Selasa, 17 Mac 2015

KEMBARA EL-BENHA : Menatijahkan kemantapan ukhwah antara anggota Unit Bait Muslim cawangan Johor



KAHERAH, 8 Mac 2015 - Unit Baitul Muslim (UBM) Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir sesi 2014/2015 telah mengadakan satu program yang dikenali sebagai "Kembara El-Benha" semalam. Alhamdulillah dengan kerjasama daripada seluruh anggota UBM, kembara ini telah menghasilkan natijah yang baik.
Destinasi pertama yang dituju adalah Hadiqah Yabaniah yang berada di bandar Helwan, Kaherah. Tujuannya adalah untuk kerehatan santai bersama dengan anggota UBM yang turut serta dalam kembara ini. Waktu dipenuhi dengan aktiviti yang pelbagai, dan diakhiri dengan makan tengahari di sana.
Seterusnya program kembara diteruskan ke lokasi utama iaitu pertemuan bersama keluarga Syeikh Muhammad Ali Abdul Aziz El-Dib, yang berada di El-Benha. Beliau adalah salah seorang daripada ahli keluarga Qari terkenal di Mesir, iaitu keluarga El-Dib.
Ketika beliau berumur 14 tahun, beliau mewakili Mesir untuk menyertai musabaqah Al-Quran di Saudi. Syeikh Muhammad juga pernah menyertai musabaqah Al-Quran di Malaysia, dan musabaqah terakhir yang disertai oleh beliau adalah di Britain. Alhamdulillah begitu banyak perkongsian yang diberikan oleh beliau dan isterinya kepada semua ahli kembara.
Akhir sekali, kembara berhenti sebentar di Qornish El-Nil bagi menyaksikan suasana malam di tepian sungai Nil, sungai yang menjadi penghubung kepada seluruh Mesir.
Jutaan terima kasih kepada yang terlibat dan menyumbang untuk menjayakan Kembara El-Benha ini. Semoga perjalanan kembara ini mendapat rahmat dan naungan Allah, insya Allah.



Rabu, 11 Mac 2015

DISKUSI KITAB : Ke arah pemantapan rohani seorang Muslim


                                                                          

APJ  RABAAH, 9 MAC 2015 – Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) di bawah Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM 2014/2015  telah mengadakan diskusi kitab yang bertajuk  Ruhaniyyah Da’iyyah di Dewan Kutub Sittah, APJ Rabaah.
Program yang bermula selepas maghrib ini telah dikendalikan oleh oleh Saudara Muhammad Aizat bin Shahadan selaku pengerusi majlis seterusnya disambung dengan diskusi kitab oleh pengisi yang dijemput khas daripada kalangan anak Johor sendiri iaitu Saudara Muhammad Faiz bin Khalid, kuliah Usuluddin Jabatan tafsir tahun 4. 
Antara objektif diadakan program seperti ini adalah untuk menambahkan ilmu serta thaqafah di kalangan anak-anak Johor itu sendiri serta menjayakan objektif  Unit Pengetahuan dan Bimbingan  BKPJM 2014/2015 untuk menghidupkan suasana ilmu di rumah Johor dan cinta ilmu dalam kalangan anak-anak Johor.  Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan anak-anak  Johor di Mesir.
BKPJM sangat menitikberatkan thaqafah dan peningkatan ilmu dari semasa ke semasa dalam kalangan ahli. Justeru, program seperti diskusi kitab ini disusun untuk memberikan manfaat serta peningkatan  ilmu kepada ahli.
Program diskusi kitab ini berakhir selepas isyak sekitar jam 8.30 malam, sebelum bersurai pihak penganjur memberikan sedikit cendermata kepada pengisi yang telah di sampaikan oleh Penasihat BKPJM 2014/2015, Saudara  Muhammad Helmi bin Nor Hisham  dan program diakhiri dengan sedikit kesimpulan daripada pengerusi majlis seterusnya menutup program diskusi kitab dengan tasbih kaffarah dan surah al Asr.