Sabtu, 28 Jun 2014

BERITA | MUZAKARAH BERKELOMPOK GABUNGAN "BERSANTAI KE AIN SUKHNAH"





AIN SUKHNAH 27 JUN 2014 - Unit Sambutan & Rehlah Badan Kebajikan Pelajar–pelajar Johor di Mesir 2013/2014 dengan kerjasama Jabatan Fasilitator BKPJM telah mengadakan program Muzakarah Berkelompok Gabungan dalam satu jaulah ke Ain Sukhna.  Program ini dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli muzakarah berkelompok setiap peringkat. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 48 orang peserta.

   Sebelum bertolak ke Ain Sukhna, peserta telah berkumpul di Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin seawal jam 5.45 pagi bagi sesi pendaftaran dan seterusnya memulakan perjalanan pada jam 7.00 pagi. Perjalanan yang mengambil masa selama kira-kira 2 jam ini telah selamat sampai ke destinasi pada jam 9.15 pagi.

  Setibanya ke destinasi, peserta telah dikumpulkan dalam sesi taklimat dan tentatif program yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ariff Bin Haron dan Ustaz Mohd Syafie Bin Musni yang masing-masing merupakan Ketua Unit Dakwah Dan Tarbiah Badan BKPJM 13/14 dan Ketua Jabatan Fasilitator (JATA) BKPJM 13/14.

  Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang program dijalankan. Diantaranya ialah pertandingan membina bangunan manusia dan tazkirah persediaan menghadapi ramadhan oleh setiap peserta. Program berakhir pada jam 2.30 petang dengan semua peserta bersiap sedia untuk pulang ke kaherah. Sebelum bertolak pulang, peserta berpeluang untuk bergambar bersama sebagai tanda kenang-kenangan.

  Semoga program yang telah dijalankan ini mendapat keredhaan Allah dan seterusnya mencapai objektif yang ditetapkan di samping dapat mengeratkan ukhwah antara semua peserta.

“THAQAFAH CEMERLANG KESATUAN GEMILANG”

“MEMPOSISI MAHASISWI BERINTEGRITI MEMBENTUK GENERASI BERSINERGI”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan