KAHERAH, 27 Julai 2012 – BKPJM telah mengadakan pertemuan bersama keluarga Allahyarham Khofiz Bin Norok. BKPJM diwakili Saudara Muhammad Yazid Bin Hanzir selaku Yang DiPertua dan Saudara Mohd Affeni Bin Madrom selaku Ketua Unit Kebajikan dan Tabung Derma. Turut sama dalam pertemuan tersebut Saudara Ridhuan Bin Ali. Pertemuan tersebut telah diadakan selepas solat Asar di Rumah Tamu Asrama Pelajar Johor Rabaah.
Dalam pertemuan tersebut, BKPJM telah menceritakan kronologi peristiwa yang berlaku dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham sebagai mewakili pelajar-pelajar Johor di Mesir. BKPJM turut menyampaikan hasil kutipan derma kilat yang dijalankan berjumlah lebih LE 300.
Pertemuan tersebut mendapat respon positif daripada pihak keluarga Allahyarham Khofiz. Pihak keluarga Allahyarham yang diwakili kakak Allahyarham, Puan Misliah mengucapkan terima kasih kepada BKPJM atas pertolongan yang diberikan dalam menguruskan jenazah Allahyarham Khofiz.
Beliau turut mendoakan semoga seluruh ahli-ahli BKPJM berjaya dalam peperiksaan akhir tahun baru-baru ini. Di samping itu, beliau turut menyampaikan sumbangan ikhlas dari pihak keluarga Allahyarham untuk BKPJM.
“BKPJM akan terus berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan kebajikan ahli-ahli keluarga BKPJM terus terjaga. Semoga kita semua dapat sama-sama mendoakan semoga Allahyarham Khofiz ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman” ujar Saudara Affeni ketika ditemui selepas pertemuan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan