Rabu, 12 Mei 2010

YDP BKPJM Berjumpa Ahli di ARMA

KAHERAH 5 Mei - Yang DiPertua BKPJM 09/10, Saudara Basir Mohamed, telah menziarahi ahli-ahli BKPJM yang berada di ARMA. Be;iau yang ditemani Saudara Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa Kamal, UKTD BKPJM 09/10, telah menziarahi ahli-ahli BKPJM selepas asar hari tersebut. Sekitar 15 orang ahli BKPJM yang hadir telah menunjukkan komitmen dan kesetiaan mahasiswa Johor di Mesir yang masih utuh bersama BKPJM.

Antara isu yang dibincangkan ialah pelantikan Saudara Mohd Faiz Bin Esa sebagai mandub BKPJM di ARMA, isu kebajikan dan akademik ahli di ARMA, isu-isu terkini BKPJM, dan lain-lain. Borang Zakat Jam'iyyah Syar'iyyah juga diedarkan semasa perjumpaan tersebut.

BKPJM mengucapkan seinfiniti terima kasih kepada ahli BKPJM di ARMA atas kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada BKPJM dalam perjumpaan tersebut. Mudah-mudahan ukhuwwah anak-anak Johor yang terbina di Bumi Anbia' ini akan berkekalan. - aljauhar

Sabtu, 8 Mei 2010

YDP BKPJM turut serta dalam perjumpaan dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK)

MOHANDESIN, 4 Mei 2010 : Yang DiPertua BKPJM, Saudara Basir Mohamed, telah menyertai PMRAM Pusat dalam perbincangan bersama Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK). Perbincangan yang dijalankan adalah berkaitan isu-isu mahasiswa Malaysia. Ia telah diadakan di antara pihak KBMK dengan wakil PMRAM dan YDP-YDP PMRAM Cawangan Negeri dalam satu kunjungan hormat ke pejabat kedutaan pada 4 Mei 2010 jam 10 pagi. Rombongan tersebut diketuai oleh Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime dan disertai Timbalan Setiausaha Agung PMRAM bersama semua YDP PMRAM Cawangan Negeri kecuali Kelantan dan Pahang yang tidak dapat hadir. Pihak KBMK diwakili oleh En. Shaiful Anuar bin Mohammad, Kuasa Usaha Sementara dan En. Samsul Kahar bin Kamarudin, Setiausaha Kedua. Pihak KBMK sangat berbesar hati menerima kunjungan tersebut dan mengharapkan perjumpaan-perjumpaan sebegini dapat diadakan dengan lebih kerap lagi.

Perjumpaan itu berlangsung selama hampir empat jam. Pelbagai perkara telah dibincangkan, antaranya sebelas perkara utama sekitar permasalahan kebajikan, keselamatan dan akademik serta menyentuh isu berkaitan hak dan maruah mahasiswa di sini. Beberapa keputusan telah disepakati bersama untuk dilaksanakan samada di peringkat PMRAM mahupun KBMK.

Pihak KBMK, dalam perjumpaan tersebut, telah menyatakan harapan untuk mendapatkan kerjasama yang baik dari pihak PMRAM dalam memastikan kebajikan semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir terpelihara. Masing-masing perlu memainkan peranan dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia di bumi Mesir terpelihara, lebih-lebih lagi PMRAM melalui hubungan rasminya dengan pihak Keselamatan Mesir dan KBMK selaku wakil rasmi Kerajaan Malaysia di Mesir.

Presiden PMRAM ketika ditemui selepas perjumpaan tersebut berkata, PMRAM bersedia memberi kerjasama kepada pihak Kedutaan dalam apa jua situasi selagi tidak melanggar dasar dan undang-undang tubuh PMRAM.

“Usaha sama seumpama ini di antara PMRAM dengan pihak Kedutaan bagi menangani isu-isu berkaitan mahasiswa Malaysia terutama dalam aspek keselamatan dan kebajikan wajar diteruskan” ujar beliau mengulas signifikan diadakan perjumpaan tersebut.

YDP BKPJM, dalam pertemuan tersebut, telah mengenengahkan beberapa isu penting berkaitan BKPJM, antaranya isu tohmahan pihak-pihak tertentu yang mengatakan 90 % pelajar Johor di Mesir adalah pembangkang dan isu pendaftaran BKAN-BKAN yang sehingga kini masih tidak diselaraskan. Pihak KBMK menjelaskan bahawa tohmahan tersebut tidak sepatutnya berlaku dan mereka kecewa dan kesal dengan apa yang telah terjadi. Begitu juga, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani masalah yang berlaku.

Mudah-mudahan perjumpaan sebegini merupakan titik tolak ke arah kerjasama yang padu antara KBMK dan PMRAM, khususnya PMRAM Cawangan Johor, BKPJM. - aljauhar