Sabtu, 9 Mac 2013

BKPJM PRIHATIN & CAKNA ISU SEMASA


HAYYU THAMIN, 7 Mac 2013 -  Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir di bawah  Unit Dakwah & Tarbiah BKPJM 12/13 telah mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat di dewan Ibnu Sina, Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin . Bacaan Yasin dan solat hajat diadakan bertujuan mendoakan keselamatan saudara  kita yang berjuang menentang pencerobohan di Lahad Datu , Sabah.


Sebelum menunaikan solat fardhu Maghrib, bacaan Qasidah beramai-beramai oleh adik-beradik BKPJM yang hadir . Selepas selesai menunaikan solat fardhu maghrib, bacaan Yasin dimulakan dan diketuai oleh saudara Muhammad Nazeem, Ketua Unit Kabajikan dan Tabung Derma BKPJM.  Selepas solat Isya’ pula, para jemaah mendirikan solat jenazah ghaib dan solat hajat  untuk roh anggota polis yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu serta mendoakan keselamatan negara kita dalam membanteras pencerobohan yang berlaku di sana.


Kemudian, para hadirin telah diberikan dengan pengisian yang menarik iaitu penerangan isu semasa berkaitan Palestin oleh Ustaz Abdul Muin bin Abdul Manan, Pengarah Mini-Pavilion (MAP). Penerangan isu semasa diakhiri dengan sesi soal jawab dan tamat pada jam 9.30 malam.

Keesokkan paginya, program bersambung dengan qiamulail secara berjamaah dan tazkirah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Malik bin Abdul Karim, yang merupakan Penasihat PMRAM 2012. Beliau menceritakan isu-isu semasa sekitar Mesir, Syria dan kejatuhan Khalifah Uthmaniyah.


Bagi menceriakan lagi pagi Jumaat, Unit Perumahan BKPJM juga turut mengadakan Gotong-royong Perdana di kedua-dua rumah Johor iaitu Ikhwah di rumah Johor Hayyu 8 manakala akhawat pula di rumah Johor Rabaah.

Tujuan diadakan program seperti ini diantaranya untuk mengimarahkan kedua-kedua rumah Johor dengan program-program yang bermanfaat dan berfaedah disamping merapatkan ukhuwah Islamiyah sesama adik-beradik BKPJM yang lain, selaras dengan misi BKPJM sesi ini iaitu menjayakan slogan “BKPJM Keluarga Kita”.

Selasa, 12 Februari 2013

EXPLORE KE BUMI DUMYAT MENGGAMIT MEMORI



DAMIETTA, 6 FEB - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir (BKPJM) dibawah anjuran Unit Sambutan dan Rehlah telah mengadakan program rehlah ke muhafazah Dumyat, sinonim dengan nama program tersebut “Explore ke Bumi Dumyat”. Rehlah ke Dumyat diadakan bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah antara ahli BKPJM, mengamati keindahan alam ciptaan Allah S.W.T di muka bumi ini, seterusnya menjayakan resolusi Konvensyen DPM PMRAM ke-4  iaitu “Menghidupkan Suasana di DPM” serta menjayakan kempen "Jom Jelajah DPM". 

Seramai 32 peserta ikhwah telah menyertai rehlah tersebut dengan menaiki bas mini yang disewa  khas. Perjalanan dari Kaherah ke Dumyat mengambil masa selama lapan jam kerana atas berapa masalah tertentu yang tidak dapat dielakkan. Bumi Dumyat sangat terkenal sebagai bumi yang kaya dengan kerang gergasi atau dikenali ‘kerang berdarah’ pada musim sejuk dan ia disifatkan sebagai bumi kais orang Melayu. Aktiviti mengutip kerang bermula setibanya para peserta ke pantai dan berakhir dengan hasil kutipan kerang yang sungguh menakjubkan.


Seterusnya, peserta “Explore ke Bumi Dumyat” berkunjung ke markaz DPM Dumyat yang terletak berdekatan dengan pantai. Majlis ramah mesra telah diadakan bersama kepimpinan DPM Dumyat. Majlis  tersebut dipengerusikan oleh Ustaz Helmi bin Nor Isham, diikut ucapan pengerusi DPM Dumyat Ustaz Jauhar bin Zainal Abidin, pengarah program Ustaz Ainuddin Bin Abu Jamil dan Yang Di Pertua BKPJM Ustaz Muhammad Syakirin Bin Mohd Khalid. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati tanda ingatan BKPJM kepada para kepimpinan DPM Dumyat.

Pada sebelah malamnya, para peserta dibawa bersiar-siar di Bandar Dumyat serta mengambil peluang untuk mendirikan solat jamak ta’khir dan makan malam sementara rombongan berhenti rehat. Yang DiPertua BKPJM, Ustaz Muhammad Syakirin bin Mohd Khalid menyifatkan rehlah tersebut sebagai rehlah tarbawi melalui kalamnya, rombongan tiba di kaherah pada jam 3.00 pagi.

“BKPJM KELUARGA KITA”