Khamis, 21 Mac 2013

ROMBONGAN DELEGASI MAIJ SELAMAT SAMPAI KE BUMI MESIR



LAPANGAN TERBANG KAHERAH, 20 Mac –  Rombongan Delegasi Majlis Agama Islam Johor  (MAIJ) selamat tiba di lapangan terbang Kaherah pada jam 1 tengahari tadi. Delegasi yang tiba dari Jordan ini telah disambut oleh Yang DiPertua BKPJM, saudara Mohamad Syakirin bin Mohod Khalid dan barisan Ahli JawatanKuasa Tinggi saudara Mohd Helmi bin Nor Isham dan saudara Muhammad Nazeem bin Zainodin, serta penasihat BKPJM saudara Syed Miftahul Ulum bin Syed Mustafa Kamal bersama Pengurus Rumah Johor, Haji Maulan bin Asmoni di Lapangan Terbang Terminal  3 .





             Kehadiran Pengarah MAIJ, YB Dato’ Haji Abd Razak bin Hassan  bersama rombongan ke Mesir bagi menguruskan dan menghadiri sesi temuduga zakat pelajar-pelajar Johor baik dari Pengajian Islam mahupun Perubatan pada 21 Mac 2013.



            Antara delegasi yang turut menyertai rombongan ini adalah, Setiausaha  MAIJ,  Tuan Haji Mohd Noh bin Ibrahim, Timbalan Mufi Negeri Johor, Ustaz Yahya Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal & Wakaf MAIJ, Ustaz Mustafa bin Omar, Ketua Penolong Pengarah Pendidikan JAIJ, Ustaz Sulaiman bin Dumang, Pengurusan Zakat MAIJ, Ustaz Azlan Abdullah dan Pengurusan Waqaf MAIJ, Ustaz Mustafahyudin.


            Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) dan seluruh anak-anak Johor di Mesir mengucapkan selamat datang kepada seluruh Delegasi Majlis Agama Islam Johor ke bumi Perlembahan Nil ini.



Ahad, 10 Mac 2013

EXPERTS'13 MENDAPAT SAMBUTAN AHLI



RABA’AH EL-ADAWIYAH, 5 Mac 2013 – Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir di bawah Lajnah Penerangan dan Penerbitan (LPP) BKPJM telah mengadakan EXPERTS’13 pada 4 dan 5 Mac 2013.  Bengkel Adobe Photoshop dan Video ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelajar-pelajar Johor baik dikalangan ikhwah mahupun akhawat yang dilaksanakan di Dewan Kutub Sittah Asrama Pelajar Johor Rabaah. Program EXPERTS’13 ini juga turut mendapat tarikan dan penyertaan dari negeri lain.




EXPERTS’13 dimulakan dengan Bengkel Adobe Photoshop pada hari pertama yang dikendalikan oleh saudara Muhammad Amin Bin Sailan pada 4 Mac. Hari berikutnya pula diteruskan dengan Bengkel Video dan dikendalikan oleh tenaga pengajar yang sama. Kedua-dua hari tersebut berakhir dengan pemberian cenderahati kepada tenaga pengajar. Cenderahati disampaikan oleh Ketua Lajnah Penerangan & Penerbitan BKPJM, saudara Muhammad Firdaous Bin Abdullah diiringi Pengarah EXPERTS’13, saudara Muhd Syaffarin bin Zainal. 

       
Program ini diadakan adalah bertujuan untuk melahirkan generasi celik IT yang dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dari segi konteks yang berbeza dan selaras dalam menjayakan tema EXPERTS’13 ini iaitu “Medium Dakwah Kreatif Masa Kini”. Maka besarlah harapan dari BKPJM agar semua ahli dapat memanfaat ilmu yang telah dipelajari dan menjadi generasi pelapis pada masa akan datang.


BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada adhoc pelaksana EXPERTS’13 yang bertungkus-lumus dalam menjayakan kedua-dua bengkel ini. Seterusnya kepada peserta-peserta dan ahli BKPJM yang turut memberikan kerjasama dan komitmen sama ada secara langsung atau tidak di atas keberjayaan program ini dijalankan.