
Perjumpaan itu berlangsung selama hampir empat jam. Pelbagai perkara telah dibincangkan, antaranya sebelas perkara utama sekitar permasalahan kebajikan, keselamatan dan akademik serta menyentuh isu berkaitan hak dan maruah mahasiswa di sini. Beberapa keputusan telah disepakati bersama untuk dilaksanakan samada di peringkat PMRAM mahupun KBMK.
Pihak KBMK, dalam perjumpaan tersebut, telah menyatakan harapan untuk mendapatkan kerjasama yang baik dari pihak PMRAM dalam memastikan kebajikan semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir terpelihara. Masing-masing perlu memainkan peranan dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia di bumi Mesir terpelihara, lebih-lebih lagi PMRAM melalui hubungan rasminya dengan pihak Keselamatan Mesir dan KBMK selaku wakil rasmi Kerajaan Malaysia di Mesir.
Presiden PMRAM ketika ditemui selepas perjumpaan tersebut berkata, PMRAM bersedia memberi kerjasama kepada pihak Kedutaan dalam apa jua situasi selagi tidak melanggar dasar dan undang-undang tubuh PMRAM.
“Usaha sama seumpama ini di antara PMRAM dengan pihak Kedutaan bagi menangani isu-isu berkaitan mahasiswa Malaysia terutama dalam aspek keselamatan dan kebajikan wajar diteruskan” ujar beliau mengulas signifikan diadakan perjumpaan tersebut.
YDP BKPJM, dalam pertemuan tersebut, telah mengenengahkan beberapa isu penting berkaitan BKPJM, antaranya isu tohmahan pihak-pihak tertentu yang mengatakan 90 % pelajar Johor di Mesir adalah pembangkang dan isu pendaftaran BKAN-BKAN yang sehingga kini masih tidak diselaraskan. Pihak KBMK menjelaskan bahawa tohmahan tersebut tidak sepatutnya berlaku dan mereka kecewa dan kesal dengan apa yang telah terjadi. Begitu juga, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani masalah yang berlaku.
Mudah-mudahan perjumpaan sebegini merupakan titik tolak ke arah kerjasama yang padu antara KBMK dan PMRAM, khususnya PMRAM Cawangan Johor, BKPJM. - aljauhar