Selasa, 26 Oktober 2010

JELAJAH GEMPUR SYAKHSIAH MERIAHKAN ASRAMA PELAJAR JOHOR RAB’AH

Kaherah, 25 Oktober – Perlaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar adalah tuntutan fardhu ain bagi golongan yang mengaku taat dan beriman kepada ALLAH S.W.T. Sehubungan dengan itu, bagi menyemarakkan semangat ke arah melaksanakan tuntutan tersebut, Unit Dakwah dan Tarbiah Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Mesir (BKPJM) dengan kerjasama Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah menganjurkan Jelajah Gempur Syakhsiah yang bertempat di Dewan Asrama Pelajar Johor Rab’ah.

Jelajah Gempur Syakhsiah merupakan kesinambungan kepada siri-siri jelajah yang turut diadakan di beberapa muhafazah telah mendapat sambutan yang hangat daripada ahli-ahli BKPJM. Malah, program tersebut mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada ahli-ahli badan kebajikan anak negeri Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan juga Perlis serta beberapa orang wakil Badan Pengurus dan HEWI PMRAM.

Program dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran seterusnya disusuli dengan ucapan oleh Ex Officio program, Ustaz Al-Hasyir Bin Mohamad Rabeh. Perasmian Jelajah Gempur Syakhsiah kemudiannya telah disempurnakan oleh Yang Dipertua BKPJM, Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa Kamal.

Pelbagai acara menarik telah dilansungkan sepanjang program tersebut. Antaranya ialah slot tayangan video yang memaparkan tentang peranan unit-unit yang telah ditubuhkan dalam usaha mewujudkan suasana yang seiring dengan kehendak Islam di kalangan mahasiswa dan mahasiswi yang berada di bumi Mesir. Selain itu, turut diadakan sebuah forum bertajuk ‘Mengembalikan Identiti Akhlak Islamiah ‘ yang menampilkan ahli-ahli panel daripada Unit Hisbah, Unit Biah Salehah dan Unit Baitul Muslim.

Program tersebut telah diakhiri dengan acara penyampaian cenderahati kepada ahli panel-ahli panel forum dan tayangan video yang berkaitan dengan hukuman hudud. - Al Jauhar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan