Kaherah, 20 Disember – “Harimau mati meninggalkan belang, Ustaz Hanif pergi meninggalkan jasa”. Ustaz Haji Ahmad Hanif Bin Haji Naim, Pegawai Hal Ehwal Pelajar Johor di Mesir akhirnya pulang ke tanah air setelah 2 tahun lamanya berkhidmat di perantauan.
Terdahulu, satu majlis perpisahan antara anak-anak Johor bersama pegawai telah diadakan di Asrama Pelajar Johor Rabaah pada 16 Disember 2010. Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 100 pelajar Johor tersebut diselubungi dengan perasaan sayu dan hiba mengenangkan jasa dan kenangan bersama pegawai yang amat dikasihi oleh seluruh anak-anak Johor di Perlembahan Nil ini. Jasa yang ditabur beliau bukan sahaja dirasai oleh anak-anak Johor tetapi kepada seluruh anak-anak Melayu yang di bumi Anbiya’ ini.
Antara jasa beliau yang akan diingati oleh seluruh anak-anak Melayu amnya dan anak-anak Johor khasnya ialah apabila membantu menjayakan program Majlis Pembacaan Kutub Sittah anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang cuba digagalkan oleh pihak tertentu dengan membenarkan pihak PMRAM menganjurkan majlis tersebut di Asrama Pelajar Johor Rabaah. Beliau juga amat mengambil berat mengenai kebajikan anak-anak Johor terutamanya berkenaan pencapaian akademik pelajar.
Amanat terakhir beliau dalam ucapannya di majlis tersebut ialah berharap agar semua pelajar menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran akademik masing-masing. Beliau juga berharap agar siswazah lulusan Mesir dapat tampil kehadapan untuk berkhidmat kepada masyarakat apabila pulang ke tanah air kelak. Selain itu, beliau turut menyarankan agar mahasiswa mengambil peluang untuk mengikuti latihan praktikal ketika pulang bercuti di Malaysia.
Kepulangan beliau diiringi oleh beberapa pegawai kebajikan negeri-negeri lain bersama hampir 50 anak-anak Johor jelas menunjukkan tanda ukhwah dan rasa cinta kasih mereka kepada pegawai.
Beliau berlepas pulang ke Malaysia dengan menaiki penerbangan Egypt Air pada jam 12.00 tengah malam. Semoga kepulangan beliau ke Malaysia dapat membantu masyarakat dalam usaha menegakkan agama Islam yang tercinta di tanah air. Salam perjuangan daripada anak-anak Johor di perantauan. – al jauhar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan