Isnin, 3 September 2012

BKPJM DAN BKPJJ BEKERJASAMA DALAM ISU MAHASISWA



JOHOR BAHRU, 30 OGOS 2012-Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) telah mengadakan satu pertemuan dengan Badan Kebajikan Pelajar Johor Jordan (BKPJJ) bertempat di Larkin, Johor Bahru.

Pihak BKPJM telah diwakili oleh Saudara Syed Miftahul Ulum bin Syed Mustafa Kamal selaku Penasihat BKPJM sesi 2011/2012 bersama dua orang ahli BKPJM iaitu Saudara Muhammad Syuaib bin Sangkrah dan Saudara Muhammad Syafiee bin Musni. Manakala wakil dari BKPJJ pula ialah Yang DiPertua BKPJJ, Saudara Harith Hanif Hamdan dan seorang ahli BKPJJ Saudara Mohd Hafizuddin Syah.

Pertemuan yang berlangsung selama satu jam itu antaranya membincangkan hubungan dua hala antara BKPJM dan BKPJJ serta perkongsian isu seputar mahasiswa yang berlaku di Mesir dan Jordan khususnya berkenaan isu kebajikan dan pencabulan hak terhadap mahasiswa.

“Antara isu yang berlaku terhadap anak-anak Johor di Jordan ialah berkenaan isu permohonan zakat negeri Johor apabila daripada seramai 31 oarang mahasiswa-mahasiswi Johor yang ditemuduga hanya 6 orang sahaja yang diterima permohonan zakat mereka. Nama-nama pemohon yang layak tersebut telah diumumkan sendiri oleh pihak Pejabat Pegawai HEP Johor Mesir namun tiada sebarang penjelasan dibuat berkenaan permohonan-permohonan lain yang tidak berjaya.” Ujar Saudara Harith Hanif Hamdan, YDP BKPJJ.
Pihak BKPJJ juga turut melahirkan rasa kecewa terhadap siri-siri penindasan dan tindakan tidak matang yang dikenakan terhadap BKPJM dan ahli-ahlinya oleh pihak Pegawai HEP, bahkan turut menyatakan sokongannya kepada BKPJM terhadap isu-isu yang berlaku.

Pertemuan tersebut turut menghasilkan sebuah resolusi bersama iaitu BKPJM dan BKPJJ bersetuju untuk membawa perkara ini ke peringkat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) untuk diambil perhatian dan tindakan segera.Perkara tersebut akan dibawa kepada pihak MAIJ dalam waktu yang terdekat.

YDP BKPJM, Saudara Muhammad Yazid Hanzir ketika dihubungi melahirkan rasa berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak BKPJJ di atas segala sokongan dan kerjasama yang telah diberikan. Beliau mendoakan agar hubungan yang telah sedia terjalin antara kedua-dua badan induk pelajar-pelajar Johor Mesir dan Jordan ini akan terus utuh dan usaha yang dibuat demi menjaga kebajikan dan kemaslahatan   anak-anak Johor dipermudahkan oleh Allah S.W.T.

Rabu, 22 Ogos 2012

KEMERIAHAN AIDILFITRI DI CINDAI '12




KAHERAH, 20 Ogos - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) telah mengadakan program sambutan Hari Raya Aidilfitri 1433 Hijriah yang dinamakan sebagai Citra Warna Di Aidilfitri (CINDAI '12). Majlis yang berlangsung di dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah ini telah dirasmikan oleh Presiden PMRAM saudara Abdul Aziz bin Ali.

          Program yang saban tahun dianjurkan ini telah berjaya menarik kehadiran anak-anak Johor yang berada di muhafazah bagi memeriahkan lagi sambutan Syawal pada tahun ini. Turut hadir pada malam itu, Badan Pengurus angkat BKPJM saudara Zulhafeez dan saudara Abdul Nafie' Taqiuddin bersama Penasihat PMRAM saudara Zuhaili bin Saiman.


          Pada malam itu juga, satu tayangan khas telemovie raya sempena CINDAI '12 yang diberi tajuk "KELUARGA" telah ditayangkan. Majlis juga telah diserikan lagi dengan persembahan khas dikir barat yang dipersembahkan oleh Keluarga Pelajar Kelantan Mesir (KPKM). Antara slot yang berjaya menarik perhatian tetamu pada malam itu adalah deklamasi sajak mengenai "BKPJM" yang telah disampaikan oleh saudara Huefiruz Efizi bin Hussein. 

          Sebelum berakhir, gimik penyatuan anak-anak Johor di Mesir telah disempurnakan oleh Presiden PMRAM saudara Abdul Aziz bin Ali. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh saudara Firdauz bin Noh seterusnya penyampaian cenderahati kepada para tetamu yang disampaikan oleh Yang Dipertua BKPJM saudara Muhammad Yazid bin Hanzir.


           Bertemakan slogan "Lebaran Dirai, Ukhuwah Terpatri", program pada kali ini telah berjaya menghimpunkan pelajar baru dan lama disamping mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sesama pelajar Johor di Mesir selaras dengan objektif penganjuran program CINDAI '12.

          "Alhamdulillah, jutaan terima kasih diucapkan kepada tetamu yang hadir dalam memeriahkan CINDAI '12 . Semoga tautan ukhuwah yang kita bina ini semakin utuh khususnya diantara pelajar pengajian Islam dan perubatan. Kehadiran yang amat memberangsangkan ini menunjukkan bahawa sokongan dan kebersamaan anak-anak Johor tetap teguh bersama BKPJM." ujar pengarah program saudara Norsalam Bin Abu Bakar.