Selasa, 16 Jun 2015

KEDATANGAN DELEGASI KERAJAAN NEGERI JOHOR : Mempererat Hubungan Dua Hala Antara BKPJM dan Kerajaan Negeri


KAHERAH,  10-13 JUN 2015- Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir telah bekerjasama dengan pihak Atase Pendidikan Johor untuk menyambut kedatangan delegasi kerajaan negeri Johor yang telah diketuai oleh Y.A.B Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Negeri Johor Darul Takzim.

Tujuan kedatangan delegasi kerajaan Negeri Johor ke Mesir adalah untuk melawat anak-anak Johor di Mesir.

Ketibaan rombongan yang pertama adalah pada 10 Jun 2015 terdiri dari Tuan Haji Abdul Rahim bin Nin, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Negeri Johor dan beberapa orang pegawai tadbir kerajaan yang lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Manakala pada 12 Jun 2015, delegasi kerajaan negeri Johor telah tiba yang diketuai oleh Menteri Besar Negeri Johor. Kesemua rombongan ini telah disambut mesra oleh Encik Khairi bin Jalaluddin, Pegawai Atase Pendidikan Johor dan Saudara Usama bin Aris, Yang DiPertua Badan Kebajikan Pelajar Johor Di Mesir 2015 serta barisan pimpinan BKPJM.


Program ramah mesra bersama Y.A.B. Menteri Besar Johor telah diadakan bertempat di Dewan Asrama Pelajar Melayu Abassiah pada sebelah petang. Aturcara telah bermula dengan program Seminar Muafakat Johor yang terdiri dari tiga slot iaitu Slot Pelan Suara Hati Rakyat, Slot Peluang Pekerjaan dan Slot Pembangunan Minyak dan Gas di Pengerang. Program diteruskan pada sebelah malam dengan Ucapan Y.A.B. Menteri Besar Johor dan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa dan Mahasiswi Johor dalam bidang Sains Kesihatan dan Pengajian Islam. Seterusnya, penyampaian cenderamata kepada Y.A.B Menteri Besar telah disampaikan oleh T.Y.T Ku Jaafar bin Ku Shaari,Duta Malaysia ke Kaherah seterusnya persembahan nasyid dan jamuan.

Manakala pada hari Sabtu, 13 Jun 2015, rombongan Y.A.B Menteri Besar bersama exco negeri yang lain telah mengadakan kunjungan ke Asrama Pelajar Johor Rabaah. Y.A.B Menteri Besar telah membuka ruang kepada Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir yang diketua oleh YDP BKPJM untuk bertemu dan bersoal jawab serta mengemukakan cadangan dan pandangan untuk kebajikan pelajar Johor dan pembangunan negeri Johor. Saudara Usama bin Aris turut menyampaikan cenderamata kepada Y.A.B Menteri Besar sebagai tanda ingatan dari BKPJM.



Semoga perjumpaan seperti ini dapat diadakan setiap tahun agar hubungan antara dua hala ini dapat memantapkan lagi ukhwah sekaligus memberi manfaat dan kebaikan kepada dua belah pihak. 

Ahad, 26 April 2015

DISKUSI KITAB : Kebangkitan Islam Antara Ancaman dan Cita-cita


KAHERAH, 22 April 2015 – Badan Kebajikan Pelajar- Pelajar Johor di Mesir SESI 2014/2015 (BKPJM) di bawah Unit Dakwah dan Tarbiah telah mengadakan Diskusi kitab As-Sohwah Islamiah Baina Al-Amal Wal Mahazir  (Kebangkitan Islam antara ancaman dan cita-cita) yang bertempat di Dewan  Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah. Program bulanan ini diadakan bertujuan untuk  menambah thaqofah  ahli berkenaan kebangkitan umat islam diantara cita-cita dan amaran.

           Program dimulakan selepas waktu Maghrib . Diskusi kitab ini telah disampaikan oleh Saudara Muhammad Ariff bin Hamzah, Penasihat Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 2014/2014.

           Kitab As-Sohwah Islamiah Baina Al-Amal Wal Mahazir  membincangkan tentang tujuan utama iaitu mengembalikan kesedaran pemuda terhadap peranan mereka dalam menegakkan syi’ar islam.Kebangkitan ini sangat dituntut kerana kelekaan dan kelalaian kita selama ini. Selaku pemuda islam perlu melahirkan kesedaran melalui perasaan, akal dan fikiran yang bersih. Kebangkitan Islam ini bertujuan untuk merialisasikan cita-cita tertinggi iaitu mengembalikan keunggulan Islam di mata dunia. Kita juga perlu berhati-hati dan berwaspada. Dalam kebangkitan juga kita perlu menjaga batas-batas syariah yang telah ditetapkan agar tidak menjadi ancaman kepada kita. Oleh itu, jangan pula kita menjadikan wasilah itu lebih utama dari perkara asas dan dasar yang telah dipandukan oleh agama Islam. 

Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati dari pihak BKPJM kepada pengisi atas ucapan terima kasih. Semoga program seperti ini dapat mengisi rohani ahli seterusnya moga usaha ini sebagai wasilah untuk memberikan kefahaman yang jelas tentang agama islam.  Diharap seluruh mahasiswa dapat mengambil manfaat daripada pengisian ini. Majlis ditutup dengan bacaan tasbih kafarah dan  surah Al-Asr.