APJ Thamin, 27
September 2012 - Majlis Ramah Mesra bersama Delegasi Majlis Agama Islam Negeri
Johor (MAIJ) dan Kerajaan Negeri Johor telah bermula sekitar jam 8.30 malam di
Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin semalam dan dihadiri oleh seluruh
mahasiswa/wi negeri Johor yang datang dari pelbagai Kuliah dan
Muhafazah. Majlis dimulakan dengan bacaan selawat oleh hadirin bagi mengiringi
ketibaan para delegasi ke dewan APJ Hayyu Thamin.
Pihak BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli
rombongan Delegasi MAIJ dan Kerajaan Negeri Johor yang diketuai oleh Dato' Hj
Abdul Razak Bin Hj Hassan (Ketua Pengarah Eksekutif MAIJ), Tuan Haji Muhammad
Noh Bin Hj. Ibrahim (Setiausaha MAIJ), Tuan Haji Samsudin Bin Samudi (Pengarah
Biro Tata Negara), Ustaz Mustaffa Bin Hj. Omar (Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Zakat, Baitul Mal, & Wakaf) serta yang turut terlibat dalam
rombongan tersebut kerana sudi hadir ke Bumi Kinanah ini.
Majlis
dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pegawai HEP
Johor, Tuan Haji Muhammad Husni Tamrin Bin Md Sharif dengan
mengalu-alukan kedatangan seluruh ahli rombongan. Seterusnya beliau
mengucapkan tahniah kepada para mahasiswa/wi yang berjaya dalam
peperiksaan pada
sesi yang lalu. Mudah-mudahan apabila pulang ke Malaysia nanti dapat
menyumbangkan ilmu yang ada dengan sebaik-baiknya demi memartabatkan
agama,
bangsa dan Negara.
Seterusnya pihak majlis memberi ruang sepenuhnya bagi mendengar
ucapan dari Ketua Pengarah Eksekutif MAIJ, Dato' Haji Abdul Razak Bin Hj.
Hassan. Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar yang sanggup
meninggalkan kampung halaman yang sebegitu jauh hanya kerana ingin menuntut
ilmu. Kehadiran beliau juga difahamkan
ingin memberikan sokongan moral kepada para mahasiswa/wi. Beliau turut
mengingatkan para mahasiswa/wi bahawa matlamat serta kesanggupan untuk
melanjutkan pelajaran merupakan satu pengorbanan yang sangat tinggi. Pada akhir
majlis ramah mesra tersebut, Dato' Haji Abdul Razak Bin Hj. Hassan dengan
berlapang dada membuka ruang soal jawab. Majlis bersurai setelah menjemput para
delegasi untuk ke bilik jamuan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan