Rabu, 13 Jun 2012

Kes Kecurian Di Asrama Pelajar Johor Rabaah


12 JUN 2012: Seorang lelaki warga Mesir yang menyamar sebagai pemeriksa meter gas telah masuk ke Syaqah 4 Asrama Pelajar Johor Rabaah kira-kira jam 1.15pm tanpa diiringi musyrif. Lelaki tersebut dipercayai telah tiga hari berturut-turut cuba untuk memasuki syaqah akhawat dengan alasan untuk memeriksa kerosakan peralatan rumah sejak 10 Jun yang lalu. 

     Pada hari kejadian, dia meminta izin untuk memeriksa alat pemanas air di bilik air. Tanpa disedari, dia telah mengambil sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy Young milik seorang mahasiswi yang diletakkan di ruang tamu. Lelaki muda itu terus bergegas keluar tanpa memeriksa atau memperbaiki sebarang kerosakan. Seorang lagi lelaki warga arab didapati telah menunggu di luar rumah pada waktu kejadian. 
 
     Bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini terus berlaku, semua mahasiswa dan mahasiswi dinasihatkan agar tidak membenarkan mana-mana warga asing untuk masuk ke rumah tanpa ditemani musyrif atau tanpa urusan yang munasabah. Disamping itu, diingatkan sekali lagi kepada semua pelajar agar menyimpan barang-barang berharga di tempat yang selamat.

     Sebarang aduan dan kesulitan sila rujuk kepada Pegawai HEP Johor Mesir, Tuan Hj Muhd Husni Tamrin Bin Md Sharif atau yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM), Saudara Muhammad Yazid Bin Hanzir.

‘’ KEFAHAMAN MELAHIRKAN GERAKAN MEMANGKIN KESATUAN ’’

Disediakan oleh:  
Amira Afina Binti Jamaludin,
Timbalan Ketua Unit Kebajikan dan Tabung Derma 
BKPJM sesi 2011/2012

Selasa, 1 Mei 2012

Kunjungan Hormat AJKT BKPJM Ke Pejabat PMRAM


KAHERAH, 16 April 2012 – Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Seramai 8 orang Ahli Jawatankuasa Tinggi BKPJM dan 10 orang Badan Pengurus PMRAM terlibat dalam pertemuan ini

          Pertemuan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara AJKT BKPJM dengan Badan Pengurus PMRAM yang baru dilantik pada sesi ini. BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih kepada PMRAM atas kesudian menerima BKPJM sebagai tetamu.

          Pertemuan tersebut dimulakan dengan ucapan pendahuluan yang disampaikan oleh YDP BKPJM, Saudara Yazid bin Hanzir. Seterusnya pengenalan diri setiap AJKT BKPJM dan Badan Pengurus PMRAM untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Kemudian ucapan daripada BP Angkat BKAN Johor iaitu saudara Abdul Naafiq Taqiuddin Mohd Roslan, Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa disusuli dengan ucapan daripada saudara Zulhafeez bin Ahmad Zahidi, Timbalan Presiden juga BP Angkat BKAN Johor selaku wakil Presiden. Kemudian, sesi ramah mesra dan soal jawab antara kepimpinan BP PMRAM dan AJKT BKPJM untuk saling berta’aruf dan bertukar-tukar pandangan.

          Di akhir pertemuan, BKPJM penyampaikan sedikit cenderahati  kepada Badan Pengurus PMRAM dan sesi bergambar sebagai tanda kenangan. -aljauhar