Selasa, 26 Oktober 2010

JELAJAH GEMPUR SYAKHSIAH MERIAHKAN ASRAMA PELAJAR JOHOR RAB’AH

Kaherah, 25 Oktober – Perlaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar adalah tuntutan fardhu ain bagi golongan yang mengaku taat dan beriman kepada ALLAH S.W.T. Sehubungan dengan itu, bagi menyemarakkan semangat ke arah melaksanakan tuntutan tersebut, Unit Dakwah dan Tarbiah Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Mesir (BKPJM) dengan kerjasama Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah menganjurkan Jelajah Gempur Syakhsiah yang bertempat di Dewan Asrama Pelajar Johor Rab’ah.

Jelajah Gempur Syakhsiah merupakan kesinambungan kepada siri-siri jelajah yang turut diadakan di beberapa muhafazah telah mendapat sambutan yang hangat daripada ahli-ahli BKPJM. Malah, program tersebut mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada ahli-ahli badan kebajikan anak negeri Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan juga Perlis serta beberapa orang wakil Badan Pengurus dan HEWI PMRAM.

Program dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran seterusnya disusuli dengan ucapan oleh Ex Officio program, Ustaz Al-Hasyir Bin Mohamad Rabeh. Perasmian Jelajah Gempur Syakhsiah kemudiannya telah disempurnakan oleh Yang Dipertua BKPJM, Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa Kamal.

Pelbagai acara menarik telah dilansungkan sepanjang program tersebut. Antaranya ialah slot tayangan video yang memaparkan tentang peranan unit-unit yang telah ditubuhkan dalam usaha mewujudkan suasana yang seiring dengan kehendak Islam di kalangan mahasiswa dan mahasiswi yang berada di bumi Mesir. Selain itu, turut diadakan sebuah forum bertajuk ‘Mengembalikan Identiti Akhlak Islamiah ‘ yang menampilkan ahli-ahli panel daripada Unit Hisbah, Unit Biah Salehah dan Unit Baitul Muslim.

Program tersebut telah diakhiri dengan acara penyampaian cenderahati kepada ahli panel-ahli panel forum dan tayangan video yang berkaitan dengan hukuman hudud. - Al Jauhar

Jumaat, 22 Oktober 2010

Pengakuan Pengarah JPMK Menandatangani Surat ‘AC ‘ Medic Mesir

Susulan daripada pertemuan saya selaku Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta, Us.Sulaiman Bin Ismail dan Pengerusi Perubatan Cawangan Tanta saudara Mohd Azhan Bin Hamdan bersama En.Shaiful Bin Muhammad, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Kaherah seperti yang telah dilaporkan sebelum ini. Maka, semalam bertarikh 21/10/2010 saya  bersama beberapa orang ahli Dewan Perwakilan Mahasiwa Tanta sekali lagi ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah untuk bertemu sendiri dengan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, Profesor Jamil Bin Hashim bagi mendapatkan penjelasan berkaitan surat yang telah dikeluarkan oleh pihak JPMK kepada agensi Medic Mesir.


Dalam pertemuan tersebut, kami bertanyakan kepada beliau tentang status surat tersebut, siapa yang mengeluarkan dan menandatangani surat tersebut.  Profesor Jamil mengakui bahawa surat tersebut telah ditandatangani oleh beliau dan dikeluarkan oleh kerani yang bertugas pada waktu itu. Professor Jamil mengatakan bahawa surat itu bukanlah surat keizinan menubuhkan Academic Centre (AC) seperti yang telah diwar-warkan oleh agen Medic Mesir akan tetapi hanya sekadar sokongan sahaja. Dari sudut keselamatan pula, Professor Jamil menyatakan bahawa tidak ada apa-apa jaminan dan segala risiko akan ditanggung oleh agensi  Medic Mesir sepenuhnya.

Meskipun begitu, saya amat kesal dengan tindakan Profesor Jamil  kerana menandatangani surat tersebut dalam keadaan surat itu terdapat banyak kesalahan dan menyalahi format penulisan surat yang sebenar. Sepatutnya, selaku Pengarah JPMK yang dihantar oleh pihak kerajaan Malaysia ke sini perlulah memainkan peranan sebaik-baiknya dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.  Apabila ditanya berkenaan kesalahan-kesalahan pada surat tersebut, beliau hanya berdiam sahaja dan mengatakan bahawa akan menyemak semula isi kandungan surat tersebut. Saya menganggap bahawa tindakan Profesor Jamil menandatangani tanpa menyemak isi kandungan merupakan satu kecuaian daripada pihak beliau sendiri. Bagaimana seorang yang berpendidikan tinggi dan bertaraf professional boleh melakukan kesilapan seperti ini.

Dalam  masa yang sama juga, Profesor Jamil mengatakan bahawa Kementerian Pengajian TInggi, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah & Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah tidak mengiktiraf mana-mana agensi di Mesir setakat ini. Apabila tidak mengiktiraf mana-mana agensi, maka pihak JPMK tidak  boleh mengeluarkan surat sokongan tersebut.  Tindakan Professor Jamil ini menyalahi etika kerja sebagai seorang yang berstatus pegawai kerajaan.