Khamis, 27 September 2012

Majlis Ramah Mesra Bersama Delegasi MAIJ dan Kerajaan Negeri Johor

APJ Thamin, 27 September 2012 - Majlis Ramah Mesra bersama Delegasi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan Kerajaan Negeri Johor telah bermula sekitar jam 8.30 malam di Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin semalam dan dihadiri oleh seluruh mahasiswa/wi negeri Johor yang datang dari pelbagai Kuliah dan Muhafazah. Majlis dimulakan dengan bacaan selawat oleh hadirin bagi mengiringi ketibaan para delegasi ke dewan APJ Hayyu Thamin.

Pihak BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli rombongan Delegasi MAIJ dan Kerajaan Negeri Johor yang diketuai oleh Dato' Hj Abdul Razak Bin Hj Hassan (Ketua Pengarah Eksekutif MAIJ), Tuan Haji Muhammad Noh Bin Hj. Ibrahim (Setiausaha MAIJ), Tuan Haji Samsudin Bin Samudi (Pengarah Biro Tata Negara), Ustaz Mustaffa Bin Hj. Omar (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Zakat, Baitul Mal, & Wakaf) serta yang turut terlibat dalam rombongan tersebut kerana sudi hadir ke Bumi Kinanah ini.

Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pegawai HEP Johor, Tuan Haji Muhammad Husni Tamrin Bin Md Sharif dengan  mengalu-alukan kedatangan seluruh ahli rombongan. Seterusnya beliau mengucapkan tahniah kepada para mahasiswa/wi yang berjaya dalam peperiksaan pada sesi yang lalu. Mudah-mudahan apabila pulang ke Malaysia nanti dapat menyumbangkan ilmu yang ada dengan sebaik-baiknya demi memartabatkan agama, bangsa dan Negara.

Seterusnya pihak majlis memberi ruang sepenuhnya bagi mendengar ucapan dari Ketua Pengarah Eksekutif MAIJ, Dato' Haji Abdul Razak Bin Hj. Hassan. Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar yang sanggup meninggalkan kampung halaman yang sebegitu jauh hanya kerana ingin menuntut ilmu. Kehadiran beliau juga difahamkan ingin memberikan sokongan moral kepada para mahasiswa/wi. Beliau turut mengingatkan para mahasiswa/wi bahawa matlamat serta kesanggupan untuk melanjutkan pelajaran merupakan satu pengorbanan yang sangat tinggi. Pada akhir majlis ramah mesra tersebut, Dato' Haji Abdul Razak Bin Hj. Hassan dengan berlapang dada membuka ruang soal jawab. Majlis bersurai setelah menjemput para delegasi untuk ke bilik jamuan.

Rabu, 26 September 2012

Ketibaan Rombongan Delegasi Kerajaan Negeri Johor & Majlis Agama Islam Negeri Johor ke Mesir.


Kaherah, 26 September 2012 - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) dengan rasa berbesar hati merakamkan ucapan Selamat Datang ke bumi Mesir kepada seluruh Delegasi Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Pada 25 September 2012 semalam, sebahagian daripada rombongan delegasi telah tiba dahulu di bumi Mesir untuk mengiringi mahasiswa/wi baru yang melanjutkan pengajian di sini. Seterusnya ketibaan sebahagian lagi anggota delegasi tersebut pada 26 September 2012 turut disambut mesra oleh Yang Di-Pertua BKPJM, saudara Muhammad Yazid Hanzir, barisan penasihat BKPJM dan Pejabat Pegawai HEP Johor Mesir.


Keberadaan delegasi di sini adalah sempena Lawatan Kerja Rasmi dan meluangkan masa untuk beramah mesra bersama anak-anak Johor yang berada di bumi Mesir. Oleh yang demikian, pihak delegasi yang diketuai oleh Dato' Abdul Razak bin Hasan (Ketua Pengarah Eksekutif MAIJ) akan menganjurkan Majlis Ramah Mesra pada 27 September 2012 di Dewan Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin.

Semoga dengan kehadiran delegasi pada kali ini bagi menziarahi anak-anak Johor di bumi Anbia' ini menceriakan kami yang merantau jauh dari tanah air tercinta.

AHLAN WA SAHLAN ILA ARDHIL KINANAH.

"Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah"
"Kefahaman melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan"