Selasa, 7 Disember 2010

Ramah Mesra Bersama Delegasi MAIJ Berlansung Meriah


Kaherah, 6 Disember - Majlis ramah mesra bersama delegasi  Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) anjuran Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM) telah berlangsung dengan jayanya pada 5 Disember 2010 yang lepas.

Majlis dimulakan sekitar jam 7 malam dengan ucapan aluan dari Yang Dipertua BKPJM, Ustaz Miftahul Ulum Bin Syed Mustafa Kamal. Beliau mewakili seluruh pelajar-pelajar Johor di Mesir mengalu-alukan kedatangan delegasi tersebut. Selain itu, beliau telah mengajukan beberapa perkara untuk dipertimbangkan di peringkat MAIJ. Antaranya ialah memohon kenaikan dermasiswa bagi pelajar pengajian Islam daripada RM 4,000 kepada RM5,000 dan juga memohon penambahan kuota pinjaman berubah bagi pelajar-pelajar perubatan. Beliau mengakhiri ucapan dengan menitipkan salam buat Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ yang baru iaitu Tuan Hj Elias B Hasran.

Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan daripada ketua delegasi MAIJ, Tuan Hj Mohammad Nasir Bin Abd Salam. Di dalam ucapannya, beliau memberikan respon yang baik terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Yang Dipertua serta berjanji akan membawa perkara tersebut ke perinagkat MAIJ. Selain itu,beliau turut menekankan tentang pentingnya anak-anak Johor di bumi Mesir untuk bersatu di bawah BKPJM dan memberikan komitmen yang baik terhadap setiap program yang dilaksanakan oleh persatuan dan juga pejabat pegawai.

Setelah itu, majlis diteruskan sesi soal jawab. Antara soalan yang diajukan oleh pelajar ialah berkenaan tentang kursus bahasa arab yang dianjurkan oleh MAIJ terhadap pelajar-pelajar yang akan berangkat ke Mesir. Perkara tersebut telah diberi respon daripada Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Zakat, Ustaz Haji Ahmad Faisal B Mohamed. Beliau menerangkan bahawa perkara tersebut merupakan suatu ketetapan yang dibuat oleh MAIJ terhadap para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang pengajian Islam.

Seterusnya, majlis disusuli pula dengan ucapan daripada Ustazah Hajjah Rahimah bte Kemat, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Johor. Beliau menasihatkan agar pelajar-pelajar berusaha sedaya upaya yang mungkin dalam usaha untuk menguasai pelbagai bidang ilmu yang terdapat di Mesir. Beliau turut menekankan tentang pentingnya penguasaan ilmu bukan sahaja dalam bidang yang sedang dituntut ketika ini, bahkan perlu ditambah dengan ilmu-ilmu kemahiran yang mempu memberi nilai tambah yang lebih kepada diri seseorang pelajar.

Selesai ucapan daripada wakil-wakil delegasi, majlis kemudiannya dihidangkan dengan tayangan video pengenalan pimpinan BKPJM sesi 2010/2011 dan sekitar aktiviti-aktiviti yang dianjurkan BKPJM sepanjang tahun 2010.

Majlis diakhiri dengan slot penyerahan cenderahati daripada pihak BKPJM kepada anggota-anggota delegasi. Turut diadakan ialah penyerahan sumbangan tahunan daripada MAIJ kepada BKPJM untuk aktiviti-aktiviti kebajikan bernilai RM 10,000 dan juga sumbangan sempena sambutan hari raya qurban yang lepas bernilai RM 5,000. – al jauhar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan