Rabu, 1 Julai 2009

Thaqafah Kembali Rancak

Kaherah, 01 Julai – Menyambut kehadiran musim panas di bumi Mesir, Unit Pengetahuan dan Bimbingan Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir telah kembali rancak mengatur beberapa program ilmiah bagi meningkatkan tahap mutu thaqafah mahasiswa Johor di Mesir ini.

Bermula semalam, 30 Jun 2009, dengan pembentangan kertas kerja bertajuk Teknik Pembelajaran Bestari Subjek Al-Adab Wa An-Nusus oleh Ustaz Muhammad Shafiq bin Elias seterusnya diskusi kitab Ghiza’u Ruuhil-Insan, Mudawamatuhu ‘ala Tilawatil-Qur’an dan kitab Al-Adzan As-Syar’iy As-Sohih Kama Yajibu Adaa’uhu pada hari yang sama.

Slot diskusi kedua-dua kitab karangan Syeikh Abdul Adzhim Sya’ban ini dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Shafiq bermula seawal jam 10 pagi sehingga waktu asar sebelum diikuti dengan pembentangan kertas kerja di atas. Metodologi pembentang yang menyelitkan beberapa rakaman video ilmiah dan kisah tauladan telah menarik minat para peserta untuk terus mengikuti program sehingga ke akhirnya.

Pihak BKPJM melalui Unit Pengetahuan dan Bimbingan mengucapkan ribuan penghargaan buat Ustaz Muhammad Shafiq bin Elias atas kesudian beliau mengendalikan slot diskusi dan pembentangan kertas kerja tersebut.

Sehubungan dengan itu, Unit Pengetahuan dan Bimbingan juga akan meneruskan beberapa lagi program ilmiah bagi mengisi program di musim panas ini antaranya, diskusi kitab Tahaluf Siyasi oleh Ustaz Salman Maskuri pada 07 Julai ini. Menurut Ketua Unit, Ustaz Zulfekri bin Abdullah, kesemua program ilmiah samada berbentuk thaqafah mahupun tafaqquh UPB akan dijalankan di Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin berikutan masalah teknikal dan audio video di Rumah Johor Rab’ah.

Berhubung penganjuran kelas-kelas tafaqquh pula, beliau ketika dihubungi berkata, “Kita telah mendapat maklum balas daripada tenaga pengajar untuk menyambung semula kelas-kelas tafaqquh. Namun disebabkan program yang padat pada bulan Julai ini, kita akan susun semula dan akan dimaklumkan kemudian (berkenaan kelas tafaqquh)”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan