Memaparkan catatan dengan label UPR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UPR. Papar semua catatan

Khamis, 7 Januari 2010

PMRAM, BKPJM Prihatin Terhadap Ahli

KAHERAH, 7 JANUARI 2010: Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir (BKPJM) telah menyalurkan sumbangan kewangan kepada beberapa orang pelajar Johor yang telah ditimpa musibah baru-baru ini. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Basir Bin Mohamed, Yang DiPertua BKPM 09/10 kepada beberapa orang pelajar terbabit.

Beberapa kutipan derma juga telah dilancarkan oleh pihak UKTD BKPJM untuk membantu meringankan beban mangsa. Antara tabung yang dilancarkan untuk meringankan beban ahli ialah tabung derma kilat untuk Ustaz Muhammad Al-Hidayat Bin Khalid, Ustazah Mahfuzah Bte Saidina Abu Bakar, Ustaz Yasaruddin Bin Samsul, dan Ustaz Fakhrurrazi Bin Ahmad Affandi yang ditimpa kemalangan jalanraya. Begitu juga wang Tabung Khairat BKPJM telah disalurkan kepada beberapa pelajar yang ditimpa musibah seperti Ustaz Ahmad Rafiuddin Syahidullah, Ustaz Syafiee Bin Musni, Ustaz Mohd Akhmal Bin Ali, dan lain-lain.

Selain itu, sumbangan duit khairat dan sumbangan dari PMRAM telah diagihkan kepada mangsa-mangsa kes kecurian baru-baru ini. Sumbangan dari PMRAM telah disampaikan sendiri oleh Presiden PMRAM, Ustaz Abdul Muizz Bin Muhammad yang diiringi oleh beberapa Anggota Badan Pengurus PMRAM sejurus selepas kejadian. Beliau juga turut menyampaikan sumbangan kepada BKPJM untuk disampaikan kepada keluarga Al-Marhum Ustaz Muhammad Hidayatussaufi Bin Mohd Khalid semasa Majlis Tahlil Arwah di Asrama Pelajar Johor Rabaah baru-baru ini.

Sumbangan-sumbangan ini membuktikan PMRAM dan BKPJM prihatin terhadap ahli, selaras dengan motto BKPJM, "Kebajikan dan Perpaduan". -aljauhar

Jumaat, 25 Disember 2009

Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin dimasuki pencuri

JUMAAT, 25 DISEMBER 2009: Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin, salah sebuah rumah penuntut-penuntut Johor yang sangat bersejarah, sekali lagi dimasuki pencuri. Kejadian berlaku ketika kaum Muslimin sedang menunaikan solat Jumaat. Pada waktu yang sama, hampir semua ahli asrama tiada di rumah kerana mengikuti Jaulah Maqam anjuran bersama USR dan Jabatan Nuqaba'.

Pencuri tersebut dipercayai memecah masuk melalui tingkap Syaqah 2. Kejadian disedari selepas solat Jumaat apabila salah seorang mangsa menyedari kehilangan komputer riba miliknya yang ditinggalkan di dalam bilik. Selepas pemeriksaan, didapati beberapa benda berharga lain juga hilang. Antara barang berharga yang hilang ialah 5 biji komputer riba, 3 biji telefon bimbit, sebuah external hard disk, sebuah pemain mp3, dan lain-lain. Kerugian dianggarkan berjumlah lebih daripada LE 15 000.

Sejurus dihubungi, Yang DiPertua BKPJM 09/10, Ustaz Basir Bin Mohamed bergegas untuk meninjau keadaan dan melaporkan kes ini kepada pihak berkuasa. Beliau melaporkan kes ini kepada pihak polis dengan ditemani salah seorang mangsa. Pihak polis memberi jaminan untuk menghubungi YDP jika ada apa-apa perkembangan terbaru.

Selain itu, lawatan yang diadakan oleh semua ahli Badan Pengurus PMRAM diketuai Ustaz Abdul Muizz Bin Muhammad, Presiden PMRAM, sedikit sebanyak membantu meringankan kesedihan hati mangsa-mangsa kes tersebut. Menurut salah seorang mangsa, kalam motivasi yang diberikan oleh Tuan Presiden banyak memberi perangsang untuknya bersabar. Di samping menenangkan mangsa, Tuan Presiden juga sempat menyampaikan sumbangan daripada Badan Pengurus PMRAM kepada mangsa-mangsa kes kecurian ini.

Tuan Presiden PMRAM, Anggota Badan Pengurus PMRAM, HEWI PMRAM, dan AJKT dan HEWI BKPJM 09/10 mengucapkan takziah kepada mangsa-mangsa kecurian ini. Diharapkan kepada semua mangsa agar terus bersabar dan mengambil iktibar daripada kejadian ini.

Kejadian ini juga memberi peringatan kepada kita semua warga Malaysia untuk lebih berhati-hati sepanjang tinggal di bumi Mesir ini, terutama ketika waktu-waktu yang dikenalpasti banyak berlaku kes kecurian seperti waktu solat Jumaat dan waktu malam.

Sabtu, 26 September 2009

3 Program Raya berjalan lancar

KAHERAH, 26 September 2009: Tiga program Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran BKPJM berjaya dilaksanakan. Rumah Terbuka Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin anjuran Unit Perumahan dan penghuni asrama tersebut berjalan dengan baik.

Sebaik sahaja selesai solat sunat Aidilfitri di Masjid Musa An Nusair di Hayyu Sabik, rumah terbuka tersebut dihadiri oleh ramai mahasiswa dan mahasiswi dari sekitar Kaherah. Kehadiran siswa-siswi baru kuliah perubatan juga sedikit sebanyak mengejutkan tuan rumah. Ini kerana kehadiran yang ramai diluar jangkaan mereka. Sehinggakan ada yang tak sempat menjamah jamuan hari raya.

Di hari raya ketiga, Gema Nostalgia Aidilfitri BKPJM berjalan dengan baik di Asrama Pelajar Johor di Rab'ah Al Adawiyah. Program anjuran bersama Pejabat Pegawai Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor ini dihadiri oleh sebahagian besar siswa-siswi dari kaherah dan juga muhafazah.

Program bermula dengan bacaan ayat suci Al Quran. Seterusnya ucapan dari Yang DiPertua BKPJM, saudara Basir Mohamed. Kemudia diselangi ucapan yang bersemangat oleh pemangku Naib Presiden III, Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan saudara Mohamad Azlan Hj Alias. Perasmian dilancarkan oleh Pegawai Kebajikan sendiri Al Fadhil Tuan Haji Ahmad Hanif Hj Naim.

Program tersebut tidak sunyi dengan celoteh dari saudara Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa Kamal yang bergandingan pula dengan saudara Al Hidayat Khalid. Para ahli BKPJM yang hadir juga dihidangkan dengan tayangan istimewa hari raya.

Pada program tersebut juga, slot salam perpisahan dan pengiktirafan kepada siswa dan siswi yang tamat pengajian mereka. Saudara Muhd Hairi bin Hamzah diiktiraf sebagai Tokoh Pelajar BKPJM. Anugerah khas tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua sendiri dan diakhiri dengan upacara memotong kek gergasi.

Hari raya kelima pula, pihak Rumah Johor Abideen dengan kerjasama BKPJM menganjurkan Rumah Terbuka Abideen. Saban tahun ianya diadakan, namun kali ini mendapat kerjasama rasmi dari BKPJM dan orang perseorangan. Rumah terbuka ini, memberi ruang kepada siswa dan siswi melihat sendiri, bangunan pertama bagi anak-anak negeri Johor di Mesir. - aljauhar