Rabu, 11 November 2015

TRANSIT ABOU ILA' - Persediaan Hadapi Musim Sejuk

KAHERAH, 31 Oktober 2015 – Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) di bawah Unit Sambutan dan  Rehlah telah mengadakan lawatan ke Abu Ila' , gedung pakaian musim sejuk yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan pelajar Malaysia di Mesir. Lawatan telah dijalankan pada 31 Oktober yang lalu. Lawatan ini bertujuan sebagai persediaan buat para ahli, terutama pelajar-pelajar baru untuk menghadapi musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi.

Sebuah bas mini telah ditempah yang memuatkan 47 orang siswa, termasuk diiringi fasilitator muzakarah berkelompok, Ustaz Yassarudin bin Samsul. Rombongan ini telah bertolak jam 4.45 petang  dan tiba di Abu Ila'  pada jam 5.45 malam setelah melalui lalu - lintas yang agak sesak.




Para peserta rombongan sangat teruja sepanjang lawatan berlangsung. Pelbagai perkara baru telah mereka pelajari terutama cara berkomunikasi dalam berjual – beli dengan masyarakat Arab Mesir. Ikatan Ukhuwah persaudaraan sesama ahli juga semakin erat.

“Lawatan ini sememangnya aktiviti tahunan yang dijalankan oleh Unit Sambutan dan Rehlah  bagi memastikan kebajikan ahli – ahli BKPJM sentiasa terjaga,” ujar Saudara Aizat Bin Shahadan selaku Ketua Unit Sambutan dan Rehlah pada sesi 2015/2016.

Rombongan selamat  tiba di Asrama Rumah Johor Hayyu Thamin pada jam 9.30 malam.

" Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan "

"Kebajikan dan Perpaduan"

"Setia bersamamu BKPJM"

Ahad, 27 September 2015

SAIED '15 : Pengorbanan, Perjuangan, Kesatuan

                                    
KAHERAH, 24-26 September 2015 – Badan Kebajikan Pelajar- Pelajar Johor saban tahun menganjurkan program Sambutan Hari Raya Aidiladha dan pada tahun ini ia telah diberi nama Sambutan Hari Raya Eiduladha (SAIED ’15) dengan tema ‘Pengorbanan, Perjuangan, Kesatuan’. Perasmian program ini     bertempat di Dewan  Asrama Pelajar Johor Thamin. Pengarah bagi program SAIED '15 kali ini adalah Ustaz Mohd Zahid bin Mohd Nor.
Pada 23 September 2015, laungan takbir hari raya dan perutusan hari raya Aidiladha telah disampaikan oleh Ustaz Usama bin Aris di APJ Rabaah. Keesokan harinya, telah diadakan proses penyembelihan dan melapah di APJ Thamin. Sebanyak 45 ekor kambing dan biri-biri serta seekor unta telah selamat dikorbankan.  
Majlis perasmian SAIED ’15 dimulakan dengan ucapan Yang di-Pertua BKPJM, Saudara Usama  bin Aris dan ucapan Pegawai Atase Pendidikan Johor di Mesir, Ustaz Khairi bin Jalalluddin sekaligus    merasmikan program SAIED ‘15. Majlis diteruskan dengan dengan pengisian khas oleh Ustaz Mohd Kamal  bin Said yang merupakan mantan Pengetua Madrasah Arabiah Kluang.

Agenda majlis diteruskan dengan slot santai yang telah dikendalikan oleh Saudara Ayub bin Azizol dan Saudara Mohd Syaza bin Jamal. Antara slot yang menarik adalah persembahan qasidah oleh anak-anak Johor, pentomen berkisarkan keluarga  dan tayangan movie khas.  Turut hadir bersama-sama dalam program Yang DiPertua dari seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri serta Ketua-ketua HEWI dan beberapa orang ahli.             
Program diakhiri dengan bacaan surah Al-Asr dan tasbih kifarah serta jamuan istimewa Hari Raya Aidiladha.
Akhir sekali, harapan seluruh badan pelaksana program SAIED ‘15 agar Zulhijjah  pada kali ini lebih bermakna kepada anak-anak Johor yang menyambut Hari Raya di perantauan disamping menaut kembali ikatan mahabbah sesama adik beradik BKPJM sekaligus membajai semangat berkorban dan bekerjasama dalam diri anak-anak Johor.