Jumaat, 13 Julai 2012

ARAHAN MENGOSONGKAN PEJABAT BKPJM


KAHERAH, 13 Julai – Setelah pertemuan diadakan dengan pihak Pengurus Rumah Johor Mesir Tuan Hj Mohd Maulan Asmoni berkenaan isu campak borang pada 3 Julai yang lalu pihak Pengurus Rumah Johor telah mengeluarkan surat pada tarikh yang sama arahan mengosongkan pejabat rasmi BKPJM.

Arahan mengosongkan pejabat tersebut adalah atas cadangan pihak Pejabat Pengurus Asrama untuk pembesaran pejabat pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) Johor di Mesir dengan penambahan beberapa orang pegawai.

Justeru, pihak BKPJM melalui Yang DiPertua BKPJM Saudara Muhammad Yazid Hanzir telah mengeluarkan surat balas menyatakan tidak bersetuju untuk mengosongkan pejabat rasmi di Rumah Johor Haiyyu Thamin.

BKPJM merupakan satu-satunya persatuan yang menaungi seluruh anak-anak Johor yang menuntut di bumi Mesir dan telah berdaftar secara rasmi dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

Pejabat BKPJM yang sedia ada ini telah diperakui keberadaannya oleh Kerajaan Negeri, MAIJ, dan YPJ kerana BKPJM turut menyumbang dalam usaha mendapatkan tanah dan bangunan rumah Johor tersebut.

Namun pada tarikh 10 Julai 2012 pihak pengurus rumah Johor sekali lagi mengeluarkan surat yang memaklumkan bahawa arahan mengosongkan pejabat BKPJM adalah muktamad.

“BKPJM akan tetap mempertahankan pejabat rasminya di Rumah Johor kerana ia merupakan kemestian untuk BKPJM bergerak. BKPJM turut mengharapkan sokongan dan dokongan semua pihak khususnya ahli BKPJM dalam usaha mempertahankan hak dan keberadaan BKPJM di Rumah Johor. Kita tidak mahu tragedi hitam PMRAM dihalau keluar dari ARMA kembali berulang” Ujar Yang DiPertua BKPJM Saudara Muhammad Yazid Hanzir.

MAHASISWA KEMALANGAN SELESAI DIKEBUMIKAN.


KAHERAH,12 JULAI-Jenazah  Abdul Khafiz Bin Mohamed Norok telah selamat dikebumikan di Hayyu Asyir Kaherah pada jam 5.00 petang.Allahyarham merupakan mahasiswa tahun 3 Qiraat Shoubra dan juga merupakan mandub bagi pelajar Johor di Shoubra.

Tragedi kemalangan berlaku pada jam 1.00 pagi pada 11 Julai ketikamana  Allahyarham bersama seorang sahabatnya  pulang dari rumah kawan dari Abud menuju ke Shoubra.Dalam perjalanan menaiki tramco beliau telah diacukan pisau oleh seorang warga arab Mesir.Beliau telah  bergelut untuk melepaskan diri  dan nekad untuk terjun menyelamatkan diri .

Allahyarham telah mengalami kecederaan di kepala yang mengakibatkan  koma.Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir  pada 12 Julai.

Jenazah Allahyarham selesai dimandi dan dikafankan pada jam 3.30 petang dan seterusnya di bawa ke Dataran Hayyu Asyir bagi menyempurnakan solat jenazah.

BKPJM mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham dan semoga Allahyarham  tergolong dalam kalangan penghuni syurga.