Isnin, 21 Januari 2013

PERMATA HEWI


KAHERAH, 20 JAN 2013- Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKPJM telah mengadakan Program Erat Muslimah ( PERMATA) . Program PERMATA kali ini diteruskan lagi selepas musim peperiksaan di teratak Ustaz Rozlan dan Ustazah Azamimi sekeluarga. Program ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama saudara Islam baik pelajar baru mahupun  pelajar lama.

Majlis bermula pada pukul 2.00 petang dan dimulakan dengan bacaan qasidah. Bacaan qasidah diselang-selikan dengan kisah-kisah menarik berkaitan sirah nabawiyah yang disampaikan oleh Ustaz Rozlan. Diserikan lagi, dengan perkongsian yang menarik berkaitan sejarah burdah dan kelebihan bulan Rabiul Awwal sempena bulan kelahiran kekasih Allah Muhammad SAW.

“ Terima kasih diatas kesudian kalian mengunjungi kami.  Kami berbesar hati menerima lagi kunjungan daripada sesiapa. Doakan agar rezeki ke atas keluarga ini melimpah ruah”, kata Ustaz Rozlan di dalam ucapannya sebagai tuan rumah.

Kata Ketua HEWI BKPJM, Ustazah Amira Afina binti Jamaludin, “ terima kasih diucapkan kepada tuan rumah sekeluarga kerana sudi menerima kunjunagn kami. Tidak dilupakan kepada adik-beradik semua yang sudi meluangkan masa bagi sama-sama menjayakan PERMATA ini. Semoga hubungan antara kita dieratkan lagi dengan sifat mawaddah dan rahmah dari Allah Taala.”

Majlis diakhiri dengan bacaan doa dari tuan rumah dan jamuan serta solat Asar berjemaah. PERMATA ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran yang ramai dan komitmen yang baik daripada adik-beradik HEWI BKPJM.

Pihak BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan PERMATA kali ini. Semoga kunjung-mengunjung seperti ini tidaklah bergantung pada program semata, kerana ia merupakan kewajipan setiap muslim kepada saudaranya yang lain.


Isnin, 17 Disember 2012

::JAULAH MAQAM SEKITAR KAHERAH BERJAYA DILAKSANAKAN ::






KAHERAH ,16 Dis 2012- Unit Sambutan dan Rehlah BKPJM  telah berjaya melaksanakan Program Jaulah Makam Sekitar Kaherah. Program itu bertujuan untuk mengingatkan kita sebagai hamba Allah akan kematian yang akan menjemput pada bila-bila masa. Malah, dapat menambahkan pengetahuan peserta-peserta dengan perjuangan dan kehidupan  para ulama mukhtabar disamping mengeratkan ukhuwah sesama 
pelajar.

Program tersebut berjaya mendapat sambutan seramai 30 orang dari kalangan ikhwah dan 37 dari kalangan akhawat. Jaulah dilaksanakan dalam tarikh yang berasingan di antara ikhwah dan akhawat yang mana ikhwah pada 8 Disember manakala akhawat pada 15 Disember.

Taklimat ringkas sebelum perjalanan disampaikan oleh Ketua Unit Sambutan dan Rehlah, saudara Ainuddin bin Abu Jamil bagi melincinkn perjalanan ziarah ke maqam. Antara kawasan tumpuan yang diziarahi ialah kawasn Darrasah, Bab Nasr, Bab  Syariah, Saiyidah Zainab, Sayidah Nafisah, Kawasan Syafi’e, Basatin dan Jabal Muqatham. Sepanjang ekspedisi ini, peserta ikhwah berpeluang menziarahi  42 makam manakala akhawat pula berjaya menziarahi 50 makam.

Lawatan pada kali ini,merupakan sebuah lawatan yang  menerima sambutan yang mengalakkan . Badan Kebajikan Pelaja-pelajar  Johor di Mesir  (BKPJM)  mengucapkan ribuan terima kasih di atas komitmen yang diberikan oleh para peserta baik dari kalangan ikhwah mahupun akhawat. Tidak lupa juga bagi mereka yang turut membantu secara langsung mahupun tidak seperti memasak dan sebagainya.

Pihak BKPJM juga berharap agar program seperti ini dapat menjayakan salah satu usul pembawakan pada sesi kali ini dengan matannya “Menyatukan Anak-anak Johor di Bawah Wadah BKPJM dan menolak segala anasir perpecahan.” Seterusnya menjayakan slogan “ BKPJM keluarga kita “.