Isnin, 29 Oktober 2012

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL ADHA (KORBAN'12) BERLANGSUNG MERIAH




KAHERAH , 27 OKT 2012- Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Adha  (KORBAN’12) telah selamat berjalan dengan lancar. Program yang diadakan di dewan Masjid Salam, Hayyu ‘Asyir ini merupakan program ke-2 pada sesi ini yang diadakan di luar premis Asrama Pelajar Johor baik di Rabaah mahupun di Hayyu Thamin selepas Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM.

          Program KORBAN’12 dihadiri oleh ahli-ahli yang pelbagai bidang sama ada dari pengajian Islam mahupun pelajar-pelajar sains kesihatan. Kehadiran dan komitmen yang diberikan ahli melambangkan kesatuan dan perpaduan yang jitu dan seterusnya menjayakan slogan “BKPJM KELUARGA KITA”.


         
          Majlis dipengerusikan oleh saudara Mohammad Ayub bin Azizul. Majlis dimulai dengan ucapan pengarah program, saudara Mohd Affeni bin Madrom. Kemudian disusuli dengan ucapan Yang DiPertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM), saudara Mohamad Syakirin bin Mohd Khalid. Seterusnya ucapan daripada perasmi program, saudara Zulhafeez bin Ahmad Zahidi yang merupakan Badan Pengurus Angkat BKPM seterusnya menyempurnakan gimik perasmian yang bersimbolikkan “BKPJM Keluarga Kita”.


          Majlis diteruskan dengan ceramah Aidul Adha yang disampaikan oleh saudara Norsalam Bin Abu Bakar dan slot pengenalan barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) dan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKPJM bagi sesi 2012/2013. Kemudian persembahan Qasidah yang didendangkan oleh barisan qasidah adik-beradik BKPJM. Majlis berakhir jam 11 malam dan hadirin dihidangkan dengan sedikit jamuan.



          BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Pelaksana KORBAN’12 yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini. Tidak dilupakan juga kepada adik-beradik BKPJM atas kehadiran dan komitmen yang diberikan secara langsung ataupun tidak. Hanya Allah SWT yang layak membalasnya.

         “Ana menyangkakan bahawa persatuan anak-anak Johor akan bertukar nama tahun ini, akan tetapi sangkaan ana amatlah salah dengan melihat sokongan dan dokongan ahli malam ini yang hadir dalam program yang dianjurkan BKPJM walaupun bukan diadakan di tempat sendiri.” – Ujar perasmi program, saudara Zulhafeez Bin Ahmad Zahidi.


Jumaat, 26 Oktober 2012

Majlis Sanad Hadith Musalsal EIdul Adha



KAHERAH, 26 OKT 2012 – Selepas menunaikan solat Hari Raya Aidil Adha di Masjid Musa Haiyyu Sabi’, pelajar-pelajar Johor bertungkus-lumus bergotong-royong dalam penyembelihan, melapah , dan mengagihkan binatang korban sebanyak 28 ekor kambing kacang, 4 ekor kambing biri-biri dan seekor unta. Manakala di sebelah akhawat, membantu menyiapkan makanan untuk dimasak.

Pada sebelah petangnya, seramai 29 orang akhawat telah menghadiri kelas “Sanad Hadith Musalsal Yaumul Eidul Adha” dengan menaiki coaster anjuran Unit Dakwah dan Tarbiah dengan kerjasama Unit Sambutan dan Rehlah BKPJM. Mereka bertolak pada pukul 3.15 petang bersama dua orang musyrif yang telah disediakan. Sanad ini disampaikan oleh al-‘Allamah Muhaddith Syeikh Mahmud Sa’ed Mamduh . di maktabah beliau sendiri di Tabbah. Beliau merupakan kenalan Habib Tohir Alawi Al-Haddad  mantan Mufti Johor.

Pesanan Syeikh Mahmud Sa’ed Mamduh, “Antara amalan yang perlu ada pada diri seorang Azhari dan Azhariah ialah menuntut ilmu, menghafaz al-Quran,  menziarahi ulama’, menziarahi makam, sentiasa mulazamah dengan wirid, dan berpegang dengan syariah serta tasawwur.“ Pesanannya lagi, “ tidak boleh tidak, kalian sebagai penuntut ilmu, perlu menyampaikan ilmu yang dipelajari kepada orang lain.”

Kelas diakhiri dengan bacaan doa dari syeikh dan sedikit jamuan yang disediakan. Pelajar akhawat selamat sampai di Asrama Pelajar Johor Rabaah pada pukul 4.15 petang. Sebagai Azhari dan Azhariah, perlulah sentiasa menuntut ilmu dari segenap sudut dan tidak hanya tertumpu pada sistem perkuliahan. Bak kata pepatah, “ tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”