Kaherah, 16 November 2010 – Majlis KORBAN ‘10 BKPJM yang bermula pada 16 November 2010 berjalan dengan lancar. Sebanyak 14 ekor kambing telah disembelih yang masing-masing melibatkan ibadah korban dan nazar.
Proses penyembelihan tersebut dimulakan oleh Saudara Muhammad Syuaib Bin Sangkrah yang melaksanakan ibadah nazarnya. Proses penyembelihan yang dilaksanakan ini bukan sahaja sebagai satu ibadah tetapi juga sebagai medan di mana pelajar-pelajar dapat mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari di kuliah.
Kehadiran hampir 150 orang ahli yang memenuhi kawasan perkarangan Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ 4) berjaya menyelesaikan proses penyembelihan dan melapah daging sebelum waktu maghrib.
Program KORBAN ’10 diteruskan kembali bermula selepas solat fardhu asar dengan alunan qasidah dan solat maghrib berjemaah sebelum slot ceramah Eidiladha yang disampaikan oleh Tuan Hj. Ahmad Hanif Bin Naim. Dalam ceramah tersebut, beliau menjelaskan tentang mengapa Eidiladha di Mesir disambut sehari lebih awal berbanding Eidiladha di Malaysia. Beliau juga menekankan aspek pengorbanan dalam diri seorang muslim dan sebagai seorang azhari khasnya.
Majlis sambutan diteruskan lagi setelah solat isyak berjemaah dengan slot pengenalan Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) dan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKPJM. Seterusnya disusuli dengan ucaptama Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir Saudara Syed Miftahul Ulum Bin Syed Mustafa Kamal yang menggariskan 7 misi utama BKPJM untuk dilaksanakan pada sessi 2010/2011.
Majlis sambutan KORBAN ’10 melabuhkan tirai dengan sesi bergambar pimpinan bersama ahli serta sesi jamuan dan pengagihan daging korban kepada ahli. Tahniah dan syabas kepada BKPJM kerana berjaya menjalankan program KORBAN ’10 pada tahun ini. Diharap BKPJM akan terus cakna terhadap ahli dan terus utuh berada di dalam hati setiap individu yang menganggotai BKPJM. – al jauhar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan