering dikaitkan dengan pemergian atau ketiadaan seseorang yang banyak berjasa. 

Basir bin Mohamed, Mohd Khairul Anwar bin Tajudin dan Mohd Nur bin Ahmad. 3 nama besar yang tidak asing lagi di kalangan warga BKPJM khususnya pulang ke Malaysia dengan seribu kenangan di bumi anbiya’ setelah sekian lama berjuang menimba ilmu di sini dengan membawa pulang segulung ijazah yang diimpikan selama ini.

3 nama tersebut juga merupakan mantan ahli jawatankuasa tadbir BKPJM yang begitu banyak berjasa dan menabur budi kepada BKPJM buat sekian lamanya. Saudara Basir yang juga merupakan YDP BKPJM bagi sessi 2009-2010, Saudara Khairul Anwar TYDP BKPJM merangkap Ketua Lajnah Dakwah & Tarbiah dan Saudara Mohd Nur Timb Setiausaha Agung merangkap ketua lajnah kesenian, kebudayaan & sukan begitu disenangi dan disegani di kalangan ahli BKPJM dengan kewibawaan dan ilmu yang dimiliki mereka. 

Kepulangan mereka diiringi oleh hampir 20 ahli BKPJM jelas menunjukkan tanda ukhwah dan rasa cinta kasih kepada pimpinan walaupun setelah tidak lagi menjawat jawatan selaku AJKT BKPJM.

Mereka berlepas pulang ke Malaysia dengan menaiki penerbangan Egypt Air pada jam 12.00 tengah malam. Semoga kepulangan mereka ke Malaysia dapat membantu masyarakat dalam usaha menegakkan agama Islam yang tercinta di tanah air. Salam perjuangan daripada warga BKPJM di perantauan.  – al jauhar