Rabu, 17 April 2013

KUNJUNG HORMAT BKPJM KE PEJABAT PMRAM




KAHERAH, 16 APRIL 2013 – Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) telah mengadakan satu kunjung hormat ke pejabat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang mana ini merupakan kunjungan pertama pihak BKPJM ke pejabat PMRAM selepas kenaikan baru kepimpinan PMRAM bagi sesi 2013.

Ketibaan Yang di-Pertua BKPJM, saudara Mohamad Syakirin Bin Mohd Khalid bersama seluruh Ahli Jawatankuasa BKPJM telah disambut oleh saudara Muhammad bin Mohamad Zin, selaku Naib Presiden 3 PMRAM (Ketua Lajnah Kebajikan & Kemanusiaan) merangkap badan pengurus angkat bagi BKPJM dan beberapa Badan Pengurus  PMRAM kira-kira jam 1.45 petang.




Pertemuan yang diatur dan disusun ini telah dipengerusikan oleh Setiausaha Agung BKPJM, saudara Muhammad Arif Bin Hamzah. Perjumpaan dimulai dengan sesi ta’aruf kepimpinan BKPJM bersama beberapa Badan Pengurus yang hadir, diikuti ucapan YDP BKPJM dan ucapan aluan daripada wakil tuan rumah, Timbalan Presiden serta sesi bertukar-tukar pendapat dan pandangan.

Saudara Mohammad Syakirin Bin Mohd Khalid, mengucapkan terima kasih di atas kesudian pihak PMRAM menerima kunjungan dari pihak BKPJM. Diharapkan agar pertemuan ini menjadi satu batu loncatan dan kesempatan untuk kedua belah pihak berbincang dalam menyelaraskan gerak kerja dan secara tidak langsung dapat memperkasakan hubungan baik antara BKPJM dan PMRAM.



Dalam menghadapi tempoh persediaan peperiksaan ini, tuan Presiden PMRAM saudara Abdul Aziz Bin Ali menegaskan dalam ucapan penutup beliau agar kepimpina saling kuat menguat dalam posisi masing-masing dan yang paling penting, dalam kita bekerja dan bersiada untuk berkorban jangan sampai diri sendiri terkorban dalam akademik terutamanya.

BKPJM berbesar hati kerana pihak PMRAM sudi untuk menerima kunjungan dan BKPJM juga berharap agar hubungan di antara BKPJM dan PMRAM akan terus diperkukuhkan dengan adanya kunjung hormat sebegini.

Pertemuan berakhir dengan penyampaian cenderahati daripada pihak BKPJM kepada pihak PMRAM dan sesi bergambar serta sedikit jamuan daripada pihak BKPJM.

KUNJUNGAN DISAMBUT BAIK SYEIKH SAAD


KAHERAH,  16 April 2013 – Unit Sambutan dan Rehlah HEWI BKPJM telah mengadakan Ziarah Ulama’ Mu’asarah pada 16 Mac. Kali ini, ziarah dilaksanakan di maktabah Syeikh Saad Saad Jawish Hafizullah yang terletak di Hayyu Sabiek. Tujuan ziarah ini diadakan bagi menyempurnakan hak sebagai muslim dengan menziarahi saudara semuslim. Disamping, mendekatkan diri dan jiwa bersama para Alim Ulama’ yang tinggi darjatnya di sisi Allah Taala.


Program ini mendapat penyertaan yang menggalakkan iaitu lebih dari 30 orang. Selepas solat Maghrib berjemaah di Markaz HEWI PMRAM , pelajar bergerak menuju ke maktabah syeikh yang diketuai dua orang musyrif iaitu saudara Mohammad Nazeem bin Zainodin dan saudara Fakhrul Iftah bin Muharam.


Sebelum mulakan acara, Syeikh Saad menghidangkan tamar dan meminta setiap pelajar mengambil dan makan 3 biji tamar. Kemudian, syeikh mulakan ucapannya dengan memperkenalkan diri. Syeikh Saad Saad Jawish merupakan salah seorang pensyarah di universiti terkemuka, Universiti Al-Azhar Kaherah. Beliau merupakan pensyarah dalam mata pelajaran hadith.



Syeikh meneruskan ucapan beliau dengan memberi tips-tips persiapan peperiksaan dan perkongsian beliau mengenai cara-cara menjawab soalan kepada pelajar. Antara kata beliau, “ Jadikan buku itu seperti seorang sahabat, kita mengenalinya, kita mengetahui kisah mengenainya.” Syeikh banyak menekankan mengenai kesungguhan membuat nota dan ringkasan bagi memudahkan pembacaan pelajar sekiranya tidak dapat mengkhatamkan kitab dalam waktu yang terdekat. Pendengar member tumpuan dan mendengar dengan teliti setiap butiran yang disebut syeikh.



Sebelum berakhir, syeikh membuka persoalan kepada pelajar. Kunjungan itu berakhir dengan doa dari syeikh dan majlis fotografi bersama beliau. Antara doanya, “ Ya Rabb jadikan kami di antara golongan yang berjaya, yang beramal dengan ilmu dan Berjaya di Akhirat.” 


 BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih Syeikh Saad Saad Jawish khususnya kerana sudi menerima kunjungan dari mahasiswi Johor dan memberi perkongsian dan kata-kata pemangkin semangat. Tidak ketinggalan, ucapan terima kasih kepada HEWI PMRAM yang memberi ruang kepada anak-anak Johor berkumpul di Markaz HEWI.





KEFAHAMAN MELAHIRKAN GERAKAN MEMANGKIN KESATUAN
MENYEMAT IZZAH MERIBAT UKHUWAH