Rabu, 28 Januari 2015

USRAH GABUNGAN AJKT BERSAMA BKAN TAAKHI : Memperkukuh sinergi ukhwah taakhi zon




SOLAH SALEM, 5 Disember 2014 – Barisan AJKT Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) telah menjalankan usrah amali gabungan bersama BKAN taakhi Keluarga Pelajar-pelajar Perlis (KPP), yang bertempat di International Bowling Center (IBC). Usrah Amali Gabungan ini telah dimulakan dengan aktiviti bowling gabungan di antara barisan pimpinan dua BKAN ini sekitar jam 9 malam.

            Selesai aktiviti bermain bowling, ia diteruskan lagi dengan sesi taaruf sesama pimpinan yang turut dihadiri Ustaz Mohd Helmi bin Nor Isham, Penasihat BKPJM. Sebelum Usrah Amali Gabungan ini ditangguhkan, ianya diisi dengan ucapan daripada Penasihat BKPJM yang menekankan aspek ukhuwah di kalangan mahasiswa Malaysia  di Mesir.

            Semoga aktiviti seperti ini dapat mengeratkan lagi ikatan ukhuwah di antara barisan kepimpinan BKAN secara khususnya dan seluruh mahasiswa Malaysia secara umumnya yang berada di Bumi Anbiya’ ini.


USRAH GABUNGAN PERINGKAT SATU : Ke arah pembentukan fikrah mahasiswa baru


KAHERAH,5 Disember 2014 – Badan Kebajikan Pelajar- pelajar Johor di Mesir 2014/2015 telah mengadakan muzakarah berkelompok gabungan bagi peringkat satu bertempat di Dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah. Program ini bertujuan memberi pendedahan awal berkaitan kehidupan selaku mahasiswa disamping mengeratkan ukhuwah dalam kalangan mahasiswa.

                 Program dimulakan dengan tazkirah dhuha, ‘ Kewajipan Pemuda Islam Hari Ini’ yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Syaffarin bin Zainal. Menurut beliau,kewajipan pemuda hari ini terletak pada empat perkara, kewajipan memahami Islam secara sempurna, kewajipan beramal dengan Islam, kewajipan berdakwah kepada Islam dan kewajipan mengikat diri dengan gerakan Islam.
                 Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan pengenalan Ahli Jawatankuasa Tadbir dan Hal Ehwal Wanita Islam Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir beserta soal jawab berkaitan permasalahan yang dihadapi oleh pelajar baru. Kemudian setiap mahasiswa dan mahasiswi diagihkan mengikut kumpulan untuk berbincang mengenai permasalahan kuliah dan pengenalan berkaitan pembelajaran.


                Usrah gabungan diakhiri dengan jamuan usai solat jumaat. BKPJM mengharapkan mahasiswa dan mahasiswi dapat menjalani pembelajaran dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh sebagai langkah awal di bumi Mesir disamping meningkatkan pencapaian sebagai mahasiswa/i harapan ummah.