Rabu, 1 Mei 2013

RIADAH FATAYAT MENGGAMIT MEMORI



NADI SYABAB, 26 April 2013 – Riadah Fatayat merupakan aktiviti penutup bagi muzakarah berkelompok gabungan akhawat sebelum imtihan. Riadah Fatayat ini dianjurkan oleh Unit Dakwah dan Tarbiah HEWI BKPJM dengan kerjasama Lajnah Kesenian , Kebudayaan dan Sukan HEWI  yang  bertempat di Nadi Syabab Hayyu Hadis, Kaherah.

Tujuan riadah ini diadakan bukan hanya untuk mengeratkan tali persaudaraan antara adik-beradik akhawat BKPJM, bahkan mengadaptasikan kata-kata Rasulullah SAW, “ Allah lebih menyukai mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah.” Disamping, menjadikan minda lebih cerdas dalam proses kefahaman dan hafazan untuk menghadapi  peperiksaan tidak lama lagi.

Riadah Fatayat dimulakan dengan bacaan pembuka majlis dan senaman ringan, serta pembahagian kumpulan.  Acara diteruskan dengan permainan “ Giant Skipping”. Permainan ini merupakan permainan yang menguji keberanian dan kekuatan fizikal setiap peserta. Setelah ketiga-tiga kumpulan berentap, dan akhirnya dijuarai oleh kumpulan pertama. Acara diteruskan dengan permainan “ Timber Ball”. Permainan kedua ini dimulakan dengan persaingan antara kumpulan kedua dan ketiga. Akhirnya, permainan ini juga dimenangi oleh kumpulan pertama.

Riadah ini telah mendapat sambutan dengan baik yang ditunjukkan oleh setiap peserta. Tambahan pula, kehadiran 3 orang HEWI PMRAM, termasuk 2 orang HEWI angkat Johor iaitu saudari Siti Hajar Aisyah binti Sakdon dan saudari Nazuha binti Mohd Suhimi turut memeriahkan lagi suasana Riadah Fatayat ini. Riadah ini akhirnya berakhir pada jam 1 petang.

BKPJM mengucapkan terima kasih atas komitmen yang diberikan oleh setiap peserta. Pihak BKPJM mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menghadapi imtihan buat seluruh anak Johor baik ikhwah mahupun akhawat. Semoga kejayaan itu menjadi milik kita bersama. Jika kita jaga hubungan dengan Allah Taala, maka Allah akan jaga hubungan kita dengan manusia.

Rabu, 24 April 2013

ZIARAH MAQAM DI BUMI MANSURAH



23 April 2013 , Mansurah -  Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir di bawah Unit Sambutan Dan Rehlah telah menganjurkan “Program Ziarah Makam di Mansurah”.  Ahli rombongan telah bertolak dari Asrama Pelajar Johor Rabaah ke destinasi pada jam 8.00 pagi. Antara tujuan utama program ziarah makam ini diadakan  untuk mengenali maqam-maqam yang terdapat di muhafazah Mansourah itu, pada masa yang sama dapat mengeratkan ukhawah antara ahli BKPJM, seterusnya menjayakan resolusi kovensyen DPM PMRAM 2012 iaitu “ menghidupkan suasana di DPM”. Seramai 37 peserta ikhwah telah menyertai program ziarah ini dengan menaiki 3 buah macro bus.


Sepanjang perjalanan ini, ahli rombongan telah diketuai oleh Ustaz Muhammad Aliffuddin b. Ramlee bagi menceritakan berkaitan maqam-maqam di sekitar Mansurah. Perjalanan yang mengambil masa selama 2 jam dari Kaherah ke Mansurah akhirnya sampai ke destinasi yang pertama iaitu makam Sheikh Muhammad Mutawalli dan perjalanan kami diteruskan lagi ke makam Sayyidi Muhammad bin Abu Bakar yang merupakan anak kepada Sayyiduna Abu Bakar as-Siddiq. Ahli rombongan meneruskan lagi menjejaki  maqam yang seterusnya iaitu maqam antara salah seorang sahabat Nabi SAW, Sayyidi Abdullah bin Salam.  Seusai solat zohor, perjalanan diteruskan ke maqam Syeikh ‘Isawi As-Syazuli, khalifah tariqat daripada aliran Qouqojiah. Perjalanan  berakhir dengan menziarahi maqam para syuhada  sewaktu perang tiga serangkai yang berlaku di Mansurah.


Disamping menziarahi maqam, ahli rombongan berkesempatan bertemu dangan Sheikh Usamah bin Ahmad bin A’tiah Al-Muti’ yang juga merupakan Imam Masjid Negeri Mansurah. Ahli rombongan berpeluang beramah mesra bersama as-Syeikh disamping berkongsi ilmu pengetahuan dan memberikan kata-kata semangat kepada ahli rombongan selaku penuntut ilmu Allah di Al-Azhar bersempena peperiksaan yang bakal tiba tidak lama lagi.


Selepas makan petang di masjid Syeikh ‘Isawi As-Syazulian, majlis penutup diakhiri dengan ucapan YDP BKPJM, Ustaz Mohamad Syakirin bin Mohd Khalid serta ucapan dari pengarah program, Ustaz Ainuddin Bin Abu Jamil. Ahli rombongan selamat tiba di Asrama Pelajar Johor Rabaah sekitar jam 9.00 malam.


“BKPJM KELUARGA KITA”