Ahad, 15 Julai 2012

BKPJM MENGHANTAR BORANG ADUAN HAK MAHASISWA KEPADA PMRAM



KAHERAH,15 Julai- Susulan insiden yang telah berlaku ke atas saudara Muhammad Yassarudin b. Samsul dalam isu yang berkaitan dengan campak borang, Yang di Pertua BKPJM bersama mangsa telah menghantar borang hak aduan mahasiswa ke pejabat PMRAM. Mereka telah disambut oleh Naib Presiden 3, Ust Ahmad Huzaifah b. Fauzi serta Bendahari Kehormat, Ust Ahmad Qutaibah b. Mohamed.

Selain daripada membincangkan isu yang berlaku ke atas mangsa, perbincangan juga tertumpu kepada isu yang berlaku ke atas pejabat BKPJM apabila diarahkan untuk mengosongkan ruang pejabat tersebut. Melalui aduan tersebut, pihak Badan Pengurus memberi sedikit nasihat kepada mangsa supaya bersabar dan menganggap perkara yang berlaku adalah sebagai satu ujian daripada Allah swt.

Yang DiPertua BKPJM, Saudara Muhammad Yazid b. Hanzir berkata, "BKPJM mengucapkan sekalung penghargaan kepada PMRAM kerana sudi menerima aduan kami. Ini selaras dengan misi BKPJM tahun ini, 'BKPJM dan PMRAM seiring dan sejalan'. Ini juga selaras dengan subtopik ucapan dasar Presiden 'Menghayati Sejarah, Mempertahan Maruah'.


Jumaat, 13 Julai 2012

ARAHAN MENGOSONGKAN PEJABAT BKPJM


KAHERAH, 13 Julai – Setelah pertemuan diadakan dengan pihak Pengurus Rumah Johor Mesir Tuan Hj Mohd Maulan Asmoni berkenaan isu campak borang pada 3 Julai yang lalu pihak Pengurus Rumah Johor telah mengeluarkan surat pada tarikh yang sama arahan mengosongkan pejabat rasmi BKPJM.

Arahan mengosongkan pejabat tersebut adalah atas cadangan pihak Pejabat Pengurus Asrama untuk pembesaran pejabat pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) Johor di Mesir dengan penambahan beberapa orang pegawai.

Justeru, pihak BKPJM melalui Yang DiPertua BKPJM Saudara Muhammad Yazid Hanzir telah mengeluarkan surat balas menyatakan tidak bersetuju untuk mengosongkan pejabat rasmi di Rumah Johor Haiyyu Thamin.

BKPJM merupakan satu-satunya persatuan yang menaungi seluruh anak-anak Johor yang menuntut di bumi Mesir dan telah berdaftar secara rasmi dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

Pejabat BKPJM yang sedia ada ini telah diperakui keberadaannya oleh Kerajaan Negeri, MAIJ, dan YPJ kerana BKPJM turut menyumbang dalam usaha mendapatkan tanah dan bangunan rumah Johor tersebut.

Namun pada tarikh 10 Julai 2012 pihak pengurus rumah Johor sekali lagi mengeluarkan surat yang memaklumkan bahawa arahan mengosongkan pejabat BKPJM adalah muktamad.

“BKPJM akan tetap mempertahankan pejabat rasminya di Rumah Johor kerana ia merupakan kemestian untuk BKPJM bergerak. BKPJM turut mengharapkan sokongan dan dokongan semua pihak khususnya ahli BKPJM dalam usaha mempertahankan hak dan keberadaan BKPJM di Rumah Johor. Kita tidak mahu tragedi hitam PMRAM dihalau keluar dari ARMA kembali berulang” Ujar Yang DiPertua BKPJM Saudara Muhammad Yazid Hanzir.