Rabu, 30 Disember 2015

PENERANGAN ETIKA MUSYRIF

KAHERAH, 15 NOVEMBER 2015 - Unit Kebajikan dan Kemanusiaan BKPJM sesi 2015/2016 telah mengadakan satu program dibawah Unit Musyrif iaitu Penerangan Etika Musyrif. Program ini bertujuan memberi penerangan dan penjelasan kepada ahli berkenaan etika penggunaan musyrif serta menjawab pelbagai persoalan mengenai musyrif dan keselamatan di Mesir. Program dimulakan pada jam 7.30 malam dengan penerangan definisi musyrif, sejarah dan kepentingan penggunaan musyrif yang disampaikan oleh saudara Norhalim Bin Lokman selaku ketua Unit Kebajikan Dan Kemanusiaan BKPJM sesi 15/16. Program diteruskan dengan pembentangan etika musyrif oleh Ketua Musyrif, Mohammad Amirnurrashidi Bin Mohd Azlan. 




Sesi soal jawab berkenaan musyrif turut diadakan bagi memberi peluang kepada ahli untuk bertanya dan melontarkan pandangan berkenaan sistem musyrif dan keselamatan di Mesir khususnya bagi para akhawat. Majlis disempurnakan dengan ucapan Yang diPertua BKPJM sesi 15/16, Ustaz Muhammad Ariff Bin Haron seterusnya merasmikan dan melancarkan kempen "Jom Musyrif" bagi memupuk kesedaran diperingkat ikhwah mahupun akhawat berkenaan kepentingan menjadi dan menggunakan musyrif. Turut diadakan penyampaian watikah perlantikan musyrif kepada musyrif yang dilantik mengikut kawasan di sekitar Kaherah. Program berjalan lancar dengan dihadiri oleh ahli dan anak-anak Johor di Mesir. Semoga dengan penganjuran program sebegini dapat meningkatkan lagi kebajikan dan keselamatan anak-anak Johor di Mesir dan seterusnya mencegah perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Program berakhir pada jam 9.30 malam.




Rabu, 11 November 2015

TRANSIT ABOU ILA' - Persediaan Hadapi Musim Sejuk

KAHERAH, 31 Oktober 2015 – Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) di bawah Unit Sambutan dan  Rehlah telah mengadakan lawatan ke Abu Ila' , gedung pakaian musim sejuk yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan pelajar Malaysia di Mesir. Lawatan telah dijalankan pada 31 Oktober yang lalu. Lawatan ini bertujuan sebagai persediaan buat para ahli, terutama pelajar-pelajar baru untuk menghadapi musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi.

Sebuah bas mini telah ditempah yang memuatkan 47 orang siswa, termasuk diiringi fasilitator muzakarah berkelompok, Ustaz Yassarudin bin Samsul. Rombongan ini telah bertolak jam 4.45 petang  dan tiba di Abu Ila'  pada jam 5.45 malam setelah melalui lalu - lintas yang agak sesak.




Para peserta rombongan sangat teruja sepanjang lawatan berlangsung. Pelbagai perkara baru telah mereka pelajari terutama cara berkomunikasi dalam berjual – beli dengan masyarakat Arab Mesir. Ikatan Ukhuwah persaudaraan sesama ahli juga semakin erat.

“Lawatan ini sememangnya aktiviti tahunan yang dijalankan oleh Unit Sambutan dan Rehlah  bagi memastikan kebajikan ahli – ahli BKPJM sentiasa terjaga,” ujar Saudara Aizat Bin Shahadan selaku Ketua Unit Sambutan dan Rehlah pada sesi 2015/2016.

Rombongan selamat  tiba di Asrama Rumah Johor Hayyu Thamin pada jam 9.30 malam.

" Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan "

"Kebajikan dan Perpaduan"

"Setia bersamamu BKPJM"