Rabu, 22 Ogos 2012

KEMERIAHAN AIDILFITRI DI CINDAI '12




KAHERAH, 20 Ogos - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) telah mengadakan program sambutan Hari Raya Aidilfitri 1433 Hijriah yang dinamakan sebagai Citra Warna Di Aidilfitri (CINDAI '12). Majlis yang berlangsung di dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah ini telah dirasmikan oleh Presiden PMRAM saudara Abdul Aziz bin Ali.

          Program yang saban tahun dianjurkan ini telah berjaya menarik kehadiran anak-anak Johor yang berada di muhafazah bagi memeriahkan lagi sambutan Syawal pada tahun ini. Turut hadir pada malam itu, Badan Pengurus angkat BKPJM saudara Zulhafeez dan saudara Abdul Nafie' Taqiuddin bersama Penasihat PMRAM saudara Zuhaili bin Saiman.


          Pada malam itu juga, satu tayangan khas telemovie raya sempena CINDAI '12 yang diberi tajuk "KELUARGA" telah ditayangkan. Majlis juga telah diserikan lagi dengan persembahan khas dikir barat yang dipersembahkan oleh Keluarga Pelajar Kelantan Mesir (KPKM). Antara slot yang berjaya menarik perhatian tetamu pada malam itu adalah deklamasi sajak mengenai "BKPJM" yang telah disampaikan oleh saudara Huefiruz Efizi bin Hussein. 

          Sebelum berakhir, gimik penyatuan anak-anak Johor di Mesir telah disempurnakan oleh Presiden PMRAM saudara Abdul Aziz bin Ali. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh saudara Firdauz bin Noh seterusnya penyampaian cenderahati kepada para tetamu yang disampaikan oleh Yang Dipertua BKPJM saudara Muhammad Yazid bin Hanzir.


           Bertemakan slogan "Lebaran Dirai, Ukhuwah Terpatri", program pada kali ini telah berjaya menghimpunkan pelajar baru dan lama disamping mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sesama pelajar Johor di Mesir selaras dengan objektif penganjuran program CINDAI '12.

          "Alhamdulillah, jutaan terima kasih diucapkan kepada tetamu yang hadir dalam memeriahkan CINDAI '12 . Semoga tautan ukhuwah yang kita bina ini semakin utuh khususnya diantara pelajar pengajian Islam dan perubatan. Kehadiran yang amat memberangsangkan ini menunjukkan bahawa sokongan dan kebersamaan anak-anak Johor tetap teguh bersama BKPJM." ujar pengarah program saudara Norsalam Bin Abu Bakar.

Selasa, 31 Julai 2012

PERTEMUAN BKPJM BERSAMA KELUARGA ALLAHYARHAM KHOFIZ BIN NOROK


KAHERAH, 27 Julai 2012 – BKPJM telah mengadakan pertemuan bersama keluarga Allahyarham Khofiz Bin Norok. BKPJM diwakili Saudara Muhammad Yazid Bin Hanzir selaku Yang DiPertua dan Saudara Mohd Affeni Bin Madrom selaku Ketua Unit Kebajikan dan Tabung Derma. Turut sama dalam pertemuan tersebut Saudara Ridhuan Bin Ali. Pertemuan tersebut telah diadakan selepas solat Asar di Rumah Tamu Asrama Pelajar Johor Rabaah.

Dalam pertemuan tersebut, BKPJM telah menceritakan kronologi peristiwa yang berlaku dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham sebagai mewakili pelajar-pelajar Johor di Mesir. BKPJM turut menyampaikan hasil kutipan derma kilat yang dijalankan berjumlah lebih LE 300.

Pertemuan tersebut mendapat respon positif daripada pihak keluarga Allahyarham Khofiz. Pihak keluarga Allahyarham yang diwakili kakak Allahyarham, Puan Misliah mengucapkan terima kasih kepada BKPJM atas pertolongan yang diberikan dalam menguruskan jenazah Allahyarham Khofiz. 

Beliau turut mendoakan semoga seluruh ahli-ahli BKPJM berjaya dalam peperiksaan akhir tahun baru-baru ini. Di samping itu, beliau turut menyampaikan sumbangan ikhlas dari pihak keluarga Allahyarham untuk BKPJM.

“BKPJM akan terus berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan kebajikan ahli-ahli keluarga BKPJM terus terjaga. Semoga kita semua dapat sama-sama mendoakan semoga Allahyarham Khofiz ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman” ujar Saudara Affeni ketika ditemui selepas pertemuan tersebut.